Ahad, 23 Mac 2014

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


RM28j tanam semula buah-buahan

Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob, Shafik Fauzan Sharif (duduk, dua dari kanan) dan Shahiruddin Abd. Moin (belakang, tiga dari kanan) melihat anak durian musang king sempena majlis Pelancaran Program Bantuan Tanam Semula Pokok Buah-buahan Terpilih di Ulu Dong, Raub, Pahang, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali

RAUB 23 Mac - Kerajaan memperuntukkan RM28 juta dalam tempoh tiga tahun bagi melaksanakan Program Tanam Semula Pokok Buah-buahan Terpilih di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program pertama kali diadakan itu mampu melonjakkan pendapatan masyarakat luar bandar dengan melibatkan penyertaan kira-kira 6,000 peserta.

"Melalui bantuan ini, kita akan membuat bayaran tunai berdasarkan jumlah pokok atau keluasan tanah pemilik kebun. Selain itu, kita juga akan membantu menyediakan benih berkualiti, input pertanian, alatan kecil pertanian, infrastruktur asas dan kerja-kerja pembersihan kawasan.

"Mereka yang layak dan berminat boleh mendaftar dengan Jabatan Pertanian di daerah masing-masing," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Program Bantuan Tanam Semula Pokok Buah-buahan Terpilih di Padang Sekolah Kebangsaan Ulu Dong, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif; Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Abd. Moin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek dan Pegawai Daerah Raub, Ismail Mohd. Ali.

Menurut Ismail Sabri, program tersebut akan melibatkan dua kategori iaitu individu yang mempunyai tanah kebun buah-buahan sedia ada tidak melebihi 2.02 hektar dan juga individu yang mempunyai pokok buah-buahan di kawasan kediaman.

Jelasnya, kadar bantuan minimum adalah RM1,000 dan maksimum RM6,000 per hektar bagi tempoh tiga tahun akan diberikan kepada petani tertakluk terhadap keperluan dan penilaian jawatankuasa pelaksana peringkat daerah.

Tambah beliau, program itu menyasarkan tanaman buah-buahan yang mempunyai nilai komersial dan pasaran tinggi seperti durian, manggis, nangka, belimbing, limau dan mangga.

"Kita hanya akan memberi fokus kepada buah-buahan yang mempunyai kualiti dan nilai tinggi. Contohnya bagi durian hanya jenis musang king dan D24 akan dibekalkan kepada peserta," katanya.

Dalam pada itu, beliau menaruh keyakinan program tersebut bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar tetapi mampu mengurangkan defisit eksport buah-buahan tempatan berbanding jumlah import yang meningkat.

Katanya, berdasarkan statistik 2012, negara mengimport RM1.8 bilion buah-buahan manakala jumlah eksport buah-buahan pula hanya kira-kira RM615 juta.

"Saya berharap dengan pelaksanaan pelbagai program termasuk bantuan penanaman semula pokok buah-buahan ini, jumlah eksport kita mampu mencecah sekurang-kurangnya RM1 bilion menjelang 2020.

"Malah di bawah dasar Agromakanan Negara, pengeluaran buah- buahan dijangka meningkat selaras dengan peningkatan produktiviti kawasan berhasil daripada 9.6 metrik tan sehektar pada 2010 kepada 12.9 tan metrik sehektar pada 2020," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved