Selasa, 11 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Warta tanah didiami Orang Asli

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

SHAHIRUDDIN Ab. Moin (dua dari kiri) menyampaikan replika cek dividen kepada wakil peserta Tanam Semula Komersial di Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 11 Feb. - Masyarakat Orang Asli bakal memiliki tanah sendiri apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan tanah yang didiami mereka berdasarkan syarat yang ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri sebelum ini giat mengadakan rundingan dengan jabatan berkaitan termasuk pejabat tanah berhubung dengan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan kerjasama agensi berkaitan kini dalam proses penyediaan pelan pewartaan tanah terbabit.

"Apabila pewartaan ini selesai, saya yakin, masyarakat Orang Asli dapat memajukan tanah tersebut seterusnya menjana sumber ekonomi.

"Langkah ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan setempat mereka," katanya dalam Majlis Penutup Seminar Pengurusan Tanam Semula Komersial (TSK) dan Pengupayaan Koperasi Orang Asli Negeri Pahang, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jakoa, Nisra Nisran Asra Ramlan dan Pengarah Jakoa negeri, Isa Abd. Hamid.

Adnan berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha menyusun semula ekonomi luar bandar dengan menjuruskan kepada program pertanian komersial.

Beliau berkata, melalui projek TSK yang telah dirancang dan disusun diharap dapat menjana sebanyak mungkin aktiviti ekonomi dan sosial.

Menurutnya, projek TSK di negeri ini kini adalah membabitkan 55 kampung Orang Asli meliputi 9,366 hektar kawasan dengan 3,332 peserta.

Sementara itu, Nisra Nisran berkata, Jakoa akan membuka 2,000 hektar ladang baru di negeri ini untuk tanaman sawit dan getah.

Penerima bantuan khas perlu tandatangani surat akuan

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

SHAFIK Fauzan Sharif (kiri) menyampaikan bantuan khas banjir daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri sebanyak RM750 di Kompleks Sukpa Indera Mahkota, Kuantan, semalam. - UTUSAN/MOHD. FAIRUZ YUSOF

KUANTAN 11 Feb. - Mangsa banjir di daerah ini yang menerima bantuan khas daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri sebanyak RM750 wajib menandatangani borang akuan penerima bantuan ihsan bagi memastikan wang tersebut sampai kepada golongan sasar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan syarat tersebut supaya penerima terbabit tidak melakukan penipuan dengan mendakwa mereka merupakan mangsa banjir pada Disember tahun lalu.

"Dalam surat itu penerima perlu menandatangani serta menurunkan cap jari surat akuan tersebut. Borang tersebut perlu diisi semasa mendaftar di kaunter disediakan sebelum bantuan wang ihsan tersebut diserahkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bagi menyampaikan bantuan berkenaan di Kompleks Sukpa Indera Mahkota, di sini hari ini.

Yang turut hadir mengagihkan bantuan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud; ADUN Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar; ADUN Lepar, Datuk Suhaimi Jusoh dan Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Nurhayad Ahmad.

Agihan bantuan tersebut diadakan selama tiga hari bermula hari ini di kompleks tersebut melibatkan seramai 14,377 penerima yang terlibat dalam bencana itu.

Shafik berkata, penerima yang menandatangani surat tersebut tetapi didapati berbohong boleh diambil tindakan mahkamah dan dikenakan hukuman tertentu.

Beliau percaya mungkin tidak ramai yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan itu kerana pengenalan borang berkenaan mampu mengelak berlaku sebarang penyelewengan bantuan tersebut.

Mengenai kelewatan menyampaikan bantuan khas itu, Shafik memberitahu, kerajaan negeri perlu melakukan proses penapisan kerana melibatkan jumlah penerima yang banyak.

"Kita khuatir akan berlaku pertindihan nama. Kita perlukan pengesahan tertentu supaya mangsa yang terlibat dalam bencana itu layak menerima bantuan tersebut," ujarnya.

623 KIR terima bantuan Kami Prihatin MPK

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

KUANTAN 11 Feb. - Seramai 623 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan berjumlah kira-kira RM436,000 melalui program Kami Prihatin yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pihaknya turut mengadakan kursus dan latihan bagi meningkatkan pendapatan keluarga seperti kursus rawatan alternatif, jahitan baju kurung dan masakan.

"Untuk tahun lalu, pihak majlis mendapatkan dana dan peruntukan bantuan daripada pihak kementerian dan juga daripada perkongsian bijak dengan rakan penaja 'Kami Prihatin' MPK," katanya demikian ketika berucap dalam majlis Penyampaian Sumbangan Basikal Kami Prihatin Kepada Rumah Anak-Anak Yatim Daerah Kuantan di Rumah Anak Yatim Nur Iman Kampung Kempadang di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Majlis MPK, Datuk Wan Salihin Wan Hassan.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Datuk Dr. Yusri Zainuddin dan Yang Dipertua Rumah Anak Yatim Nur Iman, Badrul Huzaini Mohd. Yusof.

Zulkifli berkata, bagi program penyampaian sumbangan basikal itu, MPK telah menjalinkan usahasama dengan UMP dengan menyumbangkan 40 basikal terpakai yang tidak digunakan lagi.

"Pihak MPK membaik pulih basikal berkenaan dan hanya 20 yang boleh digunakan dan disumbangkan kepada tiga rumah anak yatim iaitu Rumah Anak Yatim Nur Iman, Permata Insyirah dan Baitul Husna," katanya.

Menurutnya, 10 basikal disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Nur Iman dan masing-masing lima untuk RumahAnak Yatim Pertama Insyirah dan Baitul Husna.

Beliau berkata, MPK berharap lebih ramai pihak tampil membuat sumbangan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan di daerah ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved