Sabtu, 8 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bantuan JKM dibuat secara adil

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Norhayati Omar merasmikan majlis Program Bakti Siswa Inovasi 1Malaysia UniMAP di Masjid Kariah Tunku Muda Chik, Ampang Tinggi dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN 7 Feb. - Pembahagian bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini dibuat secara adil dan sistematik mengikut keperluan penerima yang kini mencecah hampir 28,000 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar memberitahu, bantuan itu diberikan kepada semua kaum berdasarkan kepada keperluan serta pendapatan bulanan yang diperoleh setiap keluarga yang dikenal pasti.

"Pemberian bantuan ini tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu malah turut melibatkan semua rakyat di negeri ini asalkan mereka layak, berdasarkan kepada semakan serta takrifan yang dibuat pihak JKM.

"Pemberian bantuan adalah untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan sebagainya secara adil. Penolakan atau kelulusan sesuatu permohonan bantuan adalah berasaskan kepada pendapatan mereka dan penilaian yang dibuat oleh jabatan menerusi semakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Program Bakti Siswa Inovasi 1Malaysia (NO1M) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Masjid Kariah Tunku Muda Chik, Ampang Tinggi dekat sini hari ini.

Sehingga kini JKM telah membelanjakan sejumlah wang yang besar melebihi RM6.8 juta sebulan bagi memastikan semua penerima pelbagai peringkat menerima bantuan mengikut angka yang telah diluluskan.

Pemberian bantuan JKM adalah berasaskan kepada sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan status kemiskinan tegar bandar mengikut pendapatan isi rumah pada kadar RM510 sebulan dan luar bandar, RM530 serta pendapatan per kapita bandar iaitu RM130 dan luar bandar RM120.

Manakala bagi kategori miskin pula berdasarkan pendapatan isi rumah bandar iaitu RM840 sebulan dengan per kapitanya RM220 dan luar bandar, RM790 dengan per kapita sebanyak RM190 sebulan.

Pada masa yang sama kata Norhayati, kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta usaha pembasmian kemiskinan sama ada diluar bandar dan bandar dilakukan secara berterusan menerusi rangka kerja Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.

Menurutnya, ini termasuk bantuan pendidikan yang dilihat salah satu cara jangka panjang bagi membolehkan anak-anak dapat membantu keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan apabila berjaya kelak.

"Malah kita juga berharap agar pemimpin tempatan di peringkat akar umbi yang berasakan ada golongan perlu dibantu, ambil butiran dan maklumat mereka untuk dikemukakan kepada agensi bertanggungjawab untuk langkah susulan," katanya.

Guna kemudahan jalur lebar secara bijak

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Mohd. Azahari Abdullah (kiri) menunjukkan sistem internet yang digunakan di Pusat Internet 1Malaysia kepada L. Manickam (duduk, kiri) selepas program hari bersama Pusat Internet 1Malaysia, Felda Palong Dua, dekat Jempol, kelmarin.

JEMPOL 7 Feb. - Orang ramai diseru untuk menggunakan kemudahan internet yang digunakan secara meluas ketika ini secara bijak untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai perkembangan semasa dan tidak menjadikannya sebagai salah satu punca perpecahan sesebuah keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, L. Manickam berkata, sebagai pengguna teknologi mereka mempunyai pilihan berhubung kesan penggunaan internet secara positif atau negatif.

Beliau juga melahirkan kebimbangan apabila kebanyakan daripada mereka yang berkumpul bersama-sama keluarga tetapi mereka tidak berinteraksi sesama mereka kerana masing-masing sibuk melayan teknologi dari telefon pintar.

"Kita yang menjadi penentu hala tuju kita sama ada mahu mengikuti perkara positif atau negatif. Kemajuan ini perlu diguna pakai dengan cara yang bijak agar kita tidak menjadi mangsa di kemudian hari.

"Kini saya lihat ada anak-anak muda yang sentiasa menggunakan telefon pintar walaupun ketika bersama keluarga sehinggakan keakraban itu tidak dapat dirasai," katanya ketika ditemui dalam program hari bersama Pusat Internet 1Malaysia, Felda Palong Dua dekat sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Tengah, Hafizudin Mohd. Zin serta Pengurus Pusat Internet 1Malaysia Felda Palong 2, Mohd. Azahari Abdullah.

Menurutnya lagi, masyarakat khususnya warga peneroka Felda seharusnya memanfaatkan menggunakan kemudahan jalur lebar yang dibekalkan di Pusat Internet 1 Malaysia.

"Jangan kata internet hanya untuk orang muda kerana kemudahan itu juga penting untuk semua lapisan umur kerana banyak ilmu dan perkembangan terkini boleh didapati dengan cara melayari internet.

"Jika peneroka tidak mengetahui cara menggunakan komputer dan internet mereka tidak perlu risau atau malu. Pusat tersebut menawarkan program latihan komputer dan mereka berpeluang mempelajari ilmu baharu yang moden," katanya lagi.

445 kakitangan cemerlang terima anugerah perkhidmatan awam

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

IDRIS Haron beramah mesra dengan sebahagian daripada kakitangan yang menerima anugerah dan sijil pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 7 Feb. - Sebanyak 445 kakitangan dan pegawai kerajaan negeri dipilih menerima anugerah perkhidmatan awam atas sumbangan khidmat cemerlang yang ditunjukkan mereka sepanjang tahun lalu.

Pengiktirafan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) 2013 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kakitangan cemerlang di seluruh jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Salah seorang penerima, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Ramimin Bani, 55, berkata, anugerah yang julung kali diterimanya itu membakar semangatnya untuk meneruskan khidmat cemerlang demi menjamin mutu perkhidmatan kerajaan negeri.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 20 tahun berkata, anugerah itu diharap dapat memberi dorongan kepada rakan-rakan lain untuk turut sama bersaing secara sihat dalam memberikan komitmen semasa melaksanakan tugas.

"Saya tanamkan semangat ikhlas bekerja agar sesuatu yang dilaksanakan itu menjadi lebih berkat dan diredai Allah selain mampu memenuhi kehendak orang ramai," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Seri Negeri di sini semalam.

Sementara itu, R. Thevani, 31, dari Pejabat Tanah dan Galian Melaka memberitahu, dia berterima kasih dan gembira dengan anugerah berkenaan hasil ketekunan semasa menjalankan tugas selama hampir lima tahun.

"Saya akan meningkatkan azam bagi mengekalkan prestasi cemerlang ini pada masa akan datang seterusnya membantu memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa berkualiti," katanya.

Seorang lagi penerima anugerah, Kemintan Md. Yatim, 55, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan negeri berkata, anugerah tersebut merupakan kali kedua yang diterimanya selama bertugas hampir 34 tahun.

"Anugerah ini memberi semangat serta dorongan kepada saya untuk meneruskan usaha memberi khidmat sebaik mungkin dalam bidang menjalankan tugas," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved