Rabu, 29 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


956 mesin judi dirampas

Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

Som Sak a/l Din Keliaw menunjukkan mesin judi disyaki mempunyai perisian perjudian bernilai kira-kira RM1 juta dilupuskan di Tapah, Perak, kelmarin.

TAPAH 28 Jan. - Sebanyak 956 mesin judi berkomputer dianggarkan bernilai RM1 juta berjaya dirampas di daerah ini membabitkan 55 serbuan dan 58 tangkapan sejak 2011 sehingga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, daripada jumlah itu, 2013 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 25 serbuan dan 31 tangkapan selain 266 mesin judi berkomputer berjaya dirampas.

Katanya, berdasarkan statistik, kawasan Bidor dan Sungkai menyumbang kepada jumlah serbuan tertinggi.

Golongan yang ditahan membabitkan pelbagai peringkat usia. Modus operandi pusat mesin judi ini ialah menggunakan kedai-kedai biasa yang berkunci dan mempunyai pengawasan kamera litar tertutup.

Setiap kali serbuan dilakukan, mereka akan menukar fungsi mesin judi berkomputer tersebut. Kami menganggarkan kos sebuah mesin judi berkomputer itu adalah RM1,000, jadi jumlah keseluruhannya ialah RM956,000.

Pihak polis menasihatkan orang ramai khususnya pelajar tidak terjebak dengan kegiatan ini kerana amalan berjudi menyumbang 80 peratus daripada gejala sosial sehingga terjebak kepada perlakuan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis pelupusan mesin judi berkomputer di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.

Mengulas mengenai sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, Som Sak menasihatkan orang ramai yang mahu meninggalkan rumah dan pulang ke kampung melaporkan terlebih dahulu kepada balai polis berdekatan.

Langkah itu katanya, bagi membolehkan pihak polis melakukan rondaan yang lebih kerap di kawasan perumahan seperti dilaporkan bagi mengelakkan berlakunya kejadian pecah rumah.

Kami bukan hanya mahu memastikan orang ramai selamat di jalan raya, tetapi kediaman mereka juga selamat sewaktu pulang ke kampung.

Berdasarkan statistik 2012, tiada kejadian pecah rumah terhadap pemilik kediaman yang melaporkan terlebih dahulu kepada polis sebelum pulang ke kampung," jelas beliau.

KEDA rancang buka lebih banyak pasar mini

Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST

ARFAN Saari (kanan) menyerah replika kunci dewan serbaguna kepada Mohd. Saidi Midin sempena Program Sejambak Budi Segunung Penghargaan di Taman Cempeka Selama, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 28 Jan. - Lebih banyak pasar mini serbaneka dikenali sebagai Slesa milik anak syarikat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bakal beroperasi di seluruh negeri ini menjelang Februari.

Pengurus Besar KEDA, Datuk Arfan Saari berkata, dengan adanya pasar mini seumpama itu ia memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk membeli pelbagai barangan keperluan masing-masing.

Katanya, ketika ini dua pasar mini berkenaan dibuka di Alor Setar dan masing-masing satu di Sungai Petani, Kulim dan Serdang.

"Kita berharap orang ramai memberi sokongan sepenuhnya terhadap pembukaan pusat perniagaan barang kering itu," katanya kepada pemberita sempena Program Sejambak Budi Segunung Penghargaan di Taman Cempeka Selama daerah Bandar Baharu di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan kunci dewan serbaguna Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Selama di sini kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Mohd. Saidi Midin.

Dewan itu dibina oleh KEDA dengan kos RM185,000 dan siap kira-kira dua bulan lepas.

Arfan berkata, banyak barangan berkualiti dikeluarkan oleh penduduk tempatan melalui projek industri kecil dan sederhana (IKS) bakal dijual di pasar mini berkenaan.

"Setiap pasar mini itu bernilai lebih kurang RM300,000 termasuk kos pembinaan dan penyediaan barang runcit," katanya.

Rumpai laut sumber pendapatan

Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST

OLEH SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

Ahmad Bakri Ali (kanan) melawat tapak kolam ternakan ikan air tawar di Padang Keria, Kuala Sanglang, Perlis, semalam.

ARAU 28 Jan. - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal memperkenalkan tanaman rumpai laut air payau sebagai sumber pendapatan baharu kepada 35 penternak ikan air tawar di Perlis mulai tahun depan.

Ketua Cawangan Industri Bukan Padi, Ibu Pejabat MADA, Jalizah Abdul Jalil berkata, kolam ikan yang dimiliki 21 penternak di Kampung Padang Keria dan selebihnya lagi di kawasan berdekatan didapati sesuai untuk tanaman rumput ini kerana berdekatan laut.

"Tanaman rumpai laut ini juga tidak akan menjejaskan ternakan ikan talapia merah sekalipun di dalam kolam yang sama," katanya kepada sidang akhbar selepas majlis pengurusan kolam ikan untuk penternak ikan anjuran MADA di rumah Mansor Karim di Kampung Padang Keria, Sanglang, dekat sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Ahmad Bakri Ali.

Bagaimanapun katanya, MADA akan melihat dahulu perkembangan projek rintis rumpai laut air payau ini yang akan dilaksanakan di Kampung Sanglang, Kedah.

"Seorang penternak ikan air tawar telah dipilih untuk terlibat dalam projek ini yang dijangka dimulakan pada pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata, kos untuk tanaman rumpai laut di kolam seluas satu hektar hanya RM5,000.

Jalizah berkata, sehingga kini 35 penternak ikan air tawar di negeri berjaya mengeluarkan lapan tan ikan talapia merah pada tahun lalu dengan nilai jualan sebanyak RM44, 090.

"Penternak akan menuai ternakan ikan dua kali dalam setahun," katanya.

Menurut beliau, biasanya ternakan itu sudah boleh dituai selepas ikan berusia empat bulan.

Katanya, MADA telah membekalkan 5,000 benih ikan dan makanannya pada awal tahun lalu kepada penternak-penternak di Perlis.

Jalizah berkata, selepas itu MADA cuma memberikan bantuan tambahan seperti tong gas dan peralatan kecil yang lain.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved