Rabu, 2 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Siap sedia hadapi bencana alam

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

SKUAD Pantas ditubuhkan oleh MBSA bagi membantu mangsa yang terlibat dalam kejadian bencana alam. - Utusan/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 1 April - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mewujudkan Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) bagi membantu penduduk yang berdepan bencana alam seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh.

Pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Unit Bencana Alam pada 2006 ditukar namanya kepada Emergency Response Team sebelum dijenama semula menjadi Skuad Pantas, 16 November lalu.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Skuad Pantas, Harris Osman, berkata, skuad itu mempunyai Persijilan Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) daripada Sirim Berhad bagi modul menyelamatkan mangsa banjir dari peringkat pertama di tempat kejadian sehingga ke pusat pemindahan banjir.

"Kita mempunyai seramai 32 anggota yang akan bertugas jika melibatkan operasi besar-besaran seperti banjir tidak kira di sekitar bandar raya ini atau di seluruh negara bagi menyediakan bantuan kemanusiaan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Harris menjelaskan, antara kawasan bencana banjir dianggap titik panas yang menjadi tumpuan operasi Skuad Pantas ialah di sekitar Padang Jawa dan kawasan Sungai Rasau.

Beliau memberitahu, selain banjir, pasukan berkenaan turut membantu operasi menebang pokok setiap kali ribut melanda bandar raya ini pada musim tengkujuh.

"Kita juga pernah membantu operasi menyelamat mangsa banjir di Johor pada 2007, Kedah (2010) dan Pahang hujung tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Pembantu Penguat Kuasa Skuad Pantas, Mohd. Zaini Mohd. Noor, memberitahu, pihaknya meletakkan masa 25 minit untuk sampai ke tempat yang mengalami bencana alam jika melibatkan kawasan sekitar bandar raya ini.

Mohd. Zaini menjelaskan, bagi kes banjir, pasukan itu akan bergerak ke kawasan operasi dengan peralatan menyelamat seperti lori, kenderaan pacuan empat roda, bot dan jet ski.

"Pada hari biasa, seramai enam hingga 10 anggota bertugas setiap syif. Setiap anggota tidak kira lelaki atau wanita sememangnya terlatih untuk mengendali bot enjin sangkut dan menebang pokok menggunakan mesin gergaji.

"Bagi melicinkan perjalanan operasi dan perancangan kerja, kami juga menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dari segi maklumat mengenai keadaan cuaca semasa.

"Ini bagi memastikan operasi skuad ini sentiasa berada dalam keadaan siap siaga jika berlaku bencana," jelasnya.

MPSJ sasar 30 PBT terbaik dunia

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Mohamad Roslan Sakiman (kanan) beramah mesra dengan para penerima anugerah sambil diperhatikan oleh Asmawi Kasbi (dua dari kanan) pada majlis Anugerah Kecemerlangan MPSJ di Subang Jaya, Selangor semalam. - Utusan/izham Jaafar

SUBANG JAYA 1 April - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meletakkan sasaran untuk berada di dalam kelompok 30 pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di dunia menjelang tahun 2030.

Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi berkata, sasaran itu bukan mustahil untuk dicapai memandangkan MPSJ kini berada di kedudukan ketiga di negara ini.

"Kita sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran tersebut.

"Ini termasuk dengan meningkatkan prestasi, inovasi dan sistem penyampaian MPSJ kepada masyarakat di Subang Jaya bagi mencapai kedudukan tersebut," katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPSJ di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, MPSJ perlu mengamalkan sikap tegas tetapi berhemah dalam mengendalikan isu-isu masyarakat kerana ia merupakan salah sebuah PBT yang terletak di kawasan bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Katanya, MPSJ juga telah mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk menampung kos penyelenggaraan dan pembaikan pelbagai kemudahan antaranya yang berkaitan dengan sampah dan lain-lain lagi.

Jelasnya, MPSJ juga perlu bersedia kerana ada segelintir penduduk sering menyalahkan PBT berkenaan.

"Umpamanya, infrastruktur di kawasan MPSJ semakin berkembang pesat dan yang terkini adalah pembinaan projek penyambungan jajaran transit aliran ringan dari Lembah Subang ke Kelana Business Centre.

"Pelbagai masalah timbul ekoran kerja-kerja pembinaan itu seperti banjir kilat, kren jatuh di jalan raya termasuk bantahan daripada Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong.

"Saya faham pihak MPSJ tersepit dengan isu-isu sebegini. Ramai penduduk kini yang lebih arif berkenaan Akta Kerajaan Tempatan, Akta Bangunan dan Parit dan pelbagai jenis akta lagi," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Pada majlis itu, seramai 118 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPSJ manakala 11 pesara serta 25 bekas Ahli Majlis bagi sesi 2012/2013 turut diraikan.

Pangsapuri Sri Penara juara keseluruhan Anugerah KPI Kebersihan Kuala Lumpur

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Adnan Md. Ikhsan (enam dari kiri) dan Mohd. Amin Nordin Abdul Aziz (tujuh dari kiri) bergambar bersama wakil-wakil pemenang Anugerah KPI Kebersihan Kuala Lumpur 2013 di Keramat Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini. - Utusan/Wahidin Salim

KUALA LUMPUR 1 April - Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras dipilih sebagai juara keseluruhan Anugerah Penilaian Prestasi Utama (KPI) Kebersihan Kuala Lumpur 2013 anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Pangsapuri tersebut turut memenangi kategori Anugerah Terbaik Perumahan Swasta dan Anugerah KPI selepas memenuhi tiga kriteria utama iaitu bersih, indah dan sejahtera.

Sementara itu, Perumahan Awam Seri Perak, Sentul memenangi Anugerah Perumahan Awam Terbaik, Menara Seri Jati, Keramat Wangsa meraih Anugerah Khas Bersih, Taman LTAT, Bukit Jati mendapat Anugerah Khas Indah manakala Perumahan Awam Seri Perlis II, Datuk Keramat memenangi Anugerah Khas Sejahtera.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan pada majlis di Keramat Mall di sini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Adnan berkata, pertandingan itu merupakan salah satu usaha kementerian tersebut untuk meningkatkan kecintaan warga kota dalam menceriakan kawasan perumahan dan kediaman masing-masing.

"Berbanding tahun 2012, hanya 69 persatuan penduduk menyertai pertandingan ini dan pada tahun 2013 meningkat kepada 84 persatuan penduduk yang melibatkan seramai 258,447 orang penduduk," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3.3 juta atau RM10,000 kepada 330 buah persatuan penduduk perumahan di sekitar Wilayah Persekutuan sebagai geran tahunan bagi menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved