Khamis, 6 Februari 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Jom ke Perak

Posted: 05 Feb 2014 08:36 PM PST

APABILA menyebut mengenai destinasi percutian idaman, ramai yang mengeluh kerana tidak punya poket yang tebal untuk melancong. Akan tetapi sedarkah anda bahawa negara ini mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi, yang menjanjikan sebuah percutian hebat tanpa menipiskan poket? Percutian bajet di Perak misalnya, anda boleh meneroka bangunan dan khazanah bersejarah, monumen dan artifak yang tidak ternilai, pemandangan yang kaya dengan hutan semulajadi dan tasik, budaya dan makanan yang enak, bahkan taman tema yang dilengkapi dengan hotspring.

Bak kata Pengarah Tourism Perak Ahmad Kamarudin Yusoff, semuanya ada di negeri Darul Ridzuan! Perak mempunyai tarikan yang cukup lengkap sebagai satu daripada destinasi pelancongan di negara ini yang mempunyai keunikan dan keistimewaan yang cukup tersendiri.

Selain tersohor sebagai syurga makanan seperti Rendang Tok dan ikan pekasam yang digilai ramai, Perak juga mempunyai permata tersembunyi yang tidak harus dipandang sepi. Antaranya ialah Ipoh, Gopeng, Lenggong dan Kuala Kangsar.

Peluang Menjelajahi kota itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 atas jemputan Tourism Malaysia dengan kerjasama majalah Gaya Travel baru-baru ini, sebenarnya menjanjikan apa yang tidak disangka-sangka serta menawarkan gabungan pakej pelancongan serba lengkap.

Justeru itu apa yang ditunggu-tunggu lagi, jomlah ke Perak. - Bernama

Taman Rekreasi Gunung Lang

TERLETAK hanya lima kilometer dari bandar Ipoh, anda akan terpegun tatkala melihat panorama alam tasiknya yang terhasil daripada aktiviti perlombongan bijih timah secara semulajadi, yang begitu mempesonakan dan memukau mata.

Dengan hanya membayar RM3 untuk dewasa dan RM1 kanak-kanak, pengunjung akan dibawa menaiki bot dan menyusuri tasik yang dikelilingi panorama semulajadi hasil hamparan gunung batu kapur sebelum berhenti di pulau kecil.

Di sini pengunjung boleh melupakan segala tekanan dengan melihat ketenangan tasik dan landskap menghijau yang dihiasi pelbagai jenis bunga dan air terjun buatan setinggi 47 meter yang tertinggi di Malaysia bertemankan desiran angin lembut dan kicauan burung.

Kawasan ini dibangunkan berdasarkan konsep eko-pelancongan yang meminimumkan pembangunan infrastruktur bagi mengekalkan keunikan flora dan fauna semulajadinya. Jika langkah kanan, pengunjung juga berkemungkinan bersua dengan burung helang.

Kawasan rekreasi ini juga memiliki pelbagai infrastruktur antaranya menara tinjau, taman permainan kanak-kanak, tapak perkhemahan dan zoo mini yang menempatkan burung unta, ayam belanda, arnab dan rusa.

Perkhidmatan bot beroperasi pada Isnin hingga Khamis bermula pukul 8.00 pagi hingga 7.00 malam, Jumaat hingga pukul 4.00 petang, manakala hari minggu dan cuti awam sehingga pukul 6.30 petang.

Lukisan dinding 3D

DI sekitar Ipoh juga, anda boleh menemui berbelas-belas mural 3D dan lukisan dinding yang memiliki pelbagai cerita tersendiri di belakang deretan bangunan lama di Jalan Sultan Yussuf, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Masjid yang terletak berdekatan.

Di kawasan ini, pandangan mata dijamu dengan pelbagai seni lukisan mural yang unik dan kreatif. Lukisan yang antaranya tampak realistik itu, amat sesuai benar untuk dipotretkan oleh pencinta fotografi atau mereka yang gila bergambar.

Seni jalanan dengan pelbagai rona cat pada permukaan dinding itu menterjermahkan budaya dan tradisi penduduk Perak pada zaman dahulu kala, budaya di Malaysia masa kini, permainan kanak-kanak yang semakin dilupakan selain lukisan artistik lain.

Antara lain memaparkan kanak-kanak bermain sembunyi-sembunyi, air terjun, tarian kuda kepang, tarian tradisional India dan tarian singa, selain wanita mendulang timah, penoreh getah serta Marilyn Monroe bergaya di atas basikal.

Pengunjung juga boleh menikmati minum petang di gerai dan restoran berdekatan, bertemankan dekorasi ala vintaj serta seni lukisan jalanan. Di sini susunan dan penggunaan semula barangan terpakai dan terbuang dengan cara yang kreatif menampakkan sesuatu barangan itu meskipun sudah buruk namun masih cantik dipandang.

Mendulang timah di Tin Valley

Aktiviti unik yang boleh didapati di taman tema ini ialah mendulang timah, di mana pengunjung diberi peluang untuk mencuba sendiri cara tradisional itu di Tin Valley.

Anda akan merasa bagaikan kembali ke masa silam di mana era kegemilangan perlombongan bijih timah di Perak, apabila dikelilingi patung-patung dan pekerja-pekerja yang lengkap berpakaian khas dan bertopi ala pesawah.

Bagi mereka yang sukakan aktiviti lasak dan ekstrim, taman tema ini turut menawarkan pelbagai aktiviti team building, seperti Leap of Faith yang merupakan 'Para Jump pertama dan tertinggi di Malaysia.

Banyak lagi aktiviti menyeronokkan dapat dirasai di taman tema yang dibuka pada 2004 ini. Bak kata Pengurus Besarnya, Calvin Ho, Senang kata di Lost World, kebosanan tidak akan wujud walau sesaat kerana semuanya lengkap untuk seisi keluarga".

Sebelum pulang ke ibu kota, pastikan anda singgah ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta yang terletak di Bandar Baru Kampar, kira-kira 40 kilometer dari Ipoh bagi mendalami sejarah perlombongan bijih timah di Perak.

Di luar muzium ini, pengunjung akan dapat melihat pelbagai patung dan replika aktiviti mendulang manakala di dalamnya terdapat banyak lagi replika pelombong dan pameran miniature yang menjelaskan teknik melombong. Muzium yang mula dibuka pada Oktober tahun lepas ini dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari pada Isnin hingga Jumaat manakala 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Rumah Warisan Gopeng

KUNJUNGAN ke Perak tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke Rumah Warisan Gopeng, yang terletak di tengah-tengah deretan rumah kedai berusia lebih 100 tahun lamanya di Pekan Gopeng.

Hanya 20 kilometer dari Ipoh, rumah warisan berwarna merah ini mempamerkan beribu barangan dan perabot antik yang unik tetapi masih dijaga dengan rapi, meskipun telah digunakan sejak zaman pentadbiran British lagi.

Seorang daripada ahli jawatankuasa rumah berkenaan, Sally Tan Bee Bee, 56, berkata terdapat beberapa sudut menarik yang boleh diterokai, antaranya ruang tamu, dapur, kedai gunting rambut, bilik-bilik tidur dan kopitiam yang 100 peratus adalah barangan antik. Katanya, pengunjung yang melawat rumah itu pada Sabtu dan Ahad juga boleh merasai kesedapan kopi yang dihidangkan di kopitiam itu dengan harga yang berpatutan.

Di rumah kedai dua tingkat, ditambah dengan setingkat loteng itu turut menjual cenderahati bagi mereka yang berminat mendapatkan ole-ole buat rakan taulan.

Terletak tidak jauh dari situ pula adalah Muzium Gopeng yang mempamerkan pelbagai peralatan dan mesin-mesin yang pernah digunakan untuk kerja-kerja memproses bijih timah dan getah zaman dahulu kala.

Rumah warisan dan muzium yang dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada warga-warga veteran Gopeng ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk, namun pengunjung boleh memberi sumbangan agar kedua-dua tempat ini tidak luput ditelan zaman.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved