Ahad, 5 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor Bahru bakal lebih 'hidup'

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

Jais Sarday tertarik melihat sebuah motosikal buatan pelajar GiatMara ketika melawat gerai pameran sempena perasmian Creative Fest 2014 di Danga Bay, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 4 Jan. - Kerajaan negeri menggariskan tiga langkah utama bagi menjayakan penjenamaan semula Johor Bahru ke arah bandar raya yang 'lebih bertenaga dan sesuai didiami'.

Proses transformasi yang melibatkan beberapa fasa itu menerima peruntukan RM260 juta daripada kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga langkah berkenaan adalah membuka peluang ekonomi baharu kepada semua lapisan masyarakat, meningkatkan kualiti alam sekitar dan mempromosikan identiti setempat serta mengoptimumkan aset sedia ada dari segi tinggalan warisan dan budaya.

"Suka saya jelaskan di sini, objektif utama program transformasi Johor Bahru adalah menyediakan ekosistem ekonomi lengkap, selain merubah wajah bandar raya ini kepada sebuah bandar raya mapan melalui aktiviti komersial, penggalakan aktiviti perniagaan kecil dan serta pembangunan budaya.

"Apa yang boleh saya katakan, golongan usahawan di bandar raya ini akan menerima impak langsung daripada pelaksanaan program, sekali gus ke arah peningkatan ekonomi selari dengan pembukaan peluang perniagaan baharu yang lebih inovatif bagi menghidupkan lagi suasana Johor Bahru," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday ketika majlis Perasmian Creative Fest 2014 di Danga Bay di sini hari ini.

Creative Fest 2014 dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), badan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dengan objektif membantu industri kecil dan sederhana dalam pembangunan jenama, reka bentuk dan pengkomersialan produk.

DDEC turut menganjurkan 'Seminar Outreach Usahawan' selama dua hari yang melibatkan pakar dari dalam industri dan dibahagikan kepada dua segmen iaitu Seminar Pembangunan Penjenamaan Perniagaan dan Seminar Pembangunan Imej Perniagaan.

Turut dipaparkan dalam festival ini adalah pelbagai aktiviti lain seperti pameran 'Art of Speed Malaysia' melibatkan budaya automotif, pameran kereta dan motosikal serta basikal, selain lebih 30 program menarik seperti parkour, pertunjukan BMX, skil bola sepak, persembahan kumpulan indie dan juga lukisan grafiti.

Mohamed Khaled berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor dan Perbadanan Usahawan Negeri Johor akan bekerjasama untuk merancang pelbagai aktiviti seperti seminar keusahawanan serta bengkel perniagaan dalam usaha memastikan keusahawanan dinamik dan berdaya saing.

"Kesannya kita dapat melihat ekosistem perniagaan di bandar raya ini semakin meningkat iaitu sebanyak 20.8 peratus bagi perniagaan baharu. Statistik daripada DDEC, sebanyak 1,710 perniagaan baharu didaftarkan sehingga Februari tahun lalu berbanding 1,696 pada tahun 2012," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan Creative Fest 2014 sebagai platform terbaik usahawan Johor merebut peluang memperkenalkan produk serta jenama masing-masing, selain meningkatkan imej perniagaan melalui Seminar Outreach Usahawan sepanjang dua hari program berkenaan berlangsung.

MB nafi dakwaan bakal wujud kasino di Johor

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Khaled Nordin (tengah) bersama sebahagian murid selepas membeli keperluan sekolah dalam dalam Program Bantuan Persekolahan anjuran Iskandar Investment Berhad di Pasar Raya Mydin, Nusajaya, Johor, semalam.

NUSAJAYA 4 Jan. - Kerajaan negeri sehingga kini tidak menerima sebarang bentuk permohonan, cadangan mahupun perancangan daripada mana-mana pihak untuk membuka pusat perjudian atau kasino di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dakwaan kononnya pusat perjudian itu akan dibuka di sebuah hotel mewah di bandar raya ini seperti yang tersebar di internet disifatkan sebagai satu 'penulisan yang nakal'.

"Saya tidak tahu dari mana berita ini datang, alih-alih benda ini timbul dan setahu saya nak buat kasino ni, lesennya dikawal oleh kerajaan Pusat bukan kerajaan negeri.

"Saya tidak fikir kita menerima sebarang bentuk kewujudan tempat-tempat perjudian di negeri ini namun apapun soal sama ada akan ada atau tidak, dari segi kelulusan ia adalah perlu mendapat kelulusan kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri," katanya selepas menghadiri program bantuan persekolahan anjuran Iskandar Investment Berhad (IIB) di Pasar Raya Mydin, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah laman blog yang mendakwa pusat perjudian itu akan dibuka di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru.

Dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan, sebanyak 200 pelajar dari beberapa buah sekolah di daerah ini menerima baucer sebanyak RM120 untuk membeli barangan keperluan sekolah di pasar raya berkenaan.

Menurut Mohamed Khaled lagi, jika ada permohonan untuk membuka pusat berkenaan, kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi melihat perkara ini secara lebih mendalam.

"Namun saya tegaskan, sehingga kini, kita tidak menerima sebarang cadangan mengenai pembukaan pusat berkenaan di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Iskandar Malaysia akan lebih selektif dalam memilih pelabur namun kerajaan negeri sangat mengalu-alukan mereka yang ingin melabur di kawasan luar wilayah pembangunan itu.

Beliau berkata, tumpuan Johor kini adalah bagaimana pelaburan yang masuk itu memberi impak kepada rakyat terutama dalam pembangunan ekonomi mereka seperti peluang pekerjaan dan sebagainya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved