Khamis, 6 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sungai Beluan kian tercemar

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

ANTI PENCEMARAN,
Kampung Beluan, Lipis

Seorang penduduk menunjukkan aliran Sungai Beluan yang tercemar dipercayai berpunca daripada operasi perlombongan dari kawasan berhampiran ketika tinjauan Rakan Pahang di Kampung Beluan, Lipis, semalam.

Saudara Pengarang,

SAYA adalah antara 300 penduduk di Kampung Beluan, daerah Lipis ingin menyatakan kebimbangan berikutan air Sungai Beluan berdekatan penempatan kami, yang tercemar, dipercayai berpunca operasi perlombongan bijih besi di kawasan berdekatan.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, sebelum lombong beroperasi, sungai di kampung kami menjadi tumpuan penduduk menangkap ikan air tawar dan sumber alternatif bagi keperluan harian jika kami terputus bekalan air bersih.

Sehubungan itu, senario pencemaran sungai itu mulai serius sejak awal tahun ini apabila air bertukar menjadi keruh dan berwarna kemerahan pekat sehingga kami bimbang untuk turun menangkap ikan air tawar hatta sekalipun menjadi sumber bekalan alternatif untuk keperluan harian.

Untuk makluman pihak berwajib, sebenarnya pencemaran itu telah berlaku sejak lombong berkenaan beroperasi, malahan senario itu bertambah teruk ketika setiap kali hujan lebat.

Pencemaran itu berasas apabila didapati air sungai ini keruh pekat dan berwarna disebabkan aliran di hulu bercampur tanah yang mengalir masuk ke dalam Sungai Beluan.

Saya selaku penduduk tetap kampung ini menaruh harapan agar pengusaha berkenaan dapat mengurangkan kadar pelepasan air lumpur dari loji lombong bagi meredakan keadaan pencemaran sungai ini.

Saya dan penduduk di sini juga berharap agar ada alternatif bagi pengusaha berkenaan melaksanakan pelepasan air dari lombong berkenaan untuk mengurangkan pencemaran termasuk keladak yang mengundang komplikasi kesihatan penduduk di sini.

Menerusi ruangan Rakan Pahang minggu ini, penduduk kampung berharap pihak berwajib memantau pencemaran berkenaan untuk memulihara kebersihan sumber air dan habitat akuakultur di situ.

Mohon pejabat pos, mesin ATM di Kuala Tahan

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

CUCU KAKAP HUSSIN,
Kuala Tahan.

Kawasan Kuala Tahan yang merupakan pintu masuk ke Taman Negara Kuala Tahan rancak membangun tetapi tiada kemudahan mesin ATM dan pejabat pos untuk urusan pembayaran bil dan pengeluaran wang penduduk serta pelancong.

Saudara Pengarang,

SAYA merupakan golongan warga emas yang menetap di Kuala Tahan antara kawasan yang menjadi transit pengunjung dari seluruh dunia dan pelawat domestik sepanjang masa.

Sebagai penduduk tetap di Kuala Tahan, saya berasa gembira kerana perubahan pembangunan berasaskan pertanian dan pelancongan begitu jelas mendadak mendominasi kawasan itu sekali gus mengubah kehidupan penduduk setempat.

Hal ini tidak terkecuali juga jelas terpampang di depan mata pembangunan infrastruktur, iaitu premis dan calet yang menjadi tumpuan penduduk Hulu Tembeling berbelanja serta keselesaan bagi pelancong transit.

Saya berpuas hati dengan pembangunan yang kian rancak di Kuala Tahan hasil acuan pemikiran wakil rakyat dan agensi kerajaan negeri ini untuk melihat senario kehidupan penduduk luar bandar berubah.

Tetapi, agak jengkel di sini yang ingin diutarakan menerusi ruangan Rakan Pahang minggu ini, iaitu tiada kemudahan pengeluaran wang sama ada di pejabat pos atau mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Kami di sini khususnya warga emas begitu sukar untuk melunaskan pembayaran bil tertentu hatta agar sukar untuk berurusan menyimpan dan mengeluarkan wang menerusi institusi berkenaan.

Senario berkenaan turut dirasai oleh pekerja swasta dan agensi kerajaan yang bertugas di situ kerana terpaksa ke bandar Jerantut sejauh 80 kilometer untuk berbelanja, transaksi wang di mesin ATM termasuk urusan bil, surat-menyurat dan keselesaan lain yang ditawarkan oleh Pos Malaysia.

Hal ini juga turut dirasai oleh pelancong Barat yang ingin mengeluarkan wang untuk berbelanja dan berhasrat meneruskan penginapan di Taman Negara apabila mereka juga terpaksa menyewa kenderaan ke bandar Jerantut semula untuk berurusan transaksi di mesin ATM di bank berkenaan.

Bagi saya dan warga emas lain juga mengalami tempias yang sama yang hendak berurusan penyimpanan serta pengeluaran wang terpaksa menaiki teksi dan bas ke bandar Jerantut yang juga menuntut kos tambang yang tinggi.

Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap pemimpin setempat dan agensi berkenaan wajar mengutamakan tanggungjawab sosial dengan menempatkan mesin transaksi dan pejabat pos bagi keselesaan penduduk di sini.

Saya yakin pembangunan infrastruktur di Kuala Tahan bukan sahaja dibilang menerusi deretan premis, rumah dan calet, tetapi kemudahan yang saya nyatakan tadi wajar seiring untuk keselesaan penduduk setempat.

R&R Pos Betau tidak diselenggara

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

CUCU TOK BATIN,
Pos Betau, Lipis.

Timbunan sampah-sarap di kawasan Rawat dan Rehat Pos Betau berdekatan tempat meletak kenderaan ini menyakitkan mata memandang dan turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung.

Saudara Pengarang,

SAYA terpanggil untuk menyatakan rasa jengkel apabila melihat sampah-sarap yang dibuang tidak diselenggarakan ke tempat pelupusan dengan sempurna di kawasan Rawat dan Rehat (R&R), Jalan Koyan-Cameron Highlands di Betau, daerah Lipis.

Senario berkenaan lebih menyakitkan mata memandang apabila kita menoleh dari cermin tingkap kenderaan melihat timbunan sampah-sarap berdekatan tong sampah yang tidak dipungut sejak beberapa lama dihurungi anjing liar dan langau.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, hal ini lebih menyakitkan mata memandang dan dihidangkan dengan bau busuk apabila timbunan sampah itu berdekatan dengan kawasan parkir R&R Betau.

Senario itu juga mengundang rasa kecewa dalam kalangan pemandu yang berulang alik menggunakan jalan raya dari pekan Sungai Koyan ke Cameron Highlands yang ingin singgah dan berehat di kawasan R&R berkenaan.

Kecuaian ini juga berpunca apabila sikap pemilik premis dan penduduk berkenaan membuang sampah di merata-rata tanpa memasukkannya ke dalam tong yang disediakan.

Kelewatan pihak berwajib memungut sampah secara berjadual juga antara impak senario kawasan R&R Betau tidak bersih dan ceria sehingga menimbulkan ketidakselesaan pengunjung singgah di situ.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang sampah-sarap itu mengandungi sisa makanan, kertas, bekas polisterin, plastik, tin minuman dan bertimbun berdekatan parkir berkenaan apabila mereka yang tidak bertanggungjawab membuangnya di situ.

Keadaan bertambah busuk dan kotor apabila tempat sampah-sarap berkenaan ditakungi air hujan dan dibimbangi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pembaca sudah tentu tahu longgokan sampah berkenaan turut menjadi tumpuan kumpulan anjing liar dan babi hutan yang mencari sisa makanan sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang melalui laluan itu khususnya pada waktu malam.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, Pos Betau juga merupakan tempat transit para pelancong Barat dan pelawat domestik ketika melalui Jalan Koyan - Cameron Highlands untuk melihat budaya dan kesenian masyarakat Orang Asli di situ.

Justeru, sekiranya kawasan R&R Betau diancam kekotoran akibat dipenuhi sampah sarap sudah menampilkan imej yang kurang menarik dalam kalangan pengunjung di situ.

Hasrat saya menerusi tulisan dalam Rakan Pahang ini bukanlah bertujuan untuk mencari siapa yang bersalah, tetapi ingin menyedarkan semua pihak agar bekerjasama dan mencintai kebersihan alam sekitar terutamanya di kawasan R&R dan pusat pelancongan.

Sehubungan itu, saya berharap masalah sampah itu perlu ditangani secara bersama-sama antara pihak berwajib, pemilik premis dan penduduk di Pos Betau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved