Rabu, 2 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Akademi sasar 5,000 penuntut

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin (belakang, tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ, Hamsan Saringat (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Abu Hasan Ismail dalam majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Prestariang Technology dan YPJ Holding di Pejabat Menteri Besar Johor di Nusajaya, Johor, baru-baru ini.

NUSAJAYA 1 April - Akademi Petroleum Malaysia (Akademi) yang akan ditubuhkan di sini bagi menawarkan kursus vokasional dalam bidang minyak dan gas menyasarkan untuk melatih 5,000 penuntut dalam tempoh tiga tahun.

Akademi tersebut yang ditubuhkan hasil usahasama syarikat Prestariang Technology Sdn. Bhd. (PTSB) dan Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH) itu akan membuat pengambilan kumpulan penuntut pertama seramai 1,000 bermula pertengahan Mei ini.

Kedua-dua syarikat tersebut baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Akademi yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang Bhd., Dr. Abu Hasan Ismail berkata, jumlah penuntut akan ditambah pada setiap pengambilan sekali gus mampu menyediakan tenaga pekerja mahir terutama dalam bidang minyak dan gas.

"PTSB dan YPJH akan menggabungkan kemahiran, usaha dan sumber untuk membina dan menawarkan modul yang sesuai serta relevan untuk pelbagai latihan vokasional dan teknikal bagi sektor minyak dan gas di negara ini.

"Pendidikan dan latihan teknikal ditawarkan Akademi akan ditanda aras pada pensijilan yang diiktiraf di peringkat global, sekali gus diharap dapat dimanfaatkan mereka yang berminat," katanya.

Beliau berkata, pada permulaan Akademi menawarkan kursus seperti jurukimpal, perancah, pemasang paip, juruteknik elektrik dan instrumentasi, pengecat, pelukis pelan dan pengurus penyelenggaraan kepada golongan belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.

"Lulusan Akademi kelak diharap dapat mengisi keperluan permintaan tenaga kerja terlatih di seluruh negara terutamanya di Pengerang yang kini dalam proses menjadi hab minyak dan gas negara," katanya.

Jalinan kerjasama NMIT, SSU

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

MALEK Pourzanjani (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Mike Wilkinson sambil diperhatikan oleh Pengarah Urusan Netherlands Maritime Institute of Technology, Kapten Razali Yaacob (kanan) dan Dekan Fakulti Maritim dan Teknologi Southampton Solent University, Prof. John Chudley di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 1 April - Sebagai persediaan untuk menjadi peneraju dalam sektor pendidikan maritim di negara ini, Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT) menjalinkan kerjasama dengan Southampton Solent University (SSU) baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif NMIT, Prof. Malek Pourzanjani berkata, menerusi kerjasama itu, pemegang diploma NMIT berpeluang untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah maritim di SSU yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerjasama tersebut turut meliputi pertukaran penuntut, program pengembangan akademik serta usahasama dalam bidang penyelidikan dan perundangan.

"Kerjasama ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri maritim Malaysia melibatkan dua institusi pengajian swasta dan mampu memberikan penuntut tempatan peningkatan yang diperlukan untuk lebih berdaya saing.

"Sebagai penglibatan kami di peringkat global, NMIT sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan institusi maritim yang ternama dan bertaraf dunia," katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di sini baru-baru ini.

Malek menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak NMIT manakala SSU diwakili Timbalan Naib Canselor, Prof. Mike Wilkinson.

NMIT merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta hasil usahasama Malaysia dan Belanda yang memulakan operasi di bandar raya ini pada Mei 2011.

Kini institusi tersebut menawarkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Pengangkutan Maritim, Pengurusan Pelabuhan dan Pengurusan Perkapalan.

Malek berkata, selain pembukaan kampus baharu di Educity Nusajaya tidak lama lagi, terdapat tiga kursus baharu diperkenalkan mulai September ini iaitu Kesihatan Maritim, Keselamatan dan Persekitaran serta Undang-Undang Maritim dan Logistik.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved