Selasa, 11 Februari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Shafee: Anwar gagal sekali lagi

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada pemberita berhubung keputusan rayuan kali kedua oleh Anwar Ibrahim untuk mengetepikan beliau selaku ketua pasukan pendakwaan bagi kes liwat Ketua Pembangkang tersebut di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 11 Feb. - Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat akan diteruskan di Mahkamah Rayuan esok setelah beliau gagal dalam usaha terakhirnya untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Rayuan tersebut dijadualkan didengar selama dua hari sehingga Khamis ini setelah Mahkamah Persekutuan hari ini buat kali kedua menolak rayuan Anwar berhubung pelantikan Muhammad Shafee itu.

Bagaimanapun, sebelum rayuan pihak pendakwaan didengar, Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan tersebut akan berdepan permohonan terbaharu Anwar untuk mendapatkan kebenaran memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes itu, Supritendan Jude Blacious Pereira memberi keterangan.

Anwar mengemukakan permohonan itu supaya mahkamah dapat memutuskan sama ada keterangan Jude dalam perbicaraan kes liwat boleh dipertahankan dan dipercayai setelah permohonan bekas pegawai polis itu untuk menjadi peguam bela dan peguam cara ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu.

Pada prosiding hari ini, panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan Anwar selepas mendapati segala dakwaan salah laku yang dikatakan dilakukan oleh Muhammad Shafee seperti dalam akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim tidak boleh dibuktikan.

Ujar beliau, persoalan utama yang perlu dibuktikan ialah sama ada terdapat prima facie atau kesahihan terhadap dakwaan salah laku yang kononnya dilakukan oleh peguam senior itu.

"Kami mendapati bahawa SD tersebut merupakan keterangan yang dibuat di luar mahkamah dan kami tidak boleh menerima isi kandungan akuan tersebut.

"Tanpa akuan bersumpah itu, lain-lain dakwaan terhadap Muhammad Shafee boleh dipertikaikan.

"Selain itu, tiada sebarang bukti kukuh untuk membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut. Oleh itu, rayuan perayu (Anwar) ditolak," kata Hakim Zulkefli.

Yang turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Seri Zaleha Zahari serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia 67 tahun itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Percubaan kali kedua Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee dibuat setelah beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lalu yang menolak permohonan itu yang bersandarkan kepada SD Mat Zain yang kemudiannya diputuskan sebagai keterangan dengar cakap (hearsay).

Sebelum itu, cubaan kali pertamanya untuk menyingkirkan Muhammad Shafee ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 21 November tahun sama.

Selongkar barang kemas cari hantu - Ibu mangsa

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

SHAH ALAM 11 Feb. - Ibu kepada pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter yang mati dibunuh bersama bapanya mendakwa, teman lelaki anaknya menyelongkar rumah mereka dan mengeluarkan semua barang kemasnya dengan tujuan 'mencari hantu'.

Menurut Normaliah Mahmood, 53, tertuduh pertama kes pembunuhan itu, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, yang juga teman lelaki Zara Eleena memberitahunya, terdapat 25 hantu di badannya dan dia perlu diubati.

Kata saksi pendakwaan keempat itu, pada 15 Februari 2012, Mohamad Zul Shahril atau dikenali sebagai Shah atau Ustaz Shah pertama kali datang ke rumah mereka di Taman Kinrara bersama dua lelaki selepas Zara Eleena membuat panggilan telefon kepada Shah memaklumkan Normaliah tidak sihat.

Disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin sama ada dia mempercayai dakwaan Shah bahawa terdapat hantu dalam badannya, Normaliah dengan nada sebak berkata, dia tidak membela hantu, takut hantu dan tidak mempercayai dakwaan itu.

Wanita itu menyatakan demikian dalam perbicaraan terhadap empat bekas pelajar KTAC termasuk Shah yang didakwa membunuh Zara Eleena dan Omar Peter Abdullah, dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Perbicaraan masuk hari kedua hari ini.

Shah, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, atau Mat Rof, Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau Boy, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, atau Chap didakwa membunuh Zara Eleena, 23, di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Kesemua mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh Omar Peter, 56, di tempat sama, antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan pukul 1.30 pagi keesokannya.

Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya, Normaliah berkata, pada malam 15 Februari 2012, barang kemas miliknya dikeluarkan oleh Omar Peter dan Shah mengasingkan barang kemas yang dikatakan berhantu dan yang tidak berhantu di atas lantai bilik utama.

Sebelum pulang, menurutnya, Shah mengeluarkan poket seluarnya yang kosong dan berkata, dia tidak ambil apa-apa barang daripada rumah itu dan hanya ikhlas ingin membantu mengubati Normaliah.

Kata saksi itu, Shah dan dua lelaki lain termasuk Boy pulang lebih kurang pukul 1 pagi, 16 Februari 2012 dan dia serta suaminya tertidur selepas minum secawan Nescafe yang dibancuh oleh Zara Eleena dan bangun pada pukul 2 petang.

Keesokan harinya, menurut Normaliah, Zara Eleena yang dipanggilnya Yaya memberitahunya yang dia telah memberikannya ubat tidur atas arahan Shah.

Ditanya mengenai hubungan Shah dan Zara Eleena, katanya, anaknya itu mengakui Shah teman lelakinya selain pelajarnya dan Shah turut bekerja sambilan sebagai penarik kereta.

''Saya beritahu Yaya, orang tarik kereta ini agak berbahaya, kasar, saya ada kawan penarik kereta dan dia memang kasar,'' ujarnya.

Ketika ditanya apa yang berlaku kepada Zara Eleena sebelum wanita itu meninggal dunia, Normaliah menyatakan, duit anaknya sering hilang daripada akaun bank sejak Januari 2012 dan satu laporan polis telah dibuat oleh anak gadisnya itu.

''Saya terkejut bagaimana duit dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dia boleh hilang sedangkan dia seorang yang berhati-hati.

''Dia selalu hilang duit, hampir setiap hari duit dia hilang sehingga pada satu hari ayahnya terpaksa menghantar wang kepadanya di kolej kerana tiada duit untuk membeli makanan,'' katanya.

Menurutnya, seminggu sebelum kematian Zara Eleena, anaknya itu ada membuat laporan polis kali kedua bersama bapanya selepas kehilangan wang tunai RM500.

Ditanya sama ada Zara Eleena mengesyaki sesiapa, wanita itu menjawab tiada.

Perbicaraan ditangguhkan apabila Normaliah menangis teresak-esak ketika menceritakan saranan Zara Eleena kepada bapanya supaya menghantar ibunya ke kampung halaman di Segambut, Johor bagi mengelakkan gangguan hantu.

''Pada pukul 6 petang, 16 Februari 2012 lepas Yaya balik daripada kerja, dia suruh Omar Peter hantar saya ke kampung supaya hantu tidak ikut saya.

''Pada masa tu saya percayakannya, saya memang bodoh kerana percayakan perkara itu,'' katanya sambil meraung dan menekupkan muka ke meja di kandang saksi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved