Rabu, 2 April 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Nafsu seks dikunci

Posted: 01 Apr 2014 11:49 PM PDT

TERKEDU penulis mendengar pengakuan yang diceritakan oleh seorang kenalan yang dipertemukan menerusi laman sosial. Aina (bukan nama sebenar), 37, mahu berkongsi kisah hidupnya selepas menjanda. Kata Aina, walaupun tragedi rumah tangganya telah beberapa tahun berlalu, namun dia sukar melupakannya apatah lagi setelah dirinya baru-baru ini dilamar oleh seorang lelaki di tempat kerjanya.

Serik atau fobia, entahlah saya pun tidak tahu untuk menterjemahkan rasa hati ini. Pengalaman buruk rumah tangga yang lalu membuatkan saya fobia untuk berkahwin sekali lagi," kata Aina membuka bicara pada pertemuan yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Kata Aina, pergolakan rumah tangganya bermula dari tahun 2009 iaitu selepas kira-kira lima tahun mereka berumah tangga pada tahun 2004.

Pada mulanya saya ingatkan suatu yang normal bagi pasangan suami isteri yang semakin kurang mesra selepas mendapat anak kecil. Boleh dikatakan hampir lima tahun selepas kelahiran anak bongsu saya tidak pernah bersama dengan suami.

Setiap kali ingin melakukannya, nafsu suami bagai disekat dan tidak bermaya. Sebagai isteri yang normal sudah tentu saya rasa ada yang tidak kena dan tidak gembira dengan keadaan tersebut," akui Aina.

Pada mulanya Aina menyangkakan dirinya yang menjadi punca suaminya tidak bernafsu. Dia mengambil inisiatif melakukan pelbagai perawatan kulit dan wajah termasuk menghadiri pusat perlangsingan badan semata-mata untuk memikat suami.

Ketika itu saya yakin masalah ini berpunca daripada silap saya sendiri yang kurang menjaga penampilan diri semenjak terlalu sibuk dengan kerjaya dan anak-anak," cerita Aina lagi.

Nasib baik seorang amah yang diperoleh dari seberang banyak membantu kehidupan Aina dan suami menjadi lebih terurus. Tapi Aina sendiri masih hairan kerana suaminya tetap dingin di ranjang.

Saya beri dia masa lagi, mungkin stres kerana kerja, walaupun sabar menunggu saya tidak kisah kerana seks bukanlah keutamaan dalam rumah tangga, bagi saya ia umpama penyeri rumah tangga sahaja," ujar Aina lagi.

Jeling pembantu

Tapi hendak dikatakan tiada bernafsu, Aina perasan suaminya pernah menjeling ke arah pembantu rumahnya sewaktu amah itu sibuk di dapur.

Memang suami tidak perasan saya sedang memerhatikannya, meluat juga saya, tapi saya cuba buat tidak tahu

sahaja hinggalah saya mengesyaki pembantu rumah mengenakan ilmu hitam merosakkan rumah tangga saya.

Ini bukan tuduhan melulu kerana saya ada beberapa petunjuk dan bukti berasas. Mulanya saya sangka suami menghadapi masalah lemah tenaga batin.

Hasil perbincangan dengan suami, kami berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian. Namun, pemeriksaan mengesahkan saya tidak mengalami sebarang masalah seksual," cerita Aina lagi.

Berikutan itu Aina dan suami berbincang masalah tersebut dengan anggota keluarga dan ada yang mencadangkan mencuba perubatan secara Islam kerana mungkin ada orang menggunakan cara halus untuk merosakkan rumah tangga mereka.

Selepas berubat di pusat rawatan Islam, kami terkejut apabila ustaz memberitahu saya mungkin terkena sihir dilakukan orang yang pernah duduk serumah dengan kami.

Selepas dimaklumkan begitu, saya terus teringat ketika berada dalam berpantang kira-kira lima tahun lalu, saya pernah mengambil seorang pembantu rumah untuk menguruskan rumah," imbasnya.

Selepas itu Aina terus mendesak suaminya untuk mengetahui apa yang terjadi di luar pengetahuannya selepas amah berkenaan menamatkan kontraknya.

Ternyata Aina amat terkejut apabila mendengar pengakuan suaminya yang sepanjang tempoh amah berusia 30-an itu bekerja, mereka pernah terlanjur selepas tidak tahan dengan godaannya.

Rupa-rupanya mereka berzina pada setiap kali Aina keluar berurut ke rumah bidan. Ketika itu Aina langsung tidak mengesyaki perlakuan amah dan suaminya kerana mereka melayan Aina dengan begitu baik sekali.

Suami menyatakan walaupun telah terlanjur dia langsung tiada niat untuk berkahwin dengannya. Suami mengaku amat menyesal dan bertaubat kerana berzina dengan amah kami selepas tidak tahan dengan godaannya.

Suami saya mengakui sebenarnya bukan dia tidak bernafsu terhadap saya tapi setiap kali ingin bersama, dia merasakan seolah-olah saya seorang lelaki yang menyebabkan dia tiada rangsangan," ujar Aina.

Dek kerana terlalu perit mendengar pengakuan suami, Aina akhirnya menuntut cerai fasakh, dia juga tidak sanggup menderita batin dengan perubahan sikap suaminya.

Saya lebih rela hidup dengan anak tanpa suami. Walaupun nampak susah tapi saya pasrah dari hati terus disakiti," jelas Aina menutup bicara.

Fana Couture Butik Sehenti

Posted: 01 Apr 2014 11:49 PM PDT

WALAUPUN baru memulakan bisnes butik tudung kira-kira setahun lalu namun pasangan suami isteri, Mohd. Faizal Mat Nayan dan Azyliana Azam, kedua-duanya berusia 31 tahun telah mempunyai perancangan demi memajukan perniagaan mereka pada masa hadapan.

Menurut akauntan di sebuah institusi kewangan di ibu negara ini, dia bersama Azyliana ingin menjadikan butik mereka yang dinamakan sebagai Fana Couture ini sebagai sebuah butik sehenti yang mempunyai pelbagai produk fesyen pakaian serta sebuah studio.

Saya mahu mempelawa pengusaha butik-butik lain untuk meletakkan produk mereka seperti pakaian di butik saya ini. Mungkin mereka masih baharu dan tidak tahu bagaimana hendak menjual produk, justeru saya memberikan sepenuh sokongan dan ingin berkongsi ilmu bersama mereka.

Di butik ini juga akan saya buat ruang studio di mana saya dapat memberikan panduan bagaimana mereka boleh membuat laman sesawang sendiri, mengambil gambar produk dan memuat naik ke dalam laman sesawang mereka itu," kata Mohd. Faizal yang ditemui di butiknya yang terletak di Bukit Idaman, Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Tambah bapa kepada seorang anak lelaki, Furqqan Hullaif Putra, tiga tahun, pada bulan April nanti, dia bersama Azyliana yang juga bekas seorang akauntan akan menganjurkan sebuah bengkel kecantikan di mana dia akan menjemput pakar dalam bidang kecantikan yang akan berkongsi maklumat mengenai solekan, cara gaya tudung dan sebagainya.

Dia yang turut berminat dalam bidang fesyen menambah, butik Fana Couture ini kelak akan menjadi bengkel konsultasi kepada sesiapa yang berminat bagi memulakan bisnes dalam talian, bagaimana hendak memasarkan produk dan tip memborong barang-barang dari luar negara.

Katanya, semasa hendak memulakan bisnes awalnya secara dalam talian dahulu, dia bersama isteri terbang ke luar negara secara back packers bagi mencari fabrik yang sesuai dan cantik bagi dijadikan tudung untuk dijual.

Dua tahun saya berniaga tudung yang sehingga kini menjadi keutamaan Fana Couture secara dalam talian. Memang tak menang tangan sehingga Azyliana terpaksa berhenti kerja dan memberi sepenuh tumpuan kepada bisnes.

Waktu itu pengikut kami sudah pun berjumlah 35,000 orang dan akhirnya kami mengambil keputusan membuka sebuah butik dengan modal sendiri," ujar Mohd. Faizal yang mementingkan fabrik dan keselesaan bagi produk tudungnya.

Dia berkata, pelanggannya lebih mementingkan kualiti sebelum membuat pembelian kerana ini mungkin berdasarkan daripada pengalaman mereka sendiri yang tidak berpuas hati apabila membeli tudung secara dalam talian.

Pun demikian, mereka yang pernah memakai tudungnya pasti akan membuat pembelian kedua dan seterusnya.

Menurutnya yang mempunyai pelanggan daripada golongan wanita berkerjaya berusia di antara 23 hingga 50 tahun, pada permulaan bisnes, dia membuat sebanyak 300 helai tudung yang dinamakan Medina dan ternyata Medina dapat dijual dalam masa yang singkat.

Tambahnya yang banyak membuat kajian dengan membaca majalah fesyen antarabangsa, jika tahun-tahun lalu orang lebih menyukai corak paisley namun kini beliau menjangka corak seperti bunga-bunga, abstrak dengan warna pastel akan menjadi pilihan ramai.

Pelanggan saya selain dari Malaysia juga dari Brunei, Perancis, Hong Kong dan Singapura. Setiap hari saya akan muat naik gambar tudung-tudung terbaharu. Jika telah habis rekaan yang terdapat di dalam laman sesawang, saya tidak akan ulang lagi tetapi akan buat yang lebih terbaharu.

Trend semasa, orang lebih suka memakai selendang dan saya akan hasilkan selendang segera yang mudah pakai.

Selain itu, saya juga membuat tudung separuh bulat, tudung sarung ekspres, tudung labuh saiz L dengan lapik dagu yang sesuai dipakai semasa menunaikan umrah dan haji dan tudung midi yang betul-betul berada paras bahu tanpa perlu dipin.

Sempena sambutan hari raya dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi, saya akan mengeluarkan koleksi yang lebih terkini yang saya pasti akan mendapat sambutan hangat.

Bisnes tudung di Malaysia ini memang ada potensi untuk berjaya kerana kebanyakan wanita kini bertudung dan mereka sentiasa mahukan yang terbaharu di pasaran, iaitu cantik, berkualiti dan selesa dipakai," kata Mohd. Faizal yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Malaya ini.

Kepada anda yang ingin melihat lebih banyak tudung terbaharu daripada Fana Couture, boleh melayari www.fanacouture.com. - MERAN ABU BAKAR

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved