Ahad, 23 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


RM18 juta bina dua projek

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh ROKIAH
ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

LUMUT 22 Mac - Dua projek bernilai hampir RM18 juta yang dilaksanakan kerajaan negeri di beberapa kampung berhampiran Sungai Ayer Tawar dekat sini bakal merubah sosioekonomi kawasan itu selain manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek berkenaan ialah pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Baharu-Kampung Teluk bernilai RM17.3 juta yang akan siap sepenuhnya April tahun depan serta pembinaan sebuah jeti baru di Kampung Telaga Nenas dekat sini bernilai hampir RM400,000.

Jelas Zambry, kedua-dua projek berkenaan termasuk Jeti Kampung Telaga Nenas yang sudah boleh digunakan penduduk mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat di kampung terlibat selain kawasan sekitar yang terletak agak terpencil.

''Hari ini jeti Kampung Telaga Nenas sudah boleh digunakan dan kita (kerajaan) bukan buat sekadar melepaskan batuk di tangga kerana jeti ini saya difahamkan boleh tahan sehingga 100 tahun berikutan ia dibina daripada konkrit sepenuhnya.

''Begitu juga jambatan yang menghubungkan Kampung Baharu dengan Kampung Teluk yang akan siap tahun depan. Semua usaha ini antara langkah untuk membangunkan kawasan ini dan membantu penduduk kampungnya untuk hidup lebih baik meskipun berada agak terpencil dan jarak lokasinya jauh daripada bandar," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan jeti Kampung Telaga Nenas, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Safry Kamal Ahmad dan Ketua Kampung Telaga Nenas, Nafis Budin.

Jeti baharu tersebut yang dibuat daripada konkrit mula dibina pada Ogos tahun lalu dan telah siap sepenuhnya pada 28 Februari lalu oleh JKR negeri untuk kemudahan penduduk terutama nelayan.

Zambry memberitahu, pembinaan jambatan Kampung Baharu-Kampung Teluk yang bermula pada Oktober 2012 lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2015 pula membolehkan penduduk setempat berurusan terus ke pekan Sitiawan dan Lumut.

Jelas beliau, pembinaannya juga sekali gus mengurangkan jarak perjalanan kedua-dua perkampungan itu hanya lima kilometer (km) berbanding 30km ketika ini.

''Apabila adanya jambatan ini, ia akan merancakkan lagi pembangunan dan menyelesaikan masalah perhubungan yang menghubungkan lokasi ini dengan pekan terdekat.

''Kebiasaannya 40 minit masa diambil penduduk untuk sampai ke Lumut namun apabila jambatan tersebut siap kelak ia akan memendekkan masa perjalanan kepada 15 hingga 20 minit sahaja," katanya.

Azam Tani tambah pendapatan peniaga

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

SIK 22 Mac - Seorang peniaga kini boleh menarik nafas lega apabila gerai lamanya yang bertiangkan buluh dan berbumbungkan kain serta daun rumbia digantikan dengan gerai yang lebih baik melalui program bantuan Azam Tani.

Ahmad Jamil Ismail, 52, dari Kampung Sungai Namek, Teloi Tua dekat sini berkata, dia amat menghargai bantuan tersebut yang membolehkan dia menjalankan perniagaan gerai makannya itu dengan lebih selesa.

"Dulu berniaga di gerai usang yang dibina sendiri dengan menggunakan bahan-bahan dari hutan dan kini saya lebih selesa dan gembira berniaga di gerai baharu ini.

"Pendapatan saya juga bertambah daripada RM40 sehari kini mencecah RM80 sehari," kata Ahmad Jamil ketika ditemui dalam Program Masuk Kampung MARDI Bersama Rakyat, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Masri Muhamad.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Tajudin, projek itu diselenggarakan oleh MARDI untuk membantu rakyat miskin yang telah mendaftar dalam E-Kasih.

"Kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang miskin untuk menjana pendapatan agar mereka boleh keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

"Melalui projek Azam Tani ini, pihak MARDI akan memberikan bantuan dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih itu berjalan lebih sempurna seperti yang diharapkan," katanya.

Melalui projek itu, setiap peserta akan memperoleh bantuan sehingga RM10,000 yang diberikan mengikut keperluan peserta dari semasa ke semasa.

Tanggungjawab sosial bank bantu sekolah

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Mohd. Khairil Mohd. Nor (dua dari kiri) menyampaikan cek pampasan kepada Husni Hussin pada Program Karnival Sekolah BSN 2014 di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin. - MINGGUAN/SAZALI CHE DIN.

KEPALA BATAS 22 Mac - Dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, Bank Simpanan Nasional (BSN) memilih enam sekolah di negeri ini untuk menaja program Karnival Sekolah BSN bagi meningkatkan dana mereka.

Sekolah berkenaan melibatkan dua sekolah kebangsaan, tiga sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Pengurus BSN negeri, Mohd. Khairil Mohd. Nor berkata, penajaan berjumlah RM10,000 kepada setiap sebuah sekolah itu adalah untuk tujuan menganjurkan karnival serta pertandingan bakat dan mewarna.

"Karnival ini merupakan inisiatif BSN untuk membantu pihak sekolah meningkatkan dana melalui jualan amal dan aktiviti," katanya dalam ucapan pada Program Karnival Sekolah BSN 2014 di dewan Sekolah Menengah Bertam Indah di sini semalam.

Mohd. Khairil berkata, 78 sekolah terlibat dengan Karnival Sekolah BSN di seluruh negara tahun ini.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa supaya mendidik anak-anak untuk menabung sedari kecil.

"Melalui usaha ini akan membolehkan anak-anak menyimpan wang demi masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, BSN turut menyerahkan pampasan insurans kemalangan berjumlah RM10,250 kepada waris Nur Alif Naim Husni yang mati lemas pada September tahun lalu.

Mohd. Khairil menyerahkan cek berkenaan kepada bapa murid terbabit, Husni Hussin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved