Ahad, 5 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Ikon terbaharu Taman Botani

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan) bersama Salleh Yusop menunjukkan struktur berbumbung yang bakal menjadi ikon terbaharu Taman Botani Perdana semasa meninjau kerja-kerja Pemasangan Akhir Blok Nodes System Berbumbung di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Projek pembinaan struktur berbumbung melalui pembangunan Taman Botani Perdana fasa kedua giat dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bakal menjadi ikon terbaharu taman berkenaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja yang dimulakan sejak Oktober tahun lalu dan dijangka siap pada Mac depan itu melibatkan kos projek bernilai RM24 juta dan merupakan yang tertinggi di Asia.

Menurutnya, struktur berbentuk organik dan diadaptasikan daripada sebatang pokok bercabang manakala struktur bumbung berombak adalah simbolik daripada aliran air tasik.

"Idea pembinaan struktur seumpama ini dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Taman Botani Perdana pada 28 Jun 2011.

"Ia adalah satu struktur berbumbung kekal sebagai kemudahan bagi mengadakan acara-acara besar seperti majlis perkahwinan, parti di dalam taman dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau kerja-kerja Pemasangan Akhir Blok Nodes System Berbumbungi di Taman Botani Perdana, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Menurut Ahmad Phesal, selain struktur berbumbung, pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan pusat informasi pelancongan juga giat dijalankan dan dijangka siap pada Mei ini.

"Pembinaan struktur berbumbung ini merupakan yang pertama di negara ini menggunakan single monoque system dan reka bentuknya adalah yang pertama di dunia.

"Antara projek-projek lain yang siap di sini adalah kios jualan orkid, menaik taraf Taman Rusa dan Kancil Fasa Dua, selain projek dalam peringkat akhir termasuk taman permainan, Taman Kanak-Kanak Lat dan pejabat Herbarium," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini, pihak DBKL bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi menjayakan kira-kira 20 program.

"Pada masa sama, kita juga akan melancarkan Heli City Tour dalam tempoh terdekat ini di Taman Tasik Titiwangsa.

"Aktiviti ini lebih kepada sesi meninjau ibu kota melalui ruang udara selain memperkenalkan kereta berkuda bagi memberi pengalaman baharu kepada orang ramai bersiar-siar sekitar ibu kota," katanya.

Katanya, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan KL GT Race di sekitar Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) selain penganjuran OCBC Cycle 2014 pada waktu malam dalam usaha menarik minat orang ramai.

Ahad minggu pertama setiap bulan sebagai hari berbasikal di ibu negara

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjadikan Ahad minggu pertama setiap bulan sebagai hari berbasikal di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, langkah itu selaras dengan sasaran ibu negara sebagai bandaraya yang mementingkan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di bandar ini.

Menurutnya, ia juga sebagai usaha menarik minat dan menggalakkan warga kota melakukan aktiviti sihat pada setiap hujung minggu.

"Di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) DBKL bercadang mewujudkan laluan khas berbasikal di ibu negara yang akan menghubungkan satu sektor ke sektor lain di bandar ini.

"Cadangan ini diharap dapat menggalakkan warga kota menggunakan basikal sebagai satu daripada pengangkutan di bandar ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Green Car Free Morning, di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyertai aktiviti berbasikal bersama kira-kira 2,000 peserta berkayuh mengelilingi kawasan sekitar ibu negara sejauh enam kilometer seawal pukul 7.30 pagi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad.

Ahmad Phesal berkata, apa yang perlu difokuskan adalah kesedaran pengguna lain mengenai perkongsian laluan jika sekiranya laluan khas diwujudkan nanti.

Sepanjang program sebanyak 15 jalan akan ditutup kepada semua kenderaan selama dua jam bermula pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan P. Ramlee.

Penduduk PPR Kerinchi terima sumbangan

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Sebanyak 30 orang penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai menerima bantuan kewangan dan perubatan sempena Program Khidmat Masyarakat Bahagian UMNO Lembah Pantai, di sini hari ini.

Program dianjurkan bersama Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) itu mensasarkan keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai sakit kronik.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Ahmad Zakuan Khairuddin.

Menurut Raja Nong Chik, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban mereka untuk membeli barangan keperluan harian.

"Program hari ini juga merupakan antara usaha untuk mengenal pasti pesakit buah pinggang yang tidak berdaftar lagi dengan Baitulmal bagi kemudahan dialisis," katanya pada majlis penyampaian sumbangan di sini.

Tambahnya, usaha murni PICOMS itu diharap dapat dijadikan contoh pihak lain dalam membantu golongan yang memerlukan.

Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk pembukaan kaunter pemeriksaan oleh PICOMS dan sukaneka melibatkan kanak-kanak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved