Sabtu, 4 Januari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Selangor semput jadual padat

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Terima seadanya. Itulah respons yang diberikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd. Ibrahim, apabila mengetahui tiada sebarang kelonggaran diberikan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi Selangor dan Kelantan yang akan mengambil bahagian di Piala AFC 2014.

Bukan kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah atau terlalu takut kepada kuasa penuh yang ada pada FAM, beliau berkata, berdasarkan takwim bola sepak bagi tahun 2014 yang dikeluarkan oleh FAM, memang sudah jelas tiada sebarang ruang mampu diminta oleh FAS untuk mengubah jadual perlawanan ke tarikh yang lain.

Berdasarkan pengalaman Selangor yang telah terlibat beberapa tahun dalam saingan Piala AFC, mereka sudah masak dengan situasi bola sepak negara, tambahan tahun 2014 menyaksikan banyak perkara berlaku dalam kalendar sukan seperti Sukan Asia di Incheon dan Pestabola Merdeka.

''Bila layak ke Piala AFC, inilah yang terpaksa harungi (jadual perlawanan yang ketat) dan buat FAS, kami tiada dalam sebarang perancangan untuk memohon kepada JKPT FAM agar meminda perjalanan Liga Super.

''Ramai pihak memang nampak jadual begitu padat bagi pasukan yang terlibat dalam Piala AFC namun dalam soal ini FAM juga tiada pilihan lain kerana sudah tiada ruang untuk menginjakkan jadual perlawanan ekoran selain sebulan kita tidak bermain kerana bulan puasa, persiapan Sukan Asia dan penganjuran Pestabola Merdeka juga perlu dilihat, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Jalan penyelesaian buat Selangor hanya satu menurut Rosman iaitu terpulang kepada kebijaksanaan jurulatih, Mehmet Durakovic, bagi melakukan sistem penggiliran dengan tidak boleh bergantung kepada sebahagian pemain sahaja untuk diturunkan dalam setiap perlawanan.

''Sekarang, semua terpulang kepada jurulatih untuk melakukan penggiliran pemain dalam aksi Liga Super dan Piala AFC dengan menggunakan kesemua pemain yang kita daftarkan.

''Jika kita ada 25 pemain, kesemuanya perlu turun beraksi dan tidak mahu ada istilah ada penumpang di dalam pasukan, kita tidak mahu mereka langsung tidak beraksi manakala pemain-pemain utama berdepan faktor keletihan.

''Contoh terbaik adalah musim lalu apabila Ramzul (Zahini Adenan) dan V. Kavichelvan begitu jarang diturunkan, itu memberi kesan kepada pemain-pemain lain yang terpaksa bermain dalam setiap perlawanan sama ada membabitkan liga atau Piala AFC, " katanya.

Red Giants dijangka berdepan jadual yang cukup memeritkan apabila selepas berdepan Terengganu pada 8 Mac, mereka terpaksa terbang ke Maldives bertemu Maziya, pada 11 Mac sebelum pulang ke tanah air, menentang Angkatan Tentera Malaysia, 15 Mac.

Bayangkan sahaja pada bulan Mac dan April, Selangor terpaksa mengharungi 14 perlawanan termasuk lima perlawanan peringkat Kumpulan F Piala AFC dengan perlu terbang ke Vietnam dan Indonesia selain Maldives.

Dalam kesukaran itu, Rosman tetap tersenyum riang kerana penggunaan empat pemain import oleh FAM di dalam saingan Liga Malaysia memberikan sedikit kelebihan kepada persiapan pasukan bagi menghadapi Piala AFC berbanding musim lalu.

''Tahun lalu, dua pemain import yang hanya didaftarkan Piala AFC tidak begitu cergas kerana jarang beraksi namun tahun ini selepas FAM membuka pendaftaran tiga pemain import dan satu import dari Asia, saya rasa akan banyak membantu kepada pasukan kami.

''Walaupun mungkin salah seorang pemain itu tidak banyak digunakan kerana syarat menetapkan tiga pemain sahaja atas padang, mereka tetap berpeluang beraksi dengan bergantung kepada taktikal jurulatih, " katanya.

Harimau Malaya masih terbaik di Asia Tenggara

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Muhyiddin Yassin melancarkan pameran siri Penjelajahan Trofi Piala Dunia FIFA di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Khairy Jamaluddin (kanan). - MINGGUAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

KUALA LUMPUR - Harimau Malaya masih antara pasukan terbaik di Asia Tenggara kerana merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang masih mempunyai peluang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Menyangkal dakwaan standard bola sepak negara merosot, pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kedudukan Malaysia dalam kempen Piala Asia 2015 adalah lebih baik berbanding Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Katanya, keempat-empat negara itu tidak mempunyai peluang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015 selepas menduduki tangga tercorot dalam kumpulan masing-masing di peringkat kelayakan.

"Pintu ke pusingan akhir belum tertutup kerana kita masih ada peluang dan kita akan berusaha keras untuk menang ke atas Yemen nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran pameran siri penjelajahan trofi Piala Dunia FIFA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Harimau Malaya, yang kini di bawah pegawasan jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan D dengan mengumpul empat mata selepas lima perlawanan.

Malaysia akan mengakhiri pusingan kelayakan dengan menentang Yemen pada 5 Mac depan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, sebanyak 20 buah negara dibahagikan kepada lima kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan akhir di Australia dari 9 hingga 31 Januari 2015.

Selain itu, tiga lagi pasukan terbaik keseluruhan yang menduduki tangga ketiga turut melangkah ke pusingan akhir.

Selain Malaysia, pasukan yang menduduki tangga ketiga dalam setiap kumpulan setakat ini ialah Syria dalam Kumpulan A dengan empat mata, Lebanon (B-5 mata), Iraq (C-6 mata) dan Hong Kong dengan empat mata dalam Kumpulan E.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap pada pusingan akhir Piala Asia 2015 yang berlangsung di lima buah bandar raya di Australia iaitu Sydney, Melbourne, Brisbane, Canberra dan Newcastle.

Undian pusingan akhir Piala Asia 2015 akan diadakan di Sydney pada 26 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Subahan, yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata, jurulatih baharu skuad Harimau Malaya akan dilantik akhir bulan ini selepas kontrak bekas pengendali, Datuk K. Rajagobal berakhir 31 Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, Kim Swee masih perlu memainkan peranan dengan memberi input tentang pemain yang diserap ke skuad Harimau Malaya daripada Harimau Muda A.

Katanya, FAM telah menyenarai pendek lima jurulatih iaitu tiga jurulatih asing dan dua jurulatih tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved