Selasa, 11 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Elak kenaikan harga barang

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

HILMI Yahya (kanan) meninjau harga ayam segar semasa melakukan lawatan bersama kakitangan KPDNKK di Pasar Awam Balik Pulau, Pulau Pinang, kelmarin.

BALIK PULAU 10 Feb. - Kerajaan perlu mencari alternatif memperbanyak rangkaian bekalan bagi memastikan harga barangan dapat diturunkan.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, masalah rangkaian masih menjadi punca kenaikan harga barangan yang perlu diatasi segera bagi mengelak bebanan kepada rakyat.

Menurutnya, biarpun pelbagai langkah telah diambil, namun pasti ada jalan lain bagi memastikan barangan keperluan harian mencukupi di pasaran serta tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Itulah sebabnya saya menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan pasar borong mingguan di kawasan tertentu bagi memberi peluang kepada orang ramai membeli barangan pada harga borong.

"Kerajaan menerusi kementerian tertentu juga perlu mengawal monopoli barangan oleh pihak berkepentingan sehingga mengakibatkan kekurangan bekalan yang akan meningkatkan harga," katanya kepada pemberita di Pasar Awam Balik Pulau di sini semalam.

Terdahulu, Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengadakan tinjauan Ops Harga 2014 bersama Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang di pasar itu.

Tambahnya, kuasa pasaran juga mampu menentukan kenaikan dan penurunan harga barangan serta untung dan rugi dalam kalangan pengguna sendiri.

Usaha hidupkan semula Pekan Rabu Sg. Petani

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Suraya Yaacob

SUNGAI PETANI 10 Feb. - Kerajaan Kedah akan membantu menghidupkan semula Pekan Rabu Sungai Petani bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan di situ selepas dikesan tidak 'bermaya' sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, antara usaha yang akan dilakukan adalah menambah baik bangunan di samping memberikan khidmat nasihat kepada para usahawan berminat.

Beliau berkata, langkah tersebut diyakini mampu menjadikan Pekan Rabu Sungai Petani sebagai pilihan bagi kalangan usahawan menjalankan perniagaan.

"Pekan Rabu Sungai Petani dikesan tidak hidup sejak sekian lama. Hal ini berlaku kerana wujud beberapa masalah dan ia turut melibatkan sikap para usahawan sendiri. Saya fikir usahawan perlulah mempunyai produk yang kukuh dan hebat. Jika ada produk bagus, sudah tentunya pelanggan akan pergi membeli tak kira di mana lokasi kita berniaga," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Suraya berkata, kerajaan negeri akan meminta kerjasama daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk meningkatkan promosi di samping menganjurkan aktiviti sampingan seperti jualan 'car boot sales' bagi tujuan memeriahkan semula Pekan Rabu Sungai Petani.

Tambahnya, Pekan Rabu Sungai Petani juga berpotensi dijadikan tarikan seperti Pekan Rabu Alor Setar sekiranya para peniaga menjalankan kegiatan menjual produk dan perkhidmatan unik.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga Pekan Rabu Sungai Petani, Norreney Ali berkata, pada mulanya terdapat sekitar 50 peniaga yang menjalankan kegiatan di situ.

Bagaimanapun katanya, bilangan peniaga yang aktif kemudiannya semakin berkurangan dan menyebabkan bangunan Pekan Rabu Sungai Petani seolah-olah hilang seri.

"Sungguhpun begitu, kita berharap dapat menghidupkan semula kawasan ini. Persatuan juga telah diwujudkan dan saya berharap agar semua peniaga dapat memberikan kerjasama untuk menjadikan Pekan Rabu Sungai Petani sebagai lokasi perniagaan berdaya maju," katanya.

Rumah sewa dihuni dua keluarga musnah dalam kebakaran

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

ANGGOTA bomba dan penyelamat meneruskan siasatan selepas sebuah rumah yang didiami oleh dua keluarga musnah akibat kebakaran di Kampung Petani, Jalan Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam kelmarin.

BUKIT MERTAJAM 10 Feb. - Dua buah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa yang didiami mereka terbakar di Kampung Petani, Jalan Kubang Semang, di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.50 malam, yang dipercayai berpunca dari dapur salah sebuah rumah sebelum api merebak.

Menurut penghuninya, Siti Nurliza Abdul Mutalib, 39, dia terdengar bunyi letupan sebelum disusuli percikan api lalu membakar rumah sewanya itu yang diperbuat daripada kayu.

"Saya hanya sempat menyelamatkan empat anak manakala barang berharga musnah terbakar," katanya ketika ditemui di sini.

Jiran Siti Nurliza, Aisyah Saad, 60, berkata, dia menyedari api marak semasa sedang menidurkan dua cucunya yang berumur dua dan satu tahun.

"Hanya beberapa minit kemudian saya dapati dinding rumah yang memisahkan kami terbakar lalu membawa dua cucu keluar menyelamatkan diri.

"Tidak lama selepas itu, bumbung rumah mula runtuh dan saya tidak sempat menyelamatkan barang berharga," katanya.

Pegawai Penjaga Balai Bomba Bukit Mertajam, Penolong Penguasa Azahai Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.55 malam dan tiba di lokasi bersama dua buah jentera lapan minit kemudian.

"Melalui bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda dan Perai yang tiba lebih awal ke lokasi kejadian, kita dapat mengawal api sepenuhnya pada pukul 9.05 malam.

"Kebakaran itu menyebabkan rumah yang didiami dua keluarga tersebut musnah dan kerugian dianggarkan RM50,000," katanya.

Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu tetapi tidak menolak kebakaran tersebut disebabkan letupan tong gas memasak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved