Sabtu, 4 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sasar tingkatkan pelancong Islam

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
badrul.isa@utusan.com.my

Sebahagian daripada pelancong asing dan warga tempatan menyaksikan menerusi skrin besar Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. - Utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meletakkan sasaran untuk meningkatkan kedatangan pelancong Islam ke negara ini, terutama bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Ong Hong Peng berkata, pada tahun lalu, negara mencatatkan kehadiran lima juta pelancong atau 23 peratus beragama Islam daripada keseluruhan 25 juta pelancong asing.

Sehubungan itu, jelasnya, dengan penganjuran TMM 2014 dan pelbagai tarikan serta produk pelancongan berteraskan Islam, jumlah tersebut mampu ditingkatkan sehingga menjangkau 30 peratus.

"Malaysia sememangnya memiliki banyak produk pelancongan Islam seperti bazar Ramadan, keunikan seni bina masjid, tilawah al-Quran dan Rumah Terbuka Aidilfitri yang sekiranya dipromosi sepenuhnya pasti mampu menarik lebih ramai pelancong.

"Malah, pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi percutian paling mesra di dunia bagi penganut Islam oleh perunding percutian Crescentrating dilihat mampu membantu negara untuk mencapai sasaran 30 peratus itu dalam beberapa tahun mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pusat Pelancongan Islam (ITC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Ketua Pengarah ITC, Zulkifly Md. Said.

Mengulas mengenai MoU antara UIAM dan ITC, Hong Peng melihatnya sebagai satu kerjasama strategik bagi meningkatkan potensi pelancongan Islam di negara ini.

"Menerusinya, UIAM dan ITC akan bekerjasama dalam penyelidikan, pertukaran pengetahuan dan kepakaran terutamanya dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.

"Kerjasama sebegini merupakan usaha yang amat dialu-alukan bagi merebut peluang menjana pendapatan negara dalam pelancongan berteraskan Islam kerana nilai pasaran global industri berkenaan bernilai kira-kira AS$130 bilion," katanya.

Kem PLKN ditutup jika abai keselamatan

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid beramah mesra dengan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam Majlis Pelancaran Pergerakan Pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri 11/2014 di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA 4 Jan. - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menutup kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengabaikan keselamatan pelatih hingga mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, langkah seperti itu terpaksa diambil ekoran kegagalan operator tersebut mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan.

"Kita sangat tegas dalam isu keselamatan dan kem yang ada masalah akan ditutup, ini merupakan amaran kepada semua operator untuk mengutamakan keselamatan pelatih.

"Pada masa sama, kita juga tidak mahu isu keselamatan menjadi alasan kepada pihak penjaga dan ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke PLKN," katanya selepas majlis pelancaran pergerakan pelatih PLKN Kumpulan Satu Siri 11/2014 di tempat letak kereta Jalan Permodenan Presint 3 di sini hari ini.

Menurut rekod sepanjang tahun lalu, kata Ehsanuddin, hanya satu kematian pelatih PLKN direkodkan berpunca daripada pergaduhan hingga mengakibatkan kematian seorang pelatih iaitu Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, di Kem Pinggiran Pelangi, Pahang.

Beliau berkata, sepanjang 10 tahun pengendalian program tersebut, kebanyakan kes kematian yang berlaku adalah kematian biasa dan hanya beberapa kes disebabkan pergaduhan.

Katanya, pihaknya juga akan sentiasa melakukan proses penambahbaikan terhadap modul program tersebut, antaranya elemen keselamatan dan penguatkuasaan supaya dilihat dinamik dan tidak statik.

Mengulas tentang peserta yang terlibat dalam kumpulan pertama itu, Ehsanuddin berkata, sebanyak 43,000 peserta daripada 150,000 jumlah keseluruhan Siri 11/2014 akan berlepas ke kem di seluruh negara selama tiga hari bermula hari ini.

Beliau berkata, pergerakan hari ini melibatkan sebanyak 14,706 pelatih dengan menggunakan 365 bas, 20 penerbangan dan sebuah feri.

"Untuk esok, sebanyak 14,879 pelatih akan bergerak menggunakan 366 bas, 19 penerbangan dan dua feri, manakala lusa 13,415 pelatih digerakkan menggunakan 332 bas, tiga penerbangan dan empat feri di seluruh negara," katanya.

Menurut Ehsanuddin, pergerakan semua pelatih tersebut akan dibantu oleh 374 anggota polis dan 545 anggota Rela bagi melancarkan proses tersebut.

Hard Rock Cafe bakal dibuka di Putrajaya

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

PUTRAJAYA 4 Jan. - Pelabur Hard Rock Cafe di Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir akan membuka sebuah lagi cawangan restorannya di negara ini dengan yang terbaharu di sini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka, secara spesifiknya lokasi keempat Hard Rock Cafe itu ialah di Menara Ikhlas, Presint 3 di sini.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangan, Hard Rock Cafe Putrajaya akan dibuka secepat mungkin iaitu antara tempoh tiga hingga empat bulan pada tahun ini.

"Ini akan melibatkan pelaburan yang agak tinggi kerana kita mahu Hard Rock Cafe berkenaan mampu menjadi tarikan baharu orang ramai untuk ke Putrajaya terutamanya para peminat motosikal Harley Davidson," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas bersarapan pagi bersama Syed Yusof di sebuah restoran di sini yang turut disertai oleh para wartawan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved