Ahad, 5 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Persatuan Hotel Malaysia cawangan Pahang bantu mangsa banjir

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

Chew Teck Fang (tengah) dan ahli Persatuan Hotel Malaysia cawangan Pahang bersama keluarga mangsa banjir yang terdiri daripada komuniti Orang Asli di Pekan, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD.

PEKAN 5 Jan. - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Pahang menyumbangkan makanan dan membersihkan kediaman mangsa banjir di daerah ini menerusi misi bantuan kemanusiaan persatuan itu baru-baru ini.

Antara kawasan yang dikunjungi ialah Kampung Selingkong, Kampung Sena, Kampung Jambu dan Nenasi.

Program yang disertai wakil gabungan MAH Pahang itu diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Chew Teck Fang

Menurut Teck Fang, MAH berasa terpanggil untuk menjejaki mangsa banjir yang baharu kembali ke kediaman masing-masing dengan menyumbangkan makanan dan keperluan kebajikan lain.

"Ini merupakan tanggungjawab sosial kami yang menerajui sektor perhotelan untuk meringankan beban keluarga mangsa banjir yang berpendapatan rendah khususnya meringankan persiapan persekolahan anak-anak mereka," katanya di sini kelmarin.

Tambahnya, walaupun sumbangan agak kecil dengan kemampuan tenaga dan moral ahli MAH yang agak terhad, tetapi amat signifikan sebagai menandakan sokongan pelbagai pihak kepada mangsa banjir di negeri ini.

Kesal bantuan tidak disyukuri

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 5 Jan. - Kerajaan negeri kesal dengan sikap segelintir mangsa banjir yang seolah-olah tidak mensyukuri bantuan yang diberikan sehingga sanggup mengambil apa yang bukan hak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, sebagai contoh, ada peralatan di sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan rosak dan hilang.

"Saya tidak menuduh atau bercakap kosong kerana semua yang berlaku di depan mata saya sendiri.

"Peralatan sekolah seperti kerusi meja dirosakkan, televisyen dan alat bantu mengajar untuk pelajar pendidikan khas juga hilang apabila kelas berkenaan turut diumpil.

"Itu tidak termasuk bab agihan makanan yang dikatakan tidak pernah mencukupi kerana ada pihak yang tamak mengambil hak orang lain," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura hadir mengiringi Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad, Datuk Abdul Manan Ismail dalam Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir Kampung Semangat di sini.

Sebanyak 100 pelajar di kampung berkenaan menerima sumbangan masing-masing berbentuk pakaian seragam dan peralatan persekolahan.

Menurut Shafik, beliau berharap sebilangan mangsa banjir tidak mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa terutama ketika bantuan disalurkan.

"Saya akui memang ada ketikanya bantuan tidak mencukupi kerana adalah mustahil kira-kira 40,000 mangsa banjir untuk mendapat kesemuanya.

"Namun, apa yang saya kesalkan masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan tidak bersyukur dengan sumbangan yang diterima," jelasnya.

Tambahnya, apa yang mengecewakan ialah sikap segelintir daripada mereka yang hanya tahu menuding jari mencari kelemahan pihak yang membantu terutama sukarelawan ketika berada di pusat pemindahan.

"Ada sukarelawan yang ditengking kerana makanan lambat disediakan. Seharusnya jika mereka sihat tubuh badan, mereka boleh sama-sama membantu," jelas beliau.

UMNO Raub digesa atur program dekati rakyat

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

RAUB 5 Jan. - Semua peringkat kepemimpinan UMNO Bahagian Raub perlu bergerak mulai sekarang menemui rakyat dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, ini termasuk mengadakan program yang dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat agar pengundi terus yakin dengan kemampuan Barisan Nasional (BN) dalam membela mereka.

Menurut beliau, selain itu, program pendaftaran ahli baru dan pemilih perlu terus ditingkatkan dalam memastikan usaha menawan kembali Parlimen Raub menjadi kenyataan.

"Berpolitik di kedai kopi tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan program berkesan apatah lagi pembangkang sudah mengatur strategi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Raub di bangunan UMNO Raub di sini semalam.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, tidak mustahil BN mampu merampas semula kerusi Parlimen Raub jika semua berpadu tenaga dan bekerja kuat dari sekarang.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Bahagian sebulat suara menuntut kerusi Parlimen Raub dikembalikan kepada parti tersebut pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Katanya, kekalahan calon MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu amat pahit ditelan kerana Raub adalah kawasan yang secara tradisinya dimenangi BN.

"Kekalahan BN itu perlu dijadikan pengajaran untuk melihat kecenderungan dan isu semasa yang mempengaruhi pemikiran pengundi.

"Dalam konteks itu, Parlimen Raub wajar dikembalikan kepada UMNO kerana sokongan pengundi lebih menyeluruh," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved