Khamis, 6 Februari 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Suspek kejadian samun maut dipukul

Posted: 06 Feb 2014 09:42 AM PST

AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Seorang lelaki maut dipukul dengan batu oleh orang ramai yang berjaya mencekupnya selepas dia menyamun di sebuah stesen minyak di Jalan Jambu Jerteh, Jinjang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, suspek berusia 46 tahun itu datang bersama rakannya menaiki sebuah motosikal ke stesen minyak tersebut sebelum menyamun wang berjumlah RM1,500 dan 220 kotak rokok daripada premis itu.

Menurut sumber, selepas melakukan jenayah itu, suspek yang bersenjatakan parang cuba melarikan diri ke seberang jalan namun berjaya dicekup oleh orang ramai lalu membelasahnya.

"Rakan suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal sementara dia dibelasah hingga mati oleh orang ramai.

"Suspek mengalami luka parah di bahagian muka sebelah kanan dipercayai dipukul dengan batu," katanya.

Turut ditemui bersama suspek ialah kad OKU serta lesen memandu. - UTUSAN ONLINE

Pemandu lori putus kaki maut

Posted: 06 Feb 2014 11:07 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

Keadaan lori dipandu mangsa remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 6 Feb. - Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera selepas lori tiga tan yang dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran Yong Peng hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, pemandu berkenaan, S. Kalaimani, 33, putus kaki kanan manakala kelindan yang berusia dalam lingkungan 30-an cedera di kepala dipercayai terhantuk pada papan pemuka lori tersebut.

Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru untuk menghantar barangan runcit dan apabila tiba di tempat kejadian, lori tersebut hilang kawalan lalu merempuh belakang treler tersebut.

Akibat pelanggaran tersebut, lori berkenaan remuk di bahagian hadapan, sekali gus mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk.

Kalaimani yang berasal dari Klang, Selangor terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam sebelum beberapa anggota bomba dan penyelamat Muar tiba di tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera dan dua buah motosikal bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.50 pagi.

"Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit manakala kelindannya sudah dikeluarkan oleh orang awam yang menggunakan jalan berkenaan.

"Pemandu terbabit yang dalam keadaan lemah akibat pendarahan ekoran kecederaan parah dialaminya berjaya dikeluarkan dengan bantuan peralatan khas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kelindan terbabit kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved