Ahad, 23 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jalur lebar percuma setahun

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
utusanN9@utusan.com.my

MOHD. Ghazali Abd. Wahid (dua dari kiri) menekan butang alat kawalan sebagai gimik pelancaran TM Bersama Komuniti DUN Paroi sambil diperhatikan oleh Ramlan Omar (kiri) dan Mohd. Asri Che Mat (kanan), di Seremban, semalam.

SEREMBAN 22 Mac - Seramai 8,000 penduduk di Taman Bandar Senawang dekat sini menikmati perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar daripada Telekom Malaysia (TM) secara percuma selama setahun.

Ini hasil pelancaran perkhidmatan yang dikenali sebagai WiFi Dewan Undangan Negeri (DUN) Komuniti Paroi di kawasan perumahan itu oleh TM menerusi program kemasyarakatan 'TM Bersama Komuniti DUN Paroi' hari ini yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid.

Yang turut hadir Pengurus Besar Negeri TM Negeri Sembilan, Ramlan Omar dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bandar Senawang, Datuk Mohd. Asri Che Mat.

Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan itu, Ramlan berkata, itu adalah sebahagian daripada sumbangan TM kepada komuniti setempat bagi membolehkan penduduk di taman berkenaan menikmati akses internet jalur lebar.

"Penduduk boleh mengakses perkhidmatan ini di balai raya di taman perumahan ini. Selain itu, kami merancang menawarkan beberapa kursus seperti kursus asas photoshop dan membina lawan web sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas majlis tersebut di sini hari ini.

Beliau memberitahu, program hari ini mengetengahkan kempen pemasaran terbaru TM, 'Life Made Easier' yang menumpukan kepada manfaat yang boleh dinikmati oleh komuniti menerusi inovasi terbaru TM - UniFi, HyppTV dan Streamyx.

Sementara itu, Mohd. Ghazali berkata, perkhidmatan WiFi DUN Komuniti Paroi akan diperluaskan ke seluruh kawasan DUN berkenaan secara berperingkat sebagai satu kemudahan kepada rakyat.

Katanya, itu akan dilaksanakan dengan kerjasama persatuan penduduk atau rukun tetangga (RT).

"Kerajaan negeri sentiasa mengalu­alukan sumbangan serta inisiatif pihak swasta mahu pun korporat yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Banteras jenayah sekitar PD

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

TELOK KEMANG 22 Mac - Usaha membanteras jenayah di sekitar PD Waterfront dekat sini mendapat perhatian dari pihak swasta apabila pemaju hartanah, TSR Capital Bhd. menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPK) dalam melaksanakan perkara itu.

Menerusi memorandum itu, pihak pemaju akan memberi kerjasama dengan memudahkan pihak polis melihat sebarang kegiatan jenayah yang berlaku menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan projek PD Waterfront sementara polis akan mempertingkatkan usaha rondaan di kawasan terbabit.

Ketua Pegawai Operasi TSR Capital, Datuk Wan Abdul Razak Ismail berkata, biarpun pihaknya giat merangka agenda pembangunan di kawasan berkenaan, namun pada masa sama adalah penting bagi syarikat berkenaan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah.

Jelas beliau setakat ini terdapat 90 unit CCTV dipasang termasuk di premis kedai sekitar kawasan projek PD Waterfront.

"Langkah yang dilaksanakan ini dapat membantu kami mempertingkatkan ciri keselamatan di sekitar PD Waterfront dan memberi keselesaan kepada pelancong terutama melibatkan pelancong antarabangsa ke lokasi ini," katanya.

"Pada masa sama, tindakan susulan akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian jenayah menerusi rakaman CCTV di kawasan ini,'' katanya pada Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'Safe Cam PartnerShip' Sempena Peringatan Hari Polis Ke-207 di PD Waterfront dekat sini semalam .

Yang turut hadir Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab. Khalid Mat dan Ketua Polis daerah, Supritendan Abd. Wahab Harun.

Sementara itu Osman berkata, syarikat swasta boleh memainkan peranan membantu pihak polis dan tanggungjawab sosial itu mampu melancarkan misi cegah jenayah dan memberi keyakinan kepada masyarakat serta pengunjung terhadap aspek keselamatan mereka.

"Di bandar pelancongan ini aspek keselamatan turut memainkan peranan yang amat penting. Kemudahan yang diberikan syarikat ini akan memudahkan lagi proses cegahan jenayah serta melancarkan aspek penjagaan keselamatan," katanya.

Pamer karya pelukis tempatan

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

MELAKA 22 Mac - Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) membuka pintu kepada mana-mana pelukis tempatan yang ingin mempamerkan karya mereka di dua buah galeri milik perbadanan itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Hamdin Abdollah berkata, Perzim sentiasa menggiatkan usaha memperkenalkan bakat pelukis tempatan dalam usaha membantu mereka memperkenalkan karya masing-masing kepada masyarakat.

Menurutnya, pihaknya menyediakan dua buah galeri untuk sebarang pameran karya pelukis tempatan iaitu di Balai Seni Lukis Melaka dan Galeri Seni Rakyat Melaka.

Beliau berkata, pameran yang dianjurkan di galeri seni itu merupakan langkah bagi mengangkat martabat pelukis tempatan khususnya anak jati negeri ini melalui hasil karya supaya setaraf dengan pelukis antarabangsa.

"Ternyata ruang-ruang seni visual masih banyak lagi yang perlu diterokai dan diperhalusi melalui bakat semula jadi yang ada pada para pelukis tanah air.

"Penampilan karya pelukis-pelukis Melaka dapat membuka minda dan minat generasi muda untuk menonjolkan bakat mereka ke persada seni visual tempatan hingga ke luar negara," katanya ketika berucap merasmikan Pameran 5 Sahabat di Balai Seni Lukis Melaka, Banda Hilir di sini semalam.

Yang hadir sama Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Pameran selama sebulan itu menampilkan hasil karya gabungan lima ahli daripada Kumpulan Pelukis Negeri Melaka iaitu Muhamad Tain, Zaini Aman, Pardan Moslem, Mohd. Zuwairi Abd. Rahman dan Othman Abu.

Sebanyak 34 keping lukisan dipamer menggunakan pelbagai teknik dan medium antaranya cat air, warna poster, cat poster, cat minyak, akrilik dan 'oil pastel'.

Sementara itu Zaini berkata, sebahagian besar karya mereka yang terdapat di pameran itu mengabadikan alam semulajadi sebagai tema utama selain warisan sejarah yang menjadi kebanggaan negeri Melaka.

"Setiap pelukis menghasilkan karya mereka dengan cara tersendiri selain mendokumentasikan alam semulajadi yang semakin terhakis akibat pembangunan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved