Rabu, 29 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Segamat diberi perhatian

Posted: 28 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin menandatangani plak sebagai gimik perasmian Klinik Rakyat 1Malaysia Bukit Siput sambil diperhatikan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap (kiri), Pagawai Daerah Segamat, A Rahim Nin (dua dari kiri), Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Obet Tawil (tiga dari kiri) di Segamat, kelmarin.

SEGAMAT 28 Jan. - Segamat diberi perhatian kerana berpotensi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian pertanian dan pusat ekopelancongan berdasarkan kemudahan serta kegiatan pertanian yang dijalankan secara meluas oleh penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut akan diambil kira dalam dalam rangka Pelan Pertumbuhan Ekonomi Strategik Johor yang bakal dimuktamadkan pada hujung tahun ini.

"Bagi menjayakannya kerajaan negeri akan meneliti segala kelebihan yang ada dan keperluan penduduk setempat agar tidak ada yang merasakan terpinggir dari limpahan arus pembangunan berikutan daerah ini terletak agak jauh dari pusat pentadbiran negeri.

"Melalui Pelan Pembangunan Ekonomi Strategik kerajaan akan dapat melihat dengan lebih jelas keperluan serta kesesuaian pembangunan yang bakal diagihkan secara sama rata di setiap daerah," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Sempena Lawatan Kerja ke Daerah Segamat di sini semalam.

Dalam lawatan kerja tersebut, beliau turut meninjau kemajuan pembinaan Lebuhraya Segamat - Tangkak, rancangan tebatan banjir dan merasmikan Klinik 1Malaysia (KR1M) di Bukit Siput dekat sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, turut meluluskan peruntukan RM300,000 bagi menaik taraf pusat pemindahan banjir di Kampung Pogoh 2 dekat sini.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana kawasan atau daerah dalam pengagihan pembangunan, sebaliknya dilakukan secara adil dan menyeluruh, malah pelbagai projek pembangunan sedang rancak berjalan di Segamat dengan peruntukan berjumlah lebih RM1.5 bilion.

Antara projek dari kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata beliau adalah Lebuhraya Segamat - Tangkak yang menelan kos RM792 juta, rancangan tebatan banjir sebanyak RM231 juta dan Projek Landasan Berkembar menghubungkan Gemas-Johor Bahru bernilai RM8 bilion.

"Kesemua peruntukan itu belum dicampurkan dengan peruntukan dari kerajaan negeri. Tidak dinafikan rangkaian jalan raya dan masalah banjir membantutkan kemasukan pelabur luar ke daerah ini sebelum ini, namun ketiga-tiga projek pembangunan yang sedang berjalan diharap akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

"Sebaik sahaja masalah diatasi, akan datang lebih ramai pelabur datang membuat pelaburan di daerah ini sekali gus mampu merancakkan kegiatan ekonomi yang mampu memberi kemakmuran kepada warga Segamat," katanya.

MRQ 76 tingkat pengeluaran beras wangi

Posted: 28 Jan 2014 11:03 AM PST

KERJA menuai padi MRQ 76 yang kali pertama dihasilkan di Kampung Kesang Tasek dekat Kesang, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 28 Jan. - Daerah ini menjadi perintis memperkenalkan penggunaan benih padi baharu MRQ 76 di 1,531 hektar sawah di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan terhadap beras wangi berkualiti tinggi.

Jenis tersebut yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadikan kawasan kira-kira 2.4 hektar di Kesang Tasek, dekat sini sebagai projek perintis untuk melihat kesesuaian dan hasilnya.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, mengikut perancangan apabila jenis MRQ 76 berjaya ditanam dan mengeluarkan produktiviti tinggi di Kesang Tasek, benih baharu itu turut akan ditanam di daerah lain.

"Kesang Tasek menjadi model untuk seluruh negeri ini. Selepas ini kita akan gunakan varieti ini di semua kawasan sawah di Ledang iaitu di Kesang Tasek dengan keluasan 76 hektar, Kesang Gate (32.4), Pulau Penarek (50.7), Telok Rimba (151.52) dan Sawah Ring (270).

"Ledang menyumbang kira-kira 70 peratus hasil beras untuk negeri ini dan kita percaya selepas ini Mersing yang merupakan kawasan sawah padi kedua terbesar akan menggunakan benih baharu ini diikuti daerah lain," katanya ketika ditemui selepas majlis menuai padi baharu MRQ 76 di Kampung Kesang Tasek, hari ini.

Beliau berkata, varieti baharu itu mempunyai banyak keistimewaan, antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak, matang pada 117 hari selepas ditabur benihnya, selain tahan penyakit karah atau serangan kulat yang merosakkan tangkai dan daun serta tahan serangan bena perang iaitu serangan ulat, serangga, hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.

MRQ 76 turut menghasilkan beras seroi atau peroi yang lembut, melekit dan sedikit berketul serta mampu mencecah lima hingga enam tan metrik bagi satu hektar sawah dan boleh dijual RM1.60 sekilogram (kg) berbanding beras jenis lain seperti MR220CL1 dan MR220CL2 iaitu RM1.15 bagi satu kilogram.

"Benih jenis ini sesuai ditanam di kawasan yang bukan jelapang padi. Johor menjadi negeri keempat menggunakan benih ini selepas Terengganu, Kedah, Perak dan Melaka," katanya sambil memberitahu benih tersebut mampu meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman atau penyelenggaraan kerana tidak perlu menggunakan racun atau baja kimia bagi mengawal serangga atau penyakit.

Abdullah berkata, MRQ 76 hanya menggunakan baja organik dihasilkan daripada najis ayam atau lembu dan kaedah tersebut mesra alam serta lebih selamat.

"Penggunaan varieti baharu ini juga disasar bagi mengurangkan 30 peratus atau kira-kira RM500 juta yang dibelanjakan untuk import beras wangi dari Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi menampung keperluan dalam negara," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved