Selasa, 11 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


MDT belanja RM13 juta

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada ahli majlis mengangkat sumpah pengakuan menerima jawatan Ahli Majlis Daerah Tangkak di Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 10 Feb. - Majlis Daerah Tangkak (MDT) membelanjakan sebanyak RM13 juta untuk menaik taraf kemudahan, menyelenggara dan mencantikkan kawasan awam sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin berkata, peruntukan yang diperoleh daripada kerajaan negeri dan Pusat selain sumber pendapatan MDT sendiri melibatkan perbelanjaan pengurusan dan perbelanjaan pembangunan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM7 juta dibelanjakan untuk pembangunan. Kita juga mendapat RM300,000 tahun lalu untuk mencantikkan Dataran Tangkak, landskap, taman permainan, lampu awam dan membersihkan sistem perparitan.

"Peruntukan ini kita dapat daripada Kerajaan Pusat untuk kerja penyelenggaraan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MDT, di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Ahli Parlimen Ledang.

Seramai tujuh muka baharu dan 17 ahli sedia ada kekal dilantik sebagai Ahli Majlis MDT bagi memegang jawatan untuk tempoh mulai 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015.

Terdahulu dalam ucapannya, Ab. Han mengingatkan Ahli Majlis MDT supaya dapat memberikan sepenuh komitmen dalam menjalankan tanggungjawab bagi membantu organisasi itu mencapai visi sebagai perbandaran yang maju dan tersohor menjelang 2015.

Beliau berkata, mereka berperanan sebagai pembekal perkhidmatan bandar, pihak berkuasa perancangan tempatan, pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi, pengutip hasil cukai taksiran dan penguasa perbandaran.

"Mereka akan menjadi 'jambatan' antara kerajaan dan rakyat menerusi aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan menerusi peruntukan yang disalurkan Kerajaan Pusat. Ini dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni yang merupakan antara ciri-ciri pembangunan negeri dan negara," katanya.

Beliau berkata, ahli majlis bukan hanya mewakili sesuatu kawasan tertentu, malah tugas dan tanggungjawab meliputi keseluruhan kawasan pentadbiran MDT.

"Oleh itu, pemikiran dan pandangan ahli majlis harus lebih terbuka dan meliputi keseluruhan kawasan pentadbiran serta tidak tertumpu dengan pandangan di kawasan sekelilingnya. Harus elak unsur kepentingan peribadi serta menyalahgunakan kuasa," katanya.

Singapura hadkan asap kenderaan 40 HSU mulai Julai

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Ayub Rahmat (tiga dari kiri) mengedarkan risalah keselamatan jalan raya kepada pemandu semasa Operasi Bersepadu Pelepasan Asap Kenderaan Diesel di susur keluar Plaza Tol Skudai, semalam.

JOHOR BAHRU 10 Feb. - Bermula Julai ini, kenderaan diesel dari Malaysia yang memasuki Singapura perlu memastikan kenderaan mereka tidak melepaskan asap melebihi had ditetapkan negara itu pada tahap 40 Unit Asap Hartridge (HSU).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, perkara itu merupakan peraturan baharu yang lebih ketat dibuat oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura dalam usaha meningkatkan kualiti udara di negara tersebut.

Menurutnya, bermula 1 Januari lalu, republik itu menguatkuasakan had pelepasan asap hitam kenderaan diesel daripada 50 HSU kepada 40 HSU termasuk kepada semua kenderaan yang memasuki Singapura dan dilaksanakan di bawah undang-undang negara itu.

"Bagaimanapun, pihak NEA Singapura memberi kelonggaran masa sehingga 30 Jun 2014 kepada kenderaan dari Malaysia yang memasuki negara itu dalam melaksanakan had baharu pelepasan asap kenderaan diesel itu," katanya selepas Operasi Bersepadu Pelepasan Asap Kenderaan Diesel di susur keluar Plaza Tol Skudai, di sini hari ini.

Ayub berkata, namun dalam tempoh itu, kenderaan yang memasuki Singapura dan didapati melepaskan had ketumpatan asap antara 41 hingga 50 HSU selepas diuji akan diberi surat peringatan, manakala yang lebih 50 HSU akan tetap dikompaun.

Pada tahun lalu, sebanyak 213 kenderaan diesel terutamanya lori dan bas yang ingin memasuki Singapura telah diminta berpatah balik oleh pihak berkuasa negara berkenaan kerana didapati melepaskan ketumpatan asap melebihi had ditetapkan.

"Sepanjang tahun itu juga, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah melaksanakan sebanyak 338 operasi statik bagi membendung masalah tersebut dan daripada jumlah itu sebanyak 74 operasi dijalankan di dua pintu masuk menghala ke Singapura.

"Dalam operasi yang dijalankan di dua pintu masuk ke negara berkenaan, sebanyak 9,554 kenderaan diesel diperhatikan dan 54 daripadanya telah dikenakan kompaun setelah ujian ketumpatan asap kenderaan dilaksanakan." katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved