Sabtu, 8 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


FAMA sasar jualan RM40 juta

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh HASHIM P.MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

DZulkifli Harun (tengah) menyampaikan sumbangan buah limau kepada salah seorang pengunjung Pasar Tani Sungai Siput, Perak, semalam.

SUNGAI SIPUT 7 Feb. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak menyasarkan jualan sehingga RM40 juta melalui hasil jualan di pasar tani, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) dan Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) sepanjang tahun ini berbanding RM35 juta tahun lalu.

Pengarah FAMA Perak, Basri Jasmo berkata, sasaran tersebut berdasarkan hasil jualan di 26 buah pasar tani serta 25 buah GBBS dan AKR di seluruh negeri ini.

Selain itu katanya, peningkatan tersebut juga disebabkan pertambahan jumlah premis dan bilangan peniaga di tiga cabang perniagaan utama berkenaan.

"Setakat ini terdapat sebanyak 1,700 peniaga terlibat dalam perniagaan di semua premis itu yang menjalankan urus niaga sekali seminggu di setiap tempat kecuali Agrobazaar Kedai Rakyat dan Gerai Buah-buahan Segar yang dibuka setiap hari.

"Jualan di premis berkenaan juga semakin meningkat di mana bagi pasar tani sahaja jumlahnya meningkat kepada RM25 juta tahun lalu berbanding RM21 juta tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Tani Sungai Siput yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Dzulkifli Harun di sini hari ini.

Basri berkata, pihaknya merancang untuk menambah hari jualan di setiap pasar tani dari sehari kepada dua hari seminggu yang bertujuan menambah pendapatan dan meningkatkan hasil jualan peniaga.

Beliau berkata, pada tahun ini, enam buah pasar tani baharu akan dibuka sebelum Julai depan yang boleh menempatkan lebih banyak ruang perniagaan sekali gus meningkatkan hasil jualan hasil tani dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Lokasi yang telah disenaraikan adalah Selama, Chenderong Balai, Behrang, Lekir, Changkat Lada dan Sungai Siput. Lokasi ini dijangka memberi peluang kepada lebih 100 peniaga baharu.

"FAMA mahukan matlamat 'Jimat Belanja Dapur' ini menepati sasaran sebenar yang mana menjadikan pasar tani sebagai lokasi di mana pembeli mendapat harga lebih murah terutama bagi barangan keperluan harian," katanya.

PATI dari Myanmar sembunyi dalam peti sejuk elak ditangkap

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Sebahagian PATI yang ditahan di kilang yang beroperasi di Perusahaan Perai dibawa ke Pusat Tahanan PATI di Juru, Butterworth, Pulau Pinang, kelmarin.

BUTTERWORTH 7 Feb. - Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sanggup mengambil risiko bersembunyi dalam peti sejuk yang mempunyai suhu di bawah paras beku bagi mengelakkan ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen negeri di sini semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata, dalam operasi selama empat jam bermula pukul 10 pagi di sekitar Kawasan Perindustrian Perai, pihaknya berjaya menahan 23 orang PATI termasuk tiga lelaki berkenaan yang ditemui menggigil kesejukan dan pucat.

"Anggota penguat kuasa berasa curiga apabila sampai di sebuah kilang memproses ais batu kerana tiada pekerja yang kelihatan sedangkan mesin masih beroperasi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga lelaki terbabit sedang bersembunyi dalam sebuah peti sejuk dan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kerja," katanya di sini semalam.

Basri berkata, pihaknya turut menahan PATI warga Indonesia dalam operasi berkenaan yang turut melibatkan pemeriksaan di sebuah kilang dobi dan kantin sekolah.

"Dalam serbuan di kilang dobi pula, pihak kami berjaya menahan 18 lelaki dan wanita warga Myanmar. Ketika itu, lima pekerja warga asing berkenaan sedang nyenyak tidur di bahagian belakang kilang berkenaan.

"Mereka dipercayai keletihan kerana baharu sahaja menamatkan syif malam dan langsung tidak menyedari kehadiran penguatkuasa," katanya.

Menurut beliau, semua yang ditahan dibawa ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut.

Bomba galak orang ramai guna alat pengesan asap di rumah

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Wakil media Perlis bersama Mohd. Fadzil Haroon (duduk empat dari kanan) dan Jawatankuasa Tertinggi JBPM Perlis selepas Majlis Perbarisan Tahunan Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis di Kangar, semalam.

KANGAR 7 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ini menggalakkan orang ramai menggunakan alat pengesan asap atau smoke detector di kediaman masing-masing bagi menangani kes-kes kebakaran dengan lebih berkesan.

Pengarahnya, Mohd. Fadzil Haroon berkata, kempen menggunakan alat itu akan disebarkan menerusi program 'Dari Pintu Ke Pintu' mulai bulan depan.

"Penggunaan alat pengesan asap ini dilihat berkesan kerana ia akan memberi amaran segera kepada isi rumah mahupun bangunan sebelum api merebak," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perbarisan tahunan Bomba dan Penyelamat negeri di ibu pejabat jabatan itu di Persiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Pada majlis itu Mohd. Fazdil turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua wakil media cetak dan elektronik sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap jabatan tersebut.

Mohd. Fadzil berkata, penggunaan alat pengesan asap didapati mampu memberikan amaran segera sebaik sahaja asap mula keluar dari mana-mana bahagian di dalam rumah.

"Untuk itu saya menasihatkan penghuni rumah supaya tidak perlu tunggu sehingga api sudah merebak baru hendak bertindak menyelamatkan diri masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menganggap penggunaan alat ini sebagai penting kerana kes melibatkan kebakaran rumah semakin meningkat.

Selain itu kata beliau, pihaknya akan meneruskan kempen menggalakkan setiap rumah memiliki seunit alat pemadam api untuk digunakan di peringkat awal bagi memadam kebakaran.

Mohd. Fadzil berkata, pihaknya dalam masa yang sama akan meneruskan usaha menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan-bangunan di negeri ini.

Beliau berkata, sekalipun setiap bangunan ini sudah mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) yang telah mengesahkan premis itu selamat diduduki namun masih terdapat segelintir pemilik yang mengubah suai dalamannya sehingga mengabaikan keselamatan penghuni.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved