Selasa, 11 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kredibiliti FAM terjejas jika tidak bertindak - KJ

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kredibiliti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang diuji sejauh mana badan induk itu mampu bertindak tegas bagi menangani insiden yang berlaku di dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru pada 1 Februari lalu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan wajar dihukum tanpa ada rasa pilih kasih kerana di sisi undang-undang tiada sesiapa pun yang kebal dan mereka tidak dapat lari daripada hukuman.

"Ini isu serius. Bila saya dapat tahu bahawa pemain T-Team, penolong jurulatih pasukan, Azlan Johar semua angkat sumpah, sebagai seorang Islam bila kita angkat sumpah, kita kena anggap ia perkara yang lebih serius.

"Walaupun benda ini memang dah serius, tetapi bila angkat sumpah sahaja dia jadi satu benda yang kita tak boleh ketepikan. Saya ada hubungi Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAM) pagi tadi (semalam). Saya maklumkan kepadanya kita tak boleh ketepikan isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Siri Keupayaan Pentadbiran Kepimpinan Sains Sukan ISN-UPM di sini semalam.

Menurut Khairy, sekiranya benar terdapat insiden yang tidak diingini berlaku di Larkin, FAM perlu mengemukakan pertuduhan kerana mana-mana individu yang terlibat mesti dihukum.

"Kalau ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di Larkin kita kena buat pertuduhan dan mesti dilihat adil dan tidak ada sesiapa yang kebal dalam perkara ini. Kalau sekiranya ada kesalahan sesiapa sahaja yang buat kesalahan itu mesti dihukum, tidak boleh ada pilih kasih, tidak boleh ada undang-undang yang berbeza," tegasnya.

Jelasnya, sebagai menteri, beliau hanya boleh memainkan peranan untuk menasihatkan FAM jika badan induk bola sepak negara itu masih gagal mengambil tindakan berhubung kejadian di Larkin.

"Kredibiliti FAM, kredibiliti bola sepak negara akan terjejas. Jadi saya maklumkan, apa sahaja keputusan selagi dilaksanakan secara adil tanpa pilih kasih daripada FAM, saya akan sokong," ujarnya.

Biar FAM uruskan - Tengku Abdullah

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - "Jangan main-main dengan al-Quran".

Itu pesan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung tindakan T-Team dan pemainnya Muhammad Irfan Ghani yang bersumpah menggunakan al-Quran, rentetan daripada pergaduhan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Johor Bahru pada 1 Februari lalu.

Katanya, kepercayaan seharusnya diberikan kepada FAM untuk melaksanakan siasatan dan mengambil tindakan terhadap insiden itu.

Kelmarin, penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar dan seorang pemainnya Khairan Izuan Razali bersumpah dengan al-Quran bagi membuktikan kebenaran berhubung insiden itu.

Semalam pula, pemain T-Team, Muhammad Irfan yang sebelum ini memberikan kenyataan bertentangan dengan pasukannya, turut melakukan perkara sama.

Tengku Abdullah menegaskan, biarlah FAM menjalankan tugas dalam melakukan siasatan berhubung pergaduhan yang berlaku sewaktu masa rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan T-Team itu.

"Janganlah sampai sumpah-sumpah dan jangan main-main dengan al-Quran.

"FAM akan buat keputusan nanti dan terpulang kepada pihak terlibat," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), di sini semalam.

Pada 1 Februari lalu, T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan Piala FA menentang JDT selepas mendakwa pemainnya dikasari oleh pegawai tertinggi JDT di dalam terowong.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut memberitahu tugas menangani samseng dalam kalangan penyokong bola sepak tidak boleh diletakkan seratus peratus kepada FAM sahaja.

Malah Tengku Abdullah mengakui tiada persatuan sukan di dunia ini yang mampu menangani masalah tersebut secara bersendirian.

"Mereka (penyokong) perlu ingat jika mahu jadi samseng ini akan melibatkan undang-undang dan janganlah sampai membuat perkara yang melanggar undang-undang.

"Saya nasihatkan mereka ini jangan buat kecoh kerana kita datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dan menang atau kalah itu adalah adat dalam perlawanan bola sepak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved