Rabu, 2 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


UTeM perkasa bidang teknikal negara

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Nursuraya Zulkifli
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 1 April - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus komited untuk memperkasa pendidikan tinggi teknikal ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan menawarkan program-program ijazah sarjana muda kejuruteraan secara asas yang meluas dan komprehensif.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Shahrin Sahib berkata, pelaksanaan kurikulum program kejuruteraan itu merupakan usaha UTeM untuk melahirkan modal insan berkualiti dalam bidang kejuruteraan yang turut menyokong usaha mengarusperdana Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menurutnya, pemerkasaan program tersebut juga akan memastikan universiti itu terus menerajui bidang teknikal dan teknologi negara sekali gus memastikan graduannya menjadi pilihan utama industri di peringkat nasional dan juga global.

"Pelaksanaan program kejuruteraan secara 'broad based' ini akan berkuat kuasa mulai sesi pengajian 2014/2015 melibatkan semua pelajar tahun satu program pengajian ijazah sarjana muda kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan.

"Sebanyak lima program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan juga akan ditawarkan oleh UTeM untuk pengambilan sesi 2014/2015," katanya.

Shahrin berkata, penawaran program tersebut dilihat akan dapat memantapkan penguasaan pelajar dalam ilmu kejuruteraan di samping menerapkan ciri-ciri kreativiti, inovasi dalam kalangan pelajar.

Katanya, pembaharuan itu adalah salah satu usaha UTeM dalam menyediakan program akademik yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan dan juga memenuhi kehendak jaminan kualiti.

"Ini sekali gus mencerminkan komitmen UTeM memberi nilai tambah dalam keilmuan dan kapasiti negara dalam melahirkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Akademik UTeM di talian 06-3316076/6077/6078 atau melayari www.utem.edu.my.

Integrasi ilmu aqli dan naqli perkasa USIM

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Dr. Asma Ismail menyampaikan Amanat Tahun 2014 Naib Canselor di Dewan Besar Universiti Sains Islam Malaysia di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 1 April - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan dalam mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam usaha memperkasakan kedudukannya supaya terus mampu bersaing di arus perdana dan di peringkat antarabangsa.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, hala tuju USIM pada 2025 adalah untuk menjadi universiti terkemuka dunia untuk integrasi kedua-dua ilmu tersebut dan pada tahun lalu ia sudah mencapai pengiktirafan sebagai universiti peneraju terkini (emerging leader) bagi integrasi ilmu naqli dan aqli di peringkat kebangsaan.

"Untuk menjadi universiti terkemuka dunia, kita akan usahakan pengintegrasian ilmu naqli dan aqli secara berperingkat agar lima tahun dari sekarang semua aspek USIM bermula daripada pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pentadbiran dan pengurusan, pengantarabangsaan, pembangunan sahsiah pelajar dan staf, kelestarian kewangan, libatsama komuniti serta pentadbir dan polisi USIM akan diubahsuai dengan baik agar menganuti falsafah integrasi ilmu berkenaan.

"Pada tahun ini, kita akan menjajarkan semua strategi dan pelan perancangan USIM agar dapat bersedia untuk melonjak ke arah kecemerlangan pada tahun 2015 nanti," katanya melalui Amanat Tahun 2014 Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Besar USIM di sini baru-baru ini.

Menurutnya, USIM sememangnya unik kerana ia satu-satunya institusi yang mengangkat integrasi naqli dan aqli bukan sahaja dalam kurikulum malah sistem tadbir urusnya.

Justeru itu, katanya, USIM pada awal tahun 2013 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peneraju Konsortium Institusi Pengajian Tinggi Islam bagi Kualiti Akademik dan Penyelidikan Lanjutan atau dikenali sebagai i-IQRA.

"Negara meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat konsortium ini dapat memperkasakan program akademik dan pengajian Islam yang bukan sahaja terhad kepada institusi pendidikan dalam negara tetapi turut menjangkau manfaatnya di peringkat serantau dan rakan-rakan di dalam OIC," ujarnya.

Asma berkata, USIM pada usia yang disifatkan masih muda telah mencipta sejarah dan mendapat pengiktirafan apabila memenangi tiga anugerah daripada Europe Business Assembly (EBA) pada Majlis Anugerah Socrates (Socrates Award Ceremony) yang diadakan di London pada 16 hingga 19 Disember tahun lalu.

Jelasnya, kejayaan USIM memenangi Best Regional University, Best Manager of the Year dan Best Scientist 2013 memberi peluang kepada USIM untuk mengukuh dan memartabatkan sains Islam di peringkat global bertepatan dengan tema universiti itu sendiri iaitu Mempelopori Sains Islam, Memimpin Keilmuan.

Beliau yakin USIM telah mula mendapat kepercayaan kerajaan dan negara bukan kerana kebetulan tetapi disokong oleh rekod prestasi yang baik dan memberangsangkan.

"Meneruskan legasi kejayaan yang lalu, USIM membuktikan pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kecemerlangan institusi, kehebatan bakat oleh figura dan ikon serta meraih pencapaian membanggakan di bidang penyelidikan, penulisan dan penerbitan sehingga mencapai penarafan empat bintang bagi MyRa," ujarnya.

Melaka hadapi lonjakan pelaburan

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (tengah) meletakkan tangan ke atas bebola kristal sebagai tanda perasmian Konvensyen Antarabangsa Melaka Bandar Berkembar ke-14 sambil diperhatikan oleh Zainal Abu (tiga dari kanan) serta Exco-Exco negeri di Banda Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 1 April - Penyertaan duta dan pesuruhjaya tinggi dari 20 buah negara dalam Konvensyen Antarabangsa Bandaraya Berkembar ke-14 dijangka melonjakkan perkembangan pelaburan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, mereka merupakan antara 278 peserta daripada 23 buah negara yang menyertai termasuk Kanada, Indonesia, Mexico, Iraq, Singapura, Jepun, Australia dan Uzbekistan.

Menurutnya, minat golongan itu untuk mendapatkan pelbagai informasi dan pengetahuan tentang kedudukan pembangunan negeri ini memperlihatkan konvensyen itu berkemampuan membawa manfaat terhadap pembangunan ekonomi negeri.

"Ini merupakan perkembangan yang baik, lebih-lebih lagi tema yang dibawa pada tahun ini ialah Projek-projek Mega - Konsep, Strategi dan Amalan untuk Kejayaan.

"Kehadiran para duta ini kemungkinan dapat membantu perkembangan pelaburan di negeri ini berikutan ramai yang hadir dan mungkin ada antara mereka dapat melihat ruang serta peluang untuk negara masing-masing melabur di negeri ini.

"Ia bertepatan pada saat dunia kini sibuk dengan pembangunan yang bersifat futuristik dan pertukaran maklumat serta pengalaman daripada pelbagai negara luar yang pernah membangunkan projek mega akan membantu Melaka dalam kemajuan projek Melaka Gateway," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan konvensyen dua hari itu di Banda Hilir di sini hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Melaka, Datuk Zainal Abu.

Idris berkata, pelbagai maklumat yang diperolehi daripada konvensyen itu dilihat dapat melicinkan pembangunan projek mega iaitu Melaka Gateway di negeri ini.

Katanya, ledakan pembangunan yang bakal dinikmati oleh rakyat di negeri ini merupakan cabaran buat kerajaan negeri sebagai sebuah negeri berteknologi hijau.

Ujarnya, projek yang menelan belanja RM40 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 itu bakal menekankan aspek penting iaitu keharmonian terhadap alam sekitar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved