Rabu, 29 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sindrom lena gugat kewibawaan

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

PERKEMBANGAN yang berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini cukup membimbangkan DATUK AIDIT GHAZALI. Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) ini melihat seakan-akan ada agenda jahat untuk merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama menerusi isu-isu sensitif yang sengaja dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor ini menegaskan kelahiran JATI mungkin tanpa dirancang namun pertubuhan itu cukup jelas dengan perjuangan untuk memartabat kebenaran dan melindungi agama Islam, hak umat di Malaysia dan institusi raja sebagai payung dan pelindung agama Islam daripada digugat dan dicabar.

Dalam konteks isu kalimah Allah dan rampasan Bible bahasa Melayu dan Iban yang menggunakan kalimah suci itu, apa pendirian JATI?

AIDIT: JATI lahir untuk saling melengkap usaha-usaha sedia ada dalam membanteras bahaya-bahaya tindakan menggugat martabat Islam, mencabar hak-hak umat Islam dan Raja Melayu.

Isu berkaitan salah guna kalimah Allah oleh pihak Kristian dan banyak lagi isu lain telah JATI tangani selama dua tahun kebelakangan ini dan menjadi fokus kita.

Apabila JATI bersuara, kami berpegang pada al-Quran, sunah, ijmak ulama, segala pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Perlembagaan Persekutuan, hak Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, pengakuran pada fatwa-fatwa, keputusan mahkamah dan hakikat yang tidak boleh disangkal, iaitu bumi Malaysia ini adalah Tanah Melayu dan Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Justeru, pendirian JATI terhadap isu kalimah Allah dan rampasan bible juga bersandarkan pada teras-teras ini.

Terdapat semacam kecelaruan sesetengah pihak tentang ketegasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas bible menggunakan kalimah Allah itu. Apa puncanya?

Kecelaruan yang dikatakan itu bergantung pada siapa yang dikatakan bercelaru? Bagi saya, pihak gereja dan golongan Kristian yang terlibat bukan celaru tetapi sengaja tidak mahu terima hakikat dan kebenaran yang terkandung dalam teras-teras yang saya sebutkan awal tadi. Sudah terang lagi bersuluh, seolah-olah ada suatu agenda yang tersirat dan yang tidak bersifat mulia terhadap Islam, umatnya dan kedaulatan negara?

Mereka menimbulkan tentang Perkara 10 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa jika ada enakmen, maka enakmen mengatasi Perkara 10 ini. Mereka menimbulkan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi tetapi tidak mengutamakan penghakiman Mahkamah Rayuan. Mereka hendak menggunakan hujah hak asasi tetapi mengapa guna takrifan hak asasi negara-negara lain sedangkan mereka ialah rakyat Malaysia? Banyak lagi kontradiksi dan paradoks yang mereka lakukan sehinggakan sangat kelihatan naïf dan jelas menunjukkan kedegilan yang bakal mengundang kemudaratan dalam negara kita.

Apakah pihak-pihak parti politik pembangkang dan sebahagian parti komponen Barisan Nasional celaru?

Pada saya tidak. Tetapi yang malangnya apabila mereka lebih mementingkan kelebihan politik kepartian dan parakiolisme daripada hendak menegakkan tonggak-tonggak negara dan kemaslahatan awam.

Apakah rakyat celaru? Di sini kita kena kaji apa sebab utama mereka boleh jadi begitu? Mungkin kualiti maklumat serta kaedah menyampaikan maklumat perlu diperbaiki. Apakah kerana wujud para pemimpin yang tidak mencerminkan sifat-sifat mithali sehingga masyarakat sangsi dengan kewibawaan mereka apabila berhujah? Apakah sistem pendidikan kita masih gagal melahirkan masyarakat yang bukan sekadar celik akal tetapi juga celik iman dan celik akhlak? Apakah sebab mereka yang ada kuasa bertindak tetapi tidak kuasa hendak bertindak sehinggakan undang-undang ibarat gajah putih?

KEPARTIAN

Justeru, sekiranya kewibawaan pihak-pihak yang memimpin dipersoalkan, saya tidak hairan kerana pada saya, mereka sendiri yang menjemput keadaan ini berlaku ke atas mereka. Ketika ini, masih banyak lagi pihak seperti NGO Islam dan Melayu, tokoh wibawa, para ulama yang tidak buta dengan politik kepartian sempit dan pelbagai pihak lagi yang sudi menghulur kudrat untuk menangani kemelut ini. Tetapi setakat mana pihak-pihak berkuasa sudi memberi tempat yang bermakna dan berkesan untuk mereka, masih boleh dipersoalkan.

Yang saya perhatikan masih lagi wujud sindrom lena dan sikap zon selesa sehinggakan kesegeraan yang sepatutnya ditunjukkan oleh pihak-pihak berkuasa lembab dibuktikan.

Apa yang mendorong kelompok evangelis Kristian ini mencabar Perlembagaan, enakmen yang berkaitan dengannya dan kuasa Raja Melayu sebagai ketua agama?

Saya yakin bahawa puak-puak yang tidak bertanggung jawab ini tidak akan berani bertindak tanpa ada kuasa-kuasa lain yang memberi mereka sokongan, dorongan dan kekuatan. Selain badan-badan, tokoh-tokoh serta parti-parti politik dalam negara yang sefikrah dengan mereka, saya yakin juga bahawa wujud tangan-tangan ghaib dan kuasa-kuasa terselindung di luar negara yang bersekongkol dengan puak-puak ini. Keadaan menjadi semakin musykil dan penuh kesangsian apabila ramai rakan saya yang beragama Kristian tidak bersetuju dengan kedegilan rakan-rakan seagama mereka ini.

Malah, jika kita kaji pelbagai hakikat yang wujud dalam dunia penganut Kristian, kita dapati bahawa wujud pelbagai percanggahan ketara, hatta yang melibatkan soal prinsip dalam kepercayaan kumpulan Kristian masing-masing. Malah, berlaku banyak kes salah laku moral yang melibatkan para paderi mereka, sebagaimana dilaporkan oleh agensi-agensi media antarabangsa.

Dalam dunia di mana kecanggihan ICT berada di tahap tinggi, berita-berita aib ini tidak boleh disembunyi lagi, ibarat pekung agenda dan salah laku sebahagian daripada mereka ini tidak mampu dihalang daripada pengetahuan umum.

Tetapi, selagi umat dan para pemimpin Islam sendiri tidak tegas dan ikhlas dalam mempertahankan hak-hak kita, maka selagi itulah puak-puak ini masih kuat bukan sebab mereka layak dipanggil kuat, tetapi kita menyajikan kepada mereka kekuatan akibat kelemahan kita sendiri.

Apakah kerajaan yang ada di Selangor mampu mempertahankan kewibawaan umat Melayu, kedudukan agama Islam dan peranan Sultan sebagai Ketua Agama?

Saya masih mencari-cari bukti kukuh untuk katakan bahawa mereka serius dalam hal ini. Tetapi setakat ini, saya belum jumpa bukti itu walaupun sudah dua pilihan raya umum (PRU) menyaksikan pakatan pembangkang menang di Selangor.

Bagaimana saya nak cari bukti jika dalam kedua-dua kes yang melibatkan JAIS iaitu Damansara Utama Methodist Church (DUMC) dan Persatuan Bible Malaysia ini menyaksikan pimpinan Muslim dalam kerajaan negeri seolah-olah membela puak Kristian sedangkan sepatutnya memberi jawapan adil dari segi memberi ruang kepada JAIS untuk memajukan maklumat yang lebih terperinci?

Bagaimana saya nak ada keyakinan jika saya saksikan ketara sikap mengalah pada DAP manakala wakil-wakil Pas terus lesu dalam mempertahankan Islam?

Tetapi JATI tidak mahu mengira-ngira jumlah kontradiksi sebab itu yang pihak musuh hendak. Mereka hendak kita sibuk tangani isu sehinggakan kita tidak cukup masa dalam membuat rancangan rapi untuk maju ke hadapan.

Justeru, JATI akan bersinergi dengan pelbagai rakan pintar dalam memperkasakan khazanah maklumat kerana tanpa maklumat yang tepat serta berkesan, kita nanti sekadar bertindak dalam kegelapan.

Apakah krisis politik yang sedang terjadi di Selangor bersifat ideologikal atau pancaran daripada kepentingan peribadi dan kelompok?

Pada saya, krisis politik yang berlaku ini adalah petanda jelas bahawa retak bakal menjadi belah. Faktor-faktor yang akan mempengaruhi momentum menjadi belah ini banyak tetapi yang utama adalah sifat kemaruk kuasa, taksub pengikut kepada tokoh sanjungan mereka, kedegilan sebahagian masyarakat untuk mengaku bahawa mereka telah salah pilih pemimpin, kegigihan NGO Islam dan Melayu untuk bertindak dengan lebih rapi lagi, pendedahan pelbagai cerita dalaman yang tak mampu disembunyikan lagi serta keinsafan sebahagian pimpinan UMNO yang ikhlas hendak melakukan transformasi pemerkasaan visi dan misi.

Realiti politik dalam negara kita adalah seperti bongkah ais. Kita hanya tahu 20% yang berlaku tetapi yang berlaku belakang tabir, secara rahsia, melalui lakonan serta drama politik adalah 80%. Masyarakat semakin celik dalam merasai kehadiran 80% ini walaupun tidak ramai yang mahir membacanya.

Tentu sekali ini akan merugikan Islam, umatnya dan masa depan generasi kita apabila ada pihak yang boleh tersenyum dengan kekaburan serta kecelaruan yang dicipta sehinggakan bakal pengundi muda pada PRU-14 nanti akan membuat pertimbangan berdasarkan bacaan yang salah.

Kembalilah kepada pepatah, "berani kerana benar dan takut kerana salah. Jangan kita lebih indah khabar daripada rupa. Bila buat kerja, elakkan sekadar melepaskan batuk di tangga. Jika hendak bertindak, ukur baju pada badan sendiri supaya kita tidak lebih sudu daripada kuah."

Apabila cita-cita politik menjadi keutamaan

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Azmi Hassan
PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

BEGITU menarik sekali senario politik yang sedang melanda serentak di Malaysia, Thailand dan Mesir kerana ia adalah manifestasi kepada keadaan apa jua boleh berlaku jika objektif politik menjadi keutamaan dan mengatasi segala yang lain.

Pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan tersebut bukanlah satu keadaan yang berlaku secara kebetulan atau pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketandusan calon tetapi kerana terdapat perancangan yang lebih besar.

Demi untuk menyelamatkan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor daripada lebih kucar-kacir ekoran perbalahan di antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali, maka Pakatan Rakyat terpaksa mengambil jalan tengah dengan menjadikan pengundi DUN Kajang sebagai pemangkin hasrat tersebut.

Jalan tengah yang dimaksudkan itu dipercayai melantik Menteri Besar Selangor baharu yang tidak tergolong dalam dua kumpulan yang berseteru dan tidak keterlaluan jika diandaikan dengan pencalonan Anwar sebagai calon DUN Kajang, ia merupakan langkah awal untuk memuktamadkan jalan tengah tersebut.

Ada pihak yang menuduh pakatan PKR, Pas dan DAP telah menyalahgunakan sistem pilihan raya hanya untuk kepentingan parti politik masing-masing. Ini adalah kerana mengadakan pilihan raya kecil secara sengaja adalah suatu pembaziran wang, masa dan tenaga.

Tambahan pula PKR dan Pas mempunyai ramai YB DUN Selangor yang berkemampuan menerajui negeri tersebut. Paling malang dalam episod ini adalah pengundi DUN Kajang yang telah dijadikan kambing hitam dan dipergunakan hanya kerana masalah politik dalaman PKR.

Begitu juga dengan kemelut di Thailand berlaku kerana hanya cita-cita politik kumpulan tertentu sehingga sanggup melumpuhkan ekonomi negara sendiri melalui demonstrasi dan rusuhan yang menggugat pentadbiran kerajaan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Paling menakjubkan lagi ialah kumpulan memberontak ini yang mempunyai cita-cita membentuk kerajaan tetapi tidak mahu melalui proses demokrasi kerana dari awal lagi telah menolak pilihan raya umum yang akan diadakan pada hari Ahad ini.

Begitu mengaibkan sekali kumpulan tersebut bukan sahaja sanggup membelakangkan proses demokrasi tetapi turut menuduh pengundi yang memilih kerajaan Yingluck sebagai tidak berpelajaran dan begitu mudah disogok dengan rasuah.

Tiada bezanya senario politik DUN Kajang dan Thailand kerana ia telah menjadi kenyataan akibat cita-cita politik dan pengundi telah dijadikan pemangkin untuk mencapai objektif politik kumpulan tertentu.

Tetapi senario terkini politik Mesir adalah ibu kepada segala-gala yang berkaitan dengan cita-cita politik kerana kebarangkalian Ketua Tentera Mesir, Panglima Abdel Fattah al-Sisi dilantik sebagai Presiden Mesir keenam adalah begitu tinggi sekali.

CENGKAMAN

Berbeza dengan Thailand yang angkatan negara tersebut begitu berat untuk campur tangan dalam krisis politik walaupun kerap melakukan rampasan kuasa, Mesir nampak gayanya akan kembali kepada pemerintahan yang menyaksikan angkatan tentera mempunyai pengaruh besar.

Ketika dilantik sebagai Ketua Angkatan Tentera Mesir dan juga Menteri Pertahanan oleh bekas Presiden Mohamed Morsi pada Ogos 2012, Abdel Fattah telah berikrar tidak akan melibatkan angkatan tentera dalam pentadbiran kerajaan. Ini kerana Morsi ialah presiden Mesir pertama yang tidak mempunyai latar belakang pengaruh tentera.

Tetapi anehnya pada Julai 2013, Abdel Fattah bukan sengaja menggulingkan Presiden Morsi tetapi seterusnya mengharamkan Ikhwanul Muslimin yang menjadi tunjang pemerintahan Morsi dengan alasan demi menjaga kestabilan Mesir.

Paling menakjubkan perjalanan Arab Spring Mesir yang berjaya keluar dari cengkaman diktator Presiden Hosni Mubarak adalah akan kembali kepada penguasaan tentera jika Abdel Fattah menjadi Presiden. Begitu juga dengan pilihan raya Presiden yang dijadualkan berlangsung pada April akan datang mendahului pilihan raya Parlimen adalah perancangan untuk memberi kuasa penuh kepada Presiden untuk mewarnai pemilihan wakil legislatif Parlimen.

Sebab itu dalil yang mengandaikan perjalanan politik Mesir adalah ibu kepada senario yang sedang melanda DUN Kajang dan Thailand kerana pihak berkepentingan di Mesir iaitu Majlis Angkatan Tentera begitu berjaya mempergunakan proses demokrasi untuk mengekalkan manfaat masing-masing.

Pungutan suara perlembagaan Mesir yang baharu sahaja tamat walaupun mendapat hampir 98 peratus persetujuan tetapi begitu aib sekali kerana tidak sampai 40 peratus yang menjalankan tanggung jawab sebagai pengundi. Jelas sekali walaupun pungutan suara tersebut adalah salah satu proses demokrasi tetapi pelaksanaannya begitu terhad sekali.

Begitu juga dengan keputusan mengadakan pilihan raya Presiden lebih awal berbanding pilihan raya Parlimen walaupun perancangan asal yang telah dipersetujui adalah sebaliknya. Itu adalah manifestasi jelas mempergunakan proses pilihan raya untuk kepentingan pihak tertentu.

Amat malang sekali proses demokrasi sesebuah negara telah disalahgunakan hanya kerana memenuhi cita-cita politik. Kumpulan yang menjadi mangsa ialah pengundi dan rakyat sesebuah negara. Walaupun dari segi perundangan atau peraturannya adalah dibenarkan tetapi dari segi moral dan etikanya pula, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Tidak kira sama ada senario politik DUN Kajang, Thailand atau Mesir, pengundi sebenarnya telah dijadikan sebagai alat dan tidak keterlaluan diandaikan sebagai kambing hitam. Pengundi menjadi serba salah akibat permainan politik yang begitu melampaui batas.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved