Rabu, 29 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bomba Pahang periksa premis

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 29 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mengadakan Ops Raya bermula hari ini hingga 7 Februari sempena sambutan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, operasi itu antaranya turut melibatkan pemeriksaan terhadap premis-premis perniagaan di seluruh negeri ini.

''Kita sedia maklum, dengan kedatangan sambutan Tahun Baharu Cina ini banyak premis perniagaan akan menambah stok perniagaan bagi menampung permintaan ketika ini.

''Dengan pertambahan stok itu mungkin akan menyebabkan kepadatan dalam premis dengan barangan tambahan berkenaan.

''Keadaan premis yang dipenuhi dengan stok tambahan akan menambahkan kesan yang lebih teruk jika berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, bomba akan mengambil inisiatif untuk melakukan pemeriksaan di premis-premis perniagaan bagi meminta barangan tambahan itu dapat disusun dengan lebih rapi.

''Tindakan itu bertujuan mengurangkan risiko dan ancaman bahaya kepada pelanggan ketika operasi menyelamat sekiranya berlaku kebakaran," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, bermula tempoh yang sama juga satu jentera bomba akan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di setiap hentian Rawat dan Rehat (R&R) Gambang, Temerloh dan Genting Sempah.

Menurutnya, setiap jentera itu akan melibatkan seramai tujuh anggota yang ditempatkan secara bergilir-gilir bagi operasi menyelamat.

Katanya, penempatan itu membolehkan tindakan pantas dapat dihulurkan dalam operasi menyelamat.

Kg. Berdut bakal terima bekalan elektrik 24 jam

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Ismail Mohamed Said bertanya khabar Mohamad Jalil ketika menziarah bekas komando itu yang sakit di Kampung Datuk Sharif Ahmad, dekat Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 29 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju meluluskan peruntukan khas bernilai RM1 juta bagi menyediakan bekalan elektrik 24 jam di perkampungan Orang Asli Kampung Berdut di sini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, dengan ini, hampir semua perkampungan Orang Asli di Parlimen ini dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.

Katanya, projek di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) itu dilaksanakan bertujuan menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah di kampung-kampung tradisional dan kampung Orang Asli di luar kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelasnya, hanya sebuah lagi kampung Orang Asli yang masih belum mendapat bekalan elektrik iaitu Kampung Berdut tetapi kerja-kerja untuk menyalurkan elektrik ke kampung itu dijangka dilaksanakan tahun ini.

''Kerajaan berusaha menaik taraf ekonomi, pendidikan dan sosial masyarakat Orang Asli khususnya dalam Parlimen Kuala Krau dengan memajukan tanah kerajaan dengan getah dan kelapa sawit.

''Beberapa kampung Orang Asli dalam Parlimen Kuala Krau ialah Kampung Pasu, Kampung Pian, Kampung Lubuk Wong, Kampung Paya Pelong, Kampung Paya Rekoh, Kampung Penderas dan Kampung Seboi menikmati kehidupan semakin baik," katanya.

Ismail berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menziarah bekas komando, Mohamad Jalil, 68, di Kampung Datuk Sharif Ahmad dekat sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan rakyat berwaspada dengan perbuatan pihak tertentu yang gemar memutar belit kenyataan pemimpin bagi meremehkan ketokohan pemimpin.

Katanya, mereka sengaja mewujudkan persepsi negatif terhadap pemimpin kerajaan seolah-olah mereka lebih baik dalam segala aspek.

Tambah beliau, bagi mendapat maklumat sahih, rakyat perlu merujuk media rasmi kerajaan atau pegawai kerajaan bukannya media sosial yang boleh dipertikaikan integritinya.

Pengusaha inap desa jangan ambil kesempatan

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Mohd. Sharkar Shamsuddin bertanya sesuatu kepada peniaga ketika melawat Pasar Besar Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 29 Jan. - Pengusaha inap desa di negeri ini diminta tidak mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa sempena cuti Tahun Baharu Cina ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, meskipun permintaan terhadap inap desa meningkat semasa musim perayaan, sebarang kenaikan kadar sewa sebenarnya hanya akan menjejaskan industri pelancongan negeri.

"Pelancong luar dan tempatan sememangnya suka menginap di inap desa kerana harga yang murah dan suasana persekitaran nyaman, tetapi jika pengusaha mengambil kesempatan menaikkan sewa, sudah tentu pelancong tidak akan datang lagi menginap di situ.

"Mereka sudah tentunya akan ke tempat lain yang lebih murah dan baik, jadi yang ruginya adalah pengusaha inap desa itu sendiri," katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Temerloh di sini semalam.

Menurut Mohd. Sharkar, selain memastikan harga yang ditawarkan berpatutan, pengusaha inap desa juga hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan dan layanan yang baik kepada penyewa.

Tambahnya, pengusaha terlibat juga hendaklah terus berusaha mempelbagaikan tarikan di kawasan inap desa masing-masing bagi menarik kunjungan penyewa pada masa akan datang.

Sementara itu, beliau berkata, bagi menarik lebih ramai pelancong melawat Pahang pada tahun ini kerajaan negeri telah menyediakan 50 acara sepanjang tahun.

"Antara acara terbabit ialah Bird Watching Bukit Fraser Raub, sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuantan dan Royal Pahang Billfish International Challenge Kuantan selain 30 acara berkaitan pelancongan dan kebudayaan, muzium, makanan, sukan dan lain lain," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan seramai 10 juta pelancong akan melawat Pahang pada tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan membangunkan lebih banyak produk pelancongan di negeri ini selain menaiktaraf kawasan pelancongan sedia ada secara berterusan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved