Sabtu, 4 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Judi roulette online lumpuh

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

Ismail Che Isa (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai yang dirampas bersama enam komputer riba semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Kangar, semalam.

KANGAR 3 Jan. - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan judi haram 'casino roulette online' yang dipercayai baru bertapak selama lima hari di negeri ini ekoran tertangkapnya tujuh lelaki di sebuah restoran makanan Cina di Simpang Empat dekat sini, Selasa lalu.

Turut dirampas dalam serbuan pukul 11.30 malam itu ialah enam komputer bimbit yang bernilai kira-kira RM7,000, wang tunai RM230 dan beberapa peralatan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki Cina dan empat lelaki Melayu berusia antara 19 hingga 46 tahun.

Beliau berkata, ketika ditahan, kesemua suspek leka bermain judi di dalam sebuah bilik yang terletak di bahagian belakang restoran berkenaan.

"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula 1 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, kata Ismail, dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan sempena Tahun Baharu 2014 sebanyak 15 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya.

''Operasi bermula pukul 10 malam pada 31 Disember hingga 4 pagi pada 1 Januari lalu juga turut merampas 16 motosikal atas pelbagai kesalahan." katanya.

Selain itu, tambah Ismail, pihaknya juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 454 motosikal dan 50 kereta dalam Ops Bersepadu berkenaan.

Jalan Felda Besout-Kuala Slim dijangka siap Ogos

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Projek pembinaan jalan baharu dari Felda Besout ke Kuala Slim giat dilaksanakan, semalam.

IPOH 3 Jan. - Projek pembinaan jalan baharu Felda Besout ke Kuala Slim sepanjang 11.8 kilometer yang tertangguh sejak 2010 ekoran pelbagai masalah teknikal kini menampakkan perkembangan positif dan dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya Ogos tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, perkembangan positif projek bernilai RM50 juta itu berikutan pertukaran syarikat pemaju JJM Integrated Sdn. Bhd. yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meneruskan kerja ditinggalkan syarikat sebelumnya, Azam Teknik Sdn. Bhd.

Katanya, JJM Integrated yang dibekalkan dana sejumlah RM23.84 juta, memulakan kerja sejak 8 Februari 2013 bagi menyiapkan projek jalan terbengkalai itu dalam tempoh 19 bulan.

"Dalam taklimat dan lawatan yang diadakan baru-baru ini, pihak JKR menaruh keyakinan bahawa jalan yang menyambungkan Felda Besout ke Slim River itu dapat disiapkan dalam tempoh lebih awal bagi membolehkan rakyat menggunakan kemudahan tersebut sebelum Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada minggu ketiga bulan Julai tahun ini," katanya di sini hari ini.

Kerja pembinaan jalan Felda Besout ke Kuala Slim dimulakan pada Julai 2008 dan berdasarkan jadual asalnya, projek berkenaan sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun, iaitu pada Julai 2010.

Walau bagaimanapun, pelbagai masalah teknikal timbul, khususnya berkaitan kuantiti tanah yang tidak dimasukkan dalam skop asal, menyebabkan pihak kontraktor asal, Azam Teknik Sdn. Bhd. gagal meneruskan kerja.

Mengulas lanjut, Mohd. Khusairi memberitahu, kemajuan fizikal projek sudah pun mencapai tahap 52 peratus termasuklah kerja-kerja menambak, mengorek, memecahkan tanah dan batu, membina longkang dan pembetung, membaik pulih cerun yang terhakis, membina jalan di hujung jajaran sebelah Besout dan membina dua buah jambatan menyeberangi Sungai Telau serta Sungai Teras.

"Semasa taklimat, saya telah membangkitkan keperluan pembinaan bahu jalan kerana skop pembinaan ketika ini tidak memasukkan keperluan itu. Bahu jalan amat penting bagi keselamatan penunggang motosikal.

"Pengarah JKR negeri telah mempertimbang untuk mengemukakan permohonan peruntukan tambahan bagi tujuan itu. Semoga jalan ini dapat disiapkan pada pertengahan Julai nanti, bagi kemudahan penduduk Felda Besout dan masyarakat yang tinggal di luar untuk pulang berhari raya," jelas beliau.

MAIPs lantik empat atase sebagai pendaftar pernikahan di luar negara

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) mengurniakan sijil tauliah pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk kepada Noorkhairan Nordin di London, United Kingdom, baru-baru ini.

KANGAR 3 Jan. - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melantik empat atase di luar negara sebagai pendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia beragama Islam di luar negara.

Watikah tauliah yang ditandatangani oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu telah dikeluarkan kepada empat atase pendidikan yang turut bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama dan kaunseling.

Mereka ialah Muhammad Hijaz Mohd. Ramli yang berkhidmat di Washington DC, Muhammad Imran Ibrahim dan Ahmad Zakuan Md. Khudzari yang masing-masing berkhidmat di Kaherah dan Noorkhairan Nordin di London.

Menurut Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs, kesemua watikah itu dihantar oleh Jabatan Agama Islam Perlis kecuali Noorkhairan yang menerimanya secara terus daripada baginda pada 19 Disember lalu sempena lawatan kerja baginda ke United Kingdom.

Pelantikan mereka yang bukan anak jati Perlis berdasarkan jawatan yang disandang serta kebolehan mereka dan kuasa yang diberikan.

Tanggungjawab mereka tidak hanya khusus untuk umat Islam Perlis tetapi merangkumi rakyat Malaysia beragama Islam di negara tempat mereka bertugas.

Baginda menasihati mereka yang diberi tanggungjawab sebagai pendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk itu supaya turut mematuhi undang-undang dan peraturan pihak berkuasa Islam di negara terbabit dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Titah baginda, rakyat Malaysia beragama Islam di negara-negara terbabit boleh mendapatkan khidmat nasihat khususnya dalam hal ehwal agama atau yang berkaitan dengannya daripada mereka yang bertauliah.

"Sebarang masalah keluarga bagi pasangan yang berkahwin di negara terbabit juga perlu dirujuk kepada pendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk yang telah dilantik manakala yang berkahwin di Malaysia perlu menyelesaikan masalah itu di negara ini," titah baginda. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved