Selasa, 11 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bomba selamatkan aset RM495.23j

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Norazam Khamis memeriksa perbarisan kehormat semasa Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, semalam.

SEREMBAN 10 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berjaya menyelamatkan aset bernilai RM495 juta dalam kes kebakaran melibatkan bangunan dan harta benda sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM55.14 juta kerugian direkodkan melibatkan kebakaran harta benda dan bangunan yang tidak sempat diselamatkan.

Menurut beliau, jumlah kerugian itu meningkat berbanding statistik 2012 yang mencatatkan RM23.5 juta kerugian manakala jumlah aset yang dapat diselamatkan sebanyak RM208.4 juta.

"Jumlah kebakaran sepanjang 2013 ialah 1,575 kes dan jumlah panggilan khidmat khas sebanyak 1,075. Pada tahun sebelumnya, terdapat sebanyak 1,375 kes dengan jumlah panggilan khidmat khas sebanyak 1,053.

"Secara keseluruhannya, kebakaran di negeri ini mencatatkan peningkatan. Ini memberi cabaran kepada jabatan supaya sentiasa bersiap sedia serta memberi respons pantas supaya kehilangan nyawa dan harta benda dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan Tahunan JBPM peringkat negeri di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 di sini hari ini.

Norazam berkata, antara punca kebakaran ialah kegagalan pendawaian elektrik, kesan geseran, tindak balas spontan, letupan, kegagalan fungsi peralatan elektrik, permukaan bahan berhaba tinggi dan tindak balas kimia.

Kata beliau, antara jenis perkhidmatan khas yang paling banyak diberikan bomba pada tahun lalu ialah kemalangan jalan raya, tumpahan dan kebocoran bahan bahaya, panggilan mencari dan menyelamat serta bencana alam.

Sementara itu, Norazam berkata, sepanjang 15 Januari hingga 5 Februari lalu, pihaknya menerima 26 kes kebakaran bangunan yang melibatkan rumah kediaman, kedai, kilang serta lain-lain bangunan.

"Bagi kebakaran harta benda dan lain-lain pula, terdapat sebanyak 309 kes melibatkan kenderaan, perkakas, hutan belukar serta lalang, hutan dan lain-lain," jelasnya.

Ditanya mengenai statistik Op Selamat yang berakhir Jumaat lalu, Norazman menjelaskan, sebanyak 239 kes kebakaran direkodkan di negeri ini.

"Bagi khidmat kemanusiaan yang dihulurkan sepanjang Op Selamat pula, sebanyak 16 kes dicatatkan terdiri daripada kemalangan jalan raya, bantuan menangkap serta memusnahkan serangga dan lain-lain," katanya.

Jangan politikkan persatuan sukan demi kecemerlangan atlet - MB

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Mohamad Hasan menyampaikan insentif kepada Phoon Eyin sambil diperhatikan atlet lain semasa Majlis Meraikan Atlet Negeri Sembilan yang memenangi pingat pada Sukan SEA ke-27 dan Paralimpik ASEAN ke-7 Myanmar 2013 dan 2014 di Seremban, semalam.

SEREMBAN 10 Feb. - Persatuan sukan di negeri ini disaran tidak mempolitikkan pengurusan masing-masing sehingga membantutkan pembangunan yang akhirnya membawa kegagalan dalam melahirkan atlet berbakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perpecahan dan pergaduhan di peringkat pengurusan persatuan hanya akan mendatangkan kesan negatif terutamanya kepada atlet.

"Saya ingin berpesan jangan ada pergaduhan, berpecah belah dalam persatuan kerana politik mereka lebih dahsyat daripada parti politik sehingga menyebabkan atlet teraniaya.

"Pasti ramai yang marah saya bercakap begini tetapi ini adalah realiti, malah jika persatuan diuruskan dengan baik, prestasi akan melonjak dan pada masa sama lebih ramai atlet berkualiti dapat dilahirkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Atlet Negeri Sembilan yang memenangi pingat pada Sukan SEA ke-27 dan Paralimpik ASEAN ke-7 Myanmar 2013 dan 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris.

Jelas Mohamad, atas faktor itu, persatuan sukan di negeri ini tidak boleh menuduh kerajaan negeri menganaktirikan persatuan sukan kerana kerap membantu persatuan yang sama.

"Saya seorang yang mementingkan hasil dan keputusan, jika persatuan diuruskan dengan baik dan prestasi atlet pula membanggakan, tiada sebab kita tidak membantu mereka.

"Jika tidak pernah buat apa-apa tetapi tiba-tiba hendak mohon bantuan, bagaimana kita mahu bantu," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan pelbagai keperluan termasuk daripada aspek infrastruktur dan prasarana dalam usaha menjayakan sukan sebagai satu teras pembangunan di negeri ini.

"Justeru, kerjasama serta gandingan kerajaan, persatuan sukan serta ahli sukan sendiri adalah amat penting dalam memastikan kecemerlangan sukan Negeri Sembilan dikembalikan," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, seramai 16 atlet menerima insentif berbentuk wang tunai RM2,000 bagi pingat emas, RM1,000 (perak) dan RM500 (gangsa).

Di samping itu, atlet wushu negara, Phoon Eyin yang berjaya merangkul pingat ke 1,000 negara dalam temasya Sukan SEA lalu menerima insentif tambahan sebanyak RM1,000 serta pemecah rekod kebangsaan dalam acara lempar cakera, Mohd. Irfan Shansudin turut menerima RM1,000.

PVR bantu penurunan kadar jenayah di Melaka

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

ChuaH Ghee Lye (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada Mohd. Sanusi Kamalludin kerana membantu menyelesaikan kes polis semasa Perhimpunan Bulanan di IPK negeri, Bukit Beruang, Melaka, semalam.

MELAKA 10 Feb. - Penglibatan aktif masyarakat dengan menganggotai Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) dikenal pasti antara faktor yang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kadar jenayah indeks di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ini terbukti apabila banyak kes cubaan curi motosikal dan pecah rumah digagalkan anggota PVR.

"Di negeri ini, kadar jenayah indeks dapat diturunkan sebanyak 12 peratus iaitu 4,760 kes pada 2012 kepada 4,187 kes pada tahun lalu.

"Kebanyakan jenayah indeks itu melibatkan kes di taman perumahan dan rondaan," katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shah Gzali Khan Shahadad.

Pada majlis itu, polis Melaka turut menerima sebanyak 50 buah motosikal berkuasa tinggi untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang akan diagihkan di balai polis di tiga daerah negeri ini.

Ghee Lye seterusnya berkata, berikutan itu, pihaknya akan menambah 500 lagi keahlian PVR tahun ini dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,200 anggota.

"Anggota PVR diharap dapat menjadi pengantara polis dengan masyarakat terutamanya di kawasan taman perumahan dan tempat tinggal disebabkan mereka lebih mengenali dan disenangi jiran.

"Selain itu, polis turut akan memberi tumpuan terhadap penagih dadah di seluruh negeri ini kerana kebanyakan jenayah indeks yang berlaku melibatkan golongan tersebut," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved