Rabu, 29 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Cat khas bendung pelekat haram

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Fauzi Zahari (kiri) mengecat kemudahan awam dengan cat khas antipelekat di Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARHAN RAZAK (PELATIH PERETAK)

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiawangsa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama memastikan kawasan komersial dan perumahan bebas daripada tampalan iklan dan poster haram melalui penggunaan kaedah Perkhidmatan Cat Anti Pelekat (ASCS).

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, berkata, kaedah tersebut dilihat mampu menangani masalah tampalan iklan haram di kawasan tersebut.

"Kita dapati kaedah yang digunakan ini sangat baik kerana bahan yang digunakan berupaya 'menghalang' iklan haram daripada melekat pada tiang yang telah dicat.

"Malah cat tersebut juga mengambil masa yang singkat untuk kering dan mampu bertahan sehingga 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan cat antipelekat iklan haram di sini hari ini.

Menurutnya, antara kemudahan yang akan dicat secara berperingkat-peringkat ialah tiang lampu, lampu trafik, papan tanda jalan, mesin ATM dan meter letak kereta.

Sementara itu, wakil DBKL ketika ditemui berkata, Setiawangsa merupakan kawasan yang pertama menggunakan kaedah tersebut.

"Kaedah ini akan diteruskan ke Parlimen lain bagi memastikan tiada iklan dan poster haram ditampal yang boleh mencacatkan pemandangan," ujarnya.

Dalam pada itu, jurutera Aplikasi Northsphere Sdn. Bhd., Chong Way Lim, berkata, mereka merupakan satu-satunya syarikat yang menghasilkan cat itu dan diiktiraf.

"Oleh itu kita berharap kaedah ini dapat diperluas ke kawasan lain agar masalah tampalan iklan dan poster haram dapat dikurangkan," katanya.

Menurutnya, kos yang diperlukan bagi mengecat sebatang tiang ialah RM324 bergantung kepada saiznya.

DBKL jamin projek tidak jejas rumah penduduk

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

MOHD. Nasir Saad (tengah) dan Wilson Lai Hoi Keong (kiri) mendengar keluhan penduduk mengenai projek pembangunan di Taman Seri Bintang, Segambut, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan projek pembangunan di Taman Seri Bintang, Segambut di sini tidak akan menjejaskan rumah penduduk sekitar.

Jurutera Jabatan Perancangan Infrastruktur DBKL, Mohd. Nasir Saad berkata, kebimbangan penduduk terhadap masalah itu timbul selepas mendapati kerja-kerja pembangunan serta pembinaan jalan sepanjang 160 meter itu dihentikan sementara.

"Apabila mereka melihat terdapat tanah yang terdedah dengan beberapa struktur pembinaan yang tidak sempurna, ada yang beranggapan pihak pemaju lepas tangan.

"Sebaliknya, kontraktor hanya berhenti untuk seketika daripada membuat kerja di situ dan akan memulakan semula tugas mereka selepas Tahun Baharu Cina pada akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika melawat kawasan tersebut ekoran kebimbangan penduduk berhubung pembinaan jalan yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan perumahan mereka di sini baru-baru ini.

Lawatan itu turut disertai Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Parti Gerakan Rakyat Malaysia Nasional, Wilson Lai Hoi Keong serta beberapa orang penduduk.

Menurut Mohd. Nasir, setakat ini pihak pemaju mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh DBKL.

"DBKL sentiasa memantau kegiatan pemaju bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran syarat pembangunan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perunding Majucipta Sdn. Bhd., Ir. Tan Cheng Chuan berkata pembinaan jalan hubungan di kawasan itu dijangka siap penghujung tahun 2015.

Katanya, kerja yang dimulakan sejak pertengahan tahun lalu dibina dengan kos 1.5 juta.

Syabas beri ganjaran kepada 45 pelanggan prihatin

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Keprihatinan 45 pelanggan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang membuat aduan mengenai kejadian paip pecah dan bocor dihargai apabila mereka diberikan ganjaran oleh syarikat utiliti itu.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred memberitahu, mereka merupakan pelanggan bertuah yang menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) di talian 1800-88-5252 untuk membuat aduan.

Keprihatinan mereka melaporkan kes-kes paip pecah, bocor dan tahap kualiti air telah mempercepatkan lagi sesuatu kes itu disiasat dan diselesaikan oleh Syabas.

Ia sekali gus membantu meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat kami," katanya di sini hari ini.

Katanya, cabutan bertuah bagi pelanggan prihatin untuk bulan April hingga Disember 2013 itu diadakan di Mydin Mall USJ, Subang Jaya baru-baru dekat sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, pemilihan pemenang dibuat melalui sistem digital yang menyenaraikan 999 nama pemanggil bertuah untuk dipilih.

Sebanyak 10 pemenang bagi setiap bulan sepanjang tempoh itu kemudian dipilih secara manual berdasarkan tiga angka yang terpilih," ujarnya.

Antara hadiah yang disediakan ialah televisyen LED 42 inci, Samsung Galaxy Tab 37.0, Samsung Galaxy Grand Quattro dan Samsung Core.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved