Sabtu, 8 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Optimum potensi luar bandar

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

ABDUL Manan Ismail (kanan) beramah mesra dengan sebahagian penduduk Orang Asli selepas merasmikan Mini Pusat Transformasi Luar Bandar di Kampung Paya Bungor, Kuantan, semalam.

KUANTAN 8 Feb. - Kewujudan Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Paya Bungor di sini dilihat sebagai mekanisme untuk mengoptimumkan potensi luar bandar di samping dapat menjana pertumbuhan ekonomi setempat.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, RTC berfungsi sebagai pusat pembekalan agro makanan dan perniagaan yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna seluruh negara dan untuk memperhebatkan rangkaian pemasaran produk desa.

"Projek Mini RTC Paya Bungor merupakan satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh warga luar bandar dalam mendapatkan maklumat terutama berkaitan peluang-peluang disediakan oleh kementerian dan agensi kerajaan.

"Ini kerana terdapat pelbagai program disediakan kerajaan terutama program peningkatan kemahiran, keusahawanan dan pemasaran," katanya berucap dalam majlis pelancaran Mini RTC di Paya Bungor, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Penyelidikan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Suhaimi Mahmud.

Menurut Abdul Manan, perkara itu merupakan satu titik permulaan dalam usaha kerajaan meningkatkan pembangunan luar bandar dengan mengikut acuan sendiri menjelang 2020.

"Hakikatnya pembangunan luar bandar yang dilaksanakan sejak lima dekad lepas telah menyaksikan perubahan ketara dengan mencatatkan pelbagai pencapaian terutama dalam usaha membasmi buta huruf, membasmi kemiskinan, penyediaan prasarana, penyediaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan jalur lebar sehingga mampu menggerakkan aktiviti ekonomi.

"Saya berharap semua pihak tidak mensia-siakan peluang ini kerana masih banyak potensi yang belum diterokai," jelasnya.

Sementara itu, beliau meluluskan peruntukan RM650,000 bagi membina sebuah dewan serbaguna di Paya Bungor dan gelanggang futsal.

Pembentukan daerah Kuala Krau di fasa akhir

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

ISMAIL Mohamed Said (kiri) bersama penceramah agama, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Felda Jengka 19, Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 8 Feb. - Cadangan pembentukan daerah baharu Kuala Krau kini berada di peringkat akhir dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) diberi tanggungjawab menjalankan soal selidik dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Parlimen Kuala Krau.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, maklumat daripada kaji selidik yang membabitkan semua profil dan kerjaya penduduk akan dijadikan asas dalam menentukan cadangan Kuala Krau sebagai daerah baharu.

Menurutnya, penduduk perlu menjawab beberapa soalan mengikut skala seperti maklumat mengenai mereka, dimensi kualiti, kepuasan terhadap pentadbiran sedia ada serta cadangan dan persetujuan pembentukan daerah baharu.

Katanya, kecenderungan penduduk secara umumnya bersetuju supaya sebuah pusat pentadbiran daerah yang baharu perlu dibentuk selari dengan kewujudan Parlimen Kuala Krau sejak 10 tahun lalu.

"Saya sendiri telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan dan beberapa pemimpin setempat semalam dan secara bersama bersetuju menjadikan Parlimen Kuala Krau sebagai pusat pentadbiran tanah dan daerah sendiri.

"Parlimen Kuala Krau unik kerana kawasannya merangkumi Maran, Temerloh dan Jerantut menyebabkan berlaku kekeliruan kepada penduduk ketika berurusan seperti berkaitan tanah," Katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Parlimen Kuala Krau dengan kerjasama Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau di Masjid Felda Jengka 19 di sini hari ini.

Menurutnya, universiti terbabit giat mengedarkan borang soal selidik kepada penduduk dalam kawasan Parlimen itu.

Tingkatkan kerjasama bina ummah disegani

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

MARAN 8 Feb. - Semangat kerjasama yang menjadi teras keharmonian dalam masyarakat perlu terus dipupuk sebagai satu tanggungjawab bagi membina ummah hebat dan disegani.

Penolong Pegawai Agama Islam Chenor, Mohd. Azmi Mohd. Zain berkata, untuk itu, semangat kerjasama yang menjadi amalan umat Islam perlu diperkukuh bagi meninggikan lagi syiar Islam.

Katanya, ini selari dengan usaha berterusan untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini menerusi pendekatan wasatiyyah yang selari dengan tuntutan syariah.

''Sambutan Maulidur Rasul antara medium yang sangat berkesan dalam memupuk perpaduan dan ikatan ukhuwah kerana setiap umat Islam perlu mencontohi semangat perjuangan Nabi Muhammad SAW.

''Sambutan secara tahunan pada tanggal 12 Rabiulawal dengan tema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' pada tahun ini memberi ruang untuk memperingati sejarah kelahiran baginda,'' katanya.

Beliau berucap pada program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Chenor Tahun 1435 Hijrah di Dewan Seroja Felda Jengka 18 semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Agama Islam Felda Wilayah Jengka, Salman Mat Tasim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 18, Samad Samah dan penceramah Jabatan Agama Islam Pahang, Hamdan Yusi.

Tambah beliau, mereka yang merayakan sambutan itu secara langsung menjadi wadah memperkukuhkan ukhuwah dan perpaduan sesama umat Islam di negara ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved