Sabtu, 8 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Terokai bidang profesional

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Umar Hafiz Mohd. Shafie dan Siti Aisyah Borhanuddin menjuarai kategori juzuk 1 - 30 dalam Perujian Menghafaz al-Quran peringkat negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Pontian, kelmarin. - UTUSAN/ MUHD. ZIKRI

PONTIAN 7 Feb. - Golongan penghafaz al-Quran disaran tidak membataskan pengajian mereka dalam bidang Islam semata-mata, sebaliknya menerokai bidang lain kerana kelebihan mereka dapat digunakan sebaiknya dalam usaha melahirkan lebih ramai muslim profesional.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seorang hafiz kini perlu berani untuk mencabar diri keluar daripada pengajian tradisi seperti syariah dengan memilih bidang-bidang profesional seperti jurutera, doktor dan peguam.

"Penguasaan pelbagai ilmu kemahiran akan membantu membangunkan tamadun Islam, sekali gus melahirkan ummah yang unggul dan cemerlang dalam pelbagai bidang kehidupan. Kepada hafiz dan hafizah, harap turut sama merebut peluang bersaing bagi melahirkan profesional Islam beriman, bertakwa dan berilmu.

"Bagaimanapun dalam masa sama, penguasaan serta kemahiran menghafaz al-Quran diharap tidak disalahgunakan bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat sekeliling," katanya dalam penutupan rasmi Perujian Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibaca Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abdul Mutalip Abd. Rahim dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamad.

Yang hadir sama Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsuddin; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut; Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Datuk Abd. Razak Hassan dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.

Pada majlis tersebut, Umar Hafiz Mohd. Shafee dan Siti Aisyah Borhanuddin dari Muar masing-masing memenangi tempat pertama bagi kategori juzuk 1-30 yang membawa pulang RM5,000 dan cenderamata.

Sebanyak 36 peserta, 18 lelaki dan 18 perempuan mengambil bahagian bagi memilih wakil negeri Johor ke perujian menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan yang diadakan di Selangor pada penghujung bulan ini.

Menurut Mohamed Khaled, kebolehan menghafaz al-Quran merupakan satu kelebihan yang perlu digunakan sebagai panduan bagi mencorakkan suasana kehidupan selari dengan tuntutan Allah, malah kerajaan negeri menjadikan kitab suci itu sebagai sumber dalam penerapan pembangunan holistik.

"Semua program dilaksanakan menunjukkan komitmen kerajaan negeri yang memberikan keutamaan kepada pembangunan kerohaniah umat Islam, di samping bidang kehidupan yang lain. Perujian menghafaz al-Quran yang diadakan saban tahun bukan sahaja untuk mencungkil bakat baru, tetapi medan mengukur keupayaan hafazan.

"Mereka yang cemerlang dan mempunyai mutu hafazan baik, mungkin dipertimbangkan untuk berbakti di kawasan tertentu supaya ilmu itu dapat membantu pembangunan modal insan. Oleh itu, mereka yang tekun menghafaz akan diberikan sedikit insentif oleh MAINJ sebagai galakan," tambahnya.

Akhlak Rasulullah contoh terbaik didik anak

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

LABIS 7 Feb. - Umat Islam perlu mencontohi sifat serta keperibadian junjungan mulia Rasulullah SAW dan perlu menyemai sifat tersebut dalam kalangan remaja bagi memastikan wujud generasi baharu yang dilahirkan dengan keperibadian mulia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, usaha mendekatkan golongan remaja dengan masjid serta majlis keagamaan harus dimulakan oleh ibu bapa di peringkat awal persekolahan supaya sebati dalam jiwa mereka yang bakal menjadi pemimpin satu hari nanti.

"Setiap minggu terdapat pelbagai aktiviti keilmuan dianjurkan kebanyakan masjid di kawasan ini dan ibu bapa harus menggunakan kesempatan dari penganjuran program seumpama bagi mendekatkan anak-anak mereka dengan masjid.

"Sementara itu pihak pengurusan masjid dan surau juga harus lebih kreatif dalam usaha menarik minat golongan remaja ke masjid dengan mengadakan program yang melibatkan mereka secara langsung agar mereka merasa diperlukan dan dihargai," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Ladang Eldred dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Azahar, dengan dunia yang lebih terbuka, remaja terdedah dengan pengaruh Barat yang bertentangan dengan nilai dan peradaban Timur di negara ini sekali gus menjadikan cabaran yang dihadapi ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak-anak lebih besar.

Oleh yang demikian katanya, mencontohi serta berusaha menerapkan nilai mulia serta amalan Rasulullah SAW dalam gaya hidup remaja merupakan jalan terbaik untuk menangani gejala tidak sihat di kalangan mereka.

"Menjayakan usaha ini bukan semudah yang disangka dan pastinya kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perbezaan pandangan serta kehendak antara remaja hari ini dengan golongan yang lebih dewasa.

"Tetapi kita tidak punya pilihan selain berusaha melakukannya dengan sebaik mungkin," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved