Khamis, 6 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Harga sayur di P. Pinang turun

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

BUKIT MERTAJAM 5 Feb. - Harga beberapa jenis sayur di Pulau Pinang turun sejak semalam berikutan bekalannya kembali pulih selepas pembekal dan pemborong mula menghantar bahan mentah berkenaan kepada peniaga.

Tinjauan Bernama di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini mendapati harga cili merah turun kepada RM8 sekilogram berbanding RM10.50 sebelum sambutan Tahun Baharu Cina minggu lepas, sementara harga sawi kini RM2 sekilogram berbanding RM3.50 sebelum ini.

Harga tomato yang sebelum ini RM5.50 sekilogram juga turun kepada RM4.30 hari ini manakala beberapa sayuran yang diimport dijual pada harga sama, contohnya kobis panjang dari China pada harga RM3.50 sekilogram, brokoli RM6 sekilogram dan kobis bunga RM4.50 sekilogram.

Seorang peniaga di pasar itu, Poh Kim Sim, 52, berkata, harga sayur turun sejak semalam berikutan pemborong mula menghantar bekalan selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

"Memang sejak dua minggu lepas harga sayur naik dan turun tetapi lebih banyak naik kerana Tahun Baharu Cina dan cuaca tidak menentu, tetapi sejak semalam bekalan kembali pulih dan sayur mula turun harga," katanya.

Seorang lagi peniaga, Samsudin Ahmad, 45, berkata, peniaga menetapkan harga jualan berdasarkan harga yang ditawarkan oleh pemborong.

"Kami bukan sengaja mahu menaikkan harga sayur sebelum ini tetapi jika peniaga dapat dengan harga mahal daripada pemborong atau pembekal, kami terpaksa jual mahal. Tapi sejak semalam sayur dah masuk banyak dan harga juga lebih murah," katanya.

Seorang pembeli, Rozayah Musa, 50, berkata, harga sayur yang ditawarkan hari ini lebih murah berbanding dua minggu lepas, bagaimanapun barangan basah yang lain seperti ikan, ayam dan daging masih mahal.

"Sayur saja yang murah, yang lain-lain masih sama juga...saya harap barangan basah juga dapat turun harga lepas ini, lagipun bukan musim perayaan dah," katanya.

Sementara itu, harga ikan kembung saiz besar masih sama iaitu antara RM10 hingga RM12 sekilogram manakala ayam RM6.80 hingga RM7.80 sekilogram dan daging tempatan RM25 hingga RM28 sekilogram. - BERNAMA

Masjid perlu membangun, jadi pusat kegiatan masyarakat

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kiri) dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (lima dari kanan) serta Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail (empat dari kanan) bersama para pemenang Pertandingan Menghafaz al-Quran Negeri Perlis 2014 di Masjid Jannatul Naim Beseri, Sungai Paya, Kangar, Perlis malam kelmarin.

PADANG BESAR 5 Feb. - Masjid perlu membangun selaras dengan pembangunan bidang-bidang lain seperti aspek pengurusan, teknologi, mahupun program-program yang lebih terkini dan bersesuaian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keperluan itu disebabkan masjid seharusnya menjadi pusat kegiatan hidup masyarakat Islam.

"Ini penting, biar setiap individu merasakan masjid satu keperluan dalam kehidupan mereka," titah baginda.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian ketika merasmikan masjid serta melancarkan 'Program Celik Muamalah' di Masjid Jannatul Naim Beseri, Sungai Paya di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Hamdan Bahari dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Perlis, Khairi Hassan.

Sehubungan itu, titah baginda, masjid mesti berupaya mewujud dan mengukuhkan sumber kewangan sendiri dalam aspek pengurusan, membiayai program-program yang diatur dan merangka bantuan kepada yang memerlukan.

"Ini juga membantu menggerakkan usaha membangunkan Islam," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersempena Upacara Penutupan Program Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Perlis 2014 yang diadakan di masjid berkenaan baru-baru ini.

Terdahulu tazkirah khas bertajuk 'Celik Muamalah' disampaikan Yang Dipertua Yadim, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Baginda berdua kemudian berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menghafaz al-Quran Negeri Perlis 2014 yang dimenangi Ubaid Mohd. Asri (juzuk 1-10), Muhammad Azfar Mohd. Azhan (1-20), Mohd. Asim Mohd. Zuhir (1-30) dan Nurizzati Abd. Rahim (1-30 wanita).

RISDA capai sasaran tanaman semula

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

OSMAN Bakar menyerahkan cek bernilai RM1,000 kepada Fatimah Othman ketika Majlis CSR RISDA di Hotel Putra Palace, Kangar, kelmarin.

KANGAR 5 Feb. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri telah mencapai sasaran penanaman semula getah iaitu seluas 200 hektar, melibatkan 100 pekebun kecil baharu pada tahun ini.

Pengarahnya, Osman Bakar berkata, penanaman semula itu termasuk di daerah Beseri, Pauh, Chuping dan Padang Besar.

''Pekebun kecil getah ini juga akan menerima bantuan bernilai RM9,320, meliputi anak pokok getah, racun, mesin penebangan pokok getah lama dan lori," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis sumbangan RISDA untuk projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Rumah Seri Kenangan (RSK), Kompleks Penyayang Dr. Siti Hasmah, Arau di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Penguasa RSK, Fatimah Othman.

Osman berkata, sekalipun matlamat penanaman semula pada tahun ini sudah dicapai tetapi pihaknya masih membuka permohonan daripada pekebun kecil yang berminat.

''Jika layak dengan kriteria yang diberikan, maka pihak Risda pastinya tidak akan menolak permohonan tersebut," katanya.

Beliau berkata, ini kerana RISDA mahukan lebih ramai lagi pekebun kecil mengusahakan penanaman semula getah.

Selain itu, Osman meminta pekebun kecil yang mendapat bantuan ini supaya melaksanakan amalan penjagaan pokok getah dengan sempurna.

''Jika mengikut peraturan yang diberikan RISDA, pastinya setiap pekebun kecil akan dapat menikmati hasil yang baik pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, pekebun juga dinasihatkan supaya mengusahakan tanaman kontan di ruang kosong antara deretan pokok getah.

Katanya, tanaman kontan seperti sayuran dan sebagainya ini boleh memberikan pendapatan tambahan untuk pekebun kecil.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved