Sabtu, 4 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Banjir: 1,000 askar berjaga-jaga

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 4 Jan. - Lebih 1,000 anggota tentera dari 4 Briged Mekanize akan dikekalkan di semua lokasi banjir termasuk di kawasan pedalaman bagi menghadapi gelombang kedua banjir sehingga dimaklumkan bencana itu berakhir.

Panglima 4 Briged Mekanize, Brigedier Jeneral Ahmad Tajuddin Abd. Ghani berkata, anggota terbabit akan terus ditempatkan di Kuantan, Rompin, Temerloh dan Jerantut sehingga bencana alam itu berakhir seperti yang diramalkan pada minggu ini.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah penempatan itu bergantung kepada jumlah penduduk dan keadaan semasa di lokasi terbabit.

"Kekuatan anggota tambahan juga sudah bersedia di pangkalan Kem Batu 10 di sini bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir dalam minggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan banjir daripada Komuniti Masyarakat Aceh kepada mangsa banjir Pahang dan Terengganu di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah JKM Pahang, Datuk Shamsiah Husin dan Ketua Staf Tadbir dan Logistik 4 Briged Mekanize, Leftenan Kolonel Jamaluddin Alias.

Menurut beliau, dalam menghadapi gelombang kedua kali ini pihaknya sudah bersedia selain menambah baik logistik dan anggota bagi menghadapi bencana itu.

Katanya, pengagihan bantuan juga lebih menyeluruh selepas penstrukturan semula membabitkan agensi bertanggungjawab mengelolakan mangsa banjir.

Dalam pada itu, Ahmad Tajuddin berkata, sebanyak 17,000 hingga 19,000 mangsa banjir akan menerima bantuan berupa barangan makanan dan kotak kecemasan sumbangan komuniti itu.

Menurutnya, sebanyak 70 peratus bantuan diserahkan kepada mangsa di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan selebihnya ke Kemaman, Kuala Terengganu.

Rebut peluang maju dalam pendidikan

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Ismail Mohamed Said (duduk) bertanyakan sesuatu kepada murid-murid Orang Asli ketika meninjau proses pembelajaran minggu pertama persekolahan di SK Penderas, Kuala Krau, kelmarin.

KUALA KRAU 4 Jan. - Kekangan dari sudut geografi dan kemudahan bukan lagi alasan bagi anak masyarakat Orang Asli tidak berjaya dalam pendidikan setanding dengan kaum lain di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, sebaliknya masyarakat kaum itu perlu merebut peluang yang terhidang menerusi pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan bagi melihat peningkatan akademik pelajar di pedalaman.

Katanya, sebagai contoh dalam Parlimen Kuala Krau sahaja, kemudahan sekolah yang serba lengkap sama seperti di bandar disediakan di kawasan tumpuan penempatan masyarakat itu seperti di Pos Betau, Pos Iskandar dan Perkampungan Orang Asli Penderas.

"Komitmen dan keikhlasan kerajaan memajukan kaum itu dalam sektor pendidikan telah menampakkan kemajuan kerana jumlah anak Orang Asli yang cemerlang dalam pendidikan semakin meningkat.

"Malah ada anak Orang Asli yang berjaya mencapai kejayaan membanggakan setanding dengan kaum lain dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jumlah itu boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Ismail berkata demikian selepas meninjau proses pembelajaran minggu pertama persekolahan di SK Penderas di sini semalam.

Dalam kunjungan tersebut, Ismail meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk program keceriaan sekolah termasuk kantin manakala RM10,000 lagi diperuntukkan untuk aktiviti sekolah dan program kecemerlangan pelajar.

Menurutnya, sebanyak 98 peratus murid SK Penderas terdiri daripada anak Orang Asli tinggal di 10 buah perkampungan masyarakat itu yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak.

Tambah beliau, pencapaian itu meliputi aktiviti sukan dan akademik malah prestasi SK Penderas dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu antara yang terbaik di peringkat daerah dan negeri.

"Di samping itu, sekolah berkenaan muncul pemenang tempat kedua bagi kategori kebersihan kantin sekolah peringkat negeri Pahang tahun lalu," katanya.

Ketengahkan keenakan sajian tradisional ikan air tawar, ulam-ulaman

Posted: 04 Jan 2014 09:25 AM PST

Sebahagian daripada tetamu yang berpeluang menikmati makanan tradisional Lipis sempena promosi makanan Pahang di Hotel D' Valley Inn, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 4 Jan. - Pengusaha hotel dan makanan diminta mempelbagaikan juadah ikan air tawar dan ulam-ulaman yang merupakan makanan tradisi penduduk daerah ini untuk diketengahkan kepada pelancong asing dan tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, peranan itu penting bagi memikat pelancong yang singgah di Lipis ketika dalam perjalanan ke lokasi pelancongan.

Beliau berkata, ia penting kerana masakan tradisional Melayu daerah ini memang diakui mempunyai keunikan tersendiri dan sesuai dijadikan juadah makan tengah hari dan malam di kawasan tumpuan pelancong.

"Peniaga di bandar Lipis sepatutnya merebut peluang daripada kedatangan pelancong ke beberapa lokasi di daerah ini dengan menawarkan juadah makan tengah hari atau malam berasaskan keunikan ikan air tawar dan ulam-ulaman.

"Saya percaya makanan tradisi yang enak ditambah pula harga berpatutan mampu menjadi satu lagi tarikan untuk orang ramai melancong ke daerah ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi makanan Pahang di Hotel D' Valley Inn di sini semalam.

Mustapa berkata, lokasi Bandar Bersejarah Kuala Lipis memang amat strategik untuk memasarkan makanan tempatan kerana menjadi tumpuan dan tempat transit kenderaan antara Lembah Klang dan Kelantan.

Justeru katanya, makanan berasaskan ikan sungai Jelai, iaitu gulai asam tempoyak, ikan salai, pais ikan, asam rom dan kuih-muih berasaskan gula kabung boleh dieksploitasi untuk promosi dan jualan.

"Saya yakin pengunjung memilih makanan tempatan kerana keenakannya mampu membuka selera sesiapa sahaja," ujar beliau.

Tambahnya, sejajar program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, pengusaha hotel dan penyelenggara projek inap desa sepatutnya menggiatkan kempen makanan tradisional Melayu Lipis untuk tarikan pelancong ke daerah ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved