Ahad, 5 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Indeks jenayah turun 20 peratus

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

Azman Ab. Lah (dua dari kiri) ketika merasmikan program Memerangi Jenayah Bersama Masyarakat di kawasan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kelmarin.

BUKIT MERTAJAM 4 Jan. - Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) menyasarkan penurunan indeks jenayah sehingga 20 peratus tahun ini atau kurang daripada enam kes jenayah sehari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, dua kategori jenayah yang diberi perhatian adalah jenayah kekerasan melibatkan samun dan ragut serta jenayah harta benda iaitu curi motosikal dan pecah rumah yang kerap berlaku sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu beberapa strategi diambil melibatkan kepolisan tradisional seperti rondaan, Ops Payung, sekatan jalan raya dan banyak lagi.

"Fokus diberikan terhadap jenayah samun dan ragut, curi motosikal dan pecah rumah selain mengadakan operasi rutin serta pemeriksaan Ops Payung dan sekatan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Memerangi Jenayah Bersama Orang Awam di Bukit Minyak, dekat sini semalam.

Tambah Azman, pihaknya juga akan terus melaksana kepolisan komuniti dengan penglibatan masyarakat melalui Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Jelasnya, sehingga kini, terdapat sebanyak 135 KRT dan 53 SRS ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di daerah SPT.

"Tahun ini, kita menyasarkan sebanyak 12 lagi SRS ditubuhkan melibatkan komuniti penduduk di taman-taman perumahan baharu bagi membantu polis mencegah jenayah.

"Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu polis mencapai sasaran itu serta menjadikan daerah ini paling selamat di Pulau Pinang," katanya.

Bangunan terbiar MDG jadi 'gajah putih'

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Bangunan tiga tingkat milik Majlis Daerah Gerik yang kini terbiar kosong sejak tahun lalu menimbulkan keresahan penduduk setempat.

GERIK 4 Jan. - Sebuah bangunan tiga tingkat milik Majlis Daerah Gerik (MDG) di sini yang pernah menjadi tumpuan orang ramai sebagai tempat untuk menjamu selera, kini kosong dan terbiar.

Difahamkan bangunan tersebut sudah lebih lapan tahun dibiarkan kosong, menyebabkan penduduk bimbang kemungkinan menjadi sarang penagih dadah selain tempat aktiviti tidak bermoral.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, bangunan berkenaan tidak lagi diselenggara dan banyak kerosakan berlaku manakala kerusi dan meja yang disediakan di medan selera di situ sudah tiada.

Keadaan itu menimbulkan rasa kecewa kepada penduduk yang menyifatkannya tidak patut berlaku.

Bekas peniaga makanan di bangunan tersebut, Sutian Turisan, 55, melahirkan rasa kecewa dan tertanya-tanya mengapa kenapa MDG membiarkan bangunan itu kosong.

"Bangunan ini dahulunya cantik, tetapi kini keadaannya menyakitkan mata.

"Bangunan ini juga pernah menjadi antara mercu tanda bandar ini. Ia menjadi destinasi persinggahan pelancong yang hendak ke Thailand menerusi Betong di Pengkalan Hulu," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Gerik, Hairudin Janapan, 52, berkata, bangunan itu dahulu kerap menjadi tumpuan pelancong ke bandar ini.

"Saya berharap MDG dapat mencari jalan memulihkan semula bangunan ini. Adalah merugikan ia terbiar sedangkan dibina dengan kos yang tinggi.

"Banyak boleh dilakukan di bangunan ini demi manfaat kepada masyarakat setempat daripada dibiarkan kosong," katanya.

Setiausaha Peniaga-Peniaga Melayu Hulu Perak, Annuar Mushadad Adnan pula mahu masalah tersebut diatasi segera.

"Saya difahamkan sebuah syarikat berminat untuk memajukan bangunan terbabit dan diharap ia akan menghidupkan semula suasana di kawasan berdekatan bangunan berkenaan," katanya.

300 golongan miskin, OKU terima sumbangan makanan

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Shabudin Yahya (kiri) menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada salah seorang penduduk di Pokok Machang, Pulau Pinang, baru-baru ini.

TASEK GELUGOR 4 Jan. - Seramai 300 golongan miskin kaum India dan orang kurang upaya (OKU) menerima barangan keperluan harian sumbangan Parlimen Tasek Gelugor, baru-baru ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, bantuan keperluan asas seperti gula, bihun dan tepung itu bertujuan meringankan beban golongan tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berkata, sumbangan itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dengan masalah masyarakat tanpa mengira kaum

"BN sentiasa membantu meningkatkan taraf hidup semua kaum termasuk kaum India," katanya selepas majlis sumbangan itu di Dewan HYA Pokok Machang, di sini baru-baru ini.

Beliau juga menyeru kaum India memberi keutamaan dalam aspek pendidikan kepada anak-anak dalam usaha mengubah kehidupan mereka.

"Mereka boleh diikuti pelbagai kemahiran di Kolej Komuniti di Teluk Air Tawar dan Kepala Batas, " ujarnya.

Shabudin berkata, Perda juga membina rumah dengan menawarkan harga berpatutan kepada rakyat berpendapatan rendah.

"Rumah yang dibina berharga antara RM40,000 dan RM250,000 berbanding rumah dibina swasta lain yang harganya lebih tinggi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved