Sabtu, 4 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kos MRSM Sekijang RM100 juta

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada tapak bina seluas 11.4 hektar berharga RM2.4 juta telah dibeli oleh Mara untuk dibangunkan MRSM Sekijang di Bandar Putra, Segamat.

SEGAMAT 3 Jan. - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sekijang yang akan mula dibina tidak lama lagi bakal menjadi MRSM kedua yang menawarkan program Ulul Albab dan Cambridge International Certificate Of Secondary Education (IGCSE) secara serentak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, MRSM Sekijang juga menjadi institusi pendidikan menengah kedua yang berbuat demikian selepas MRSM Kota Putra di Besut, Terengganu manakala MRSM lain hanya menawarkan sama ada program Ulul Albab atau IGCSE sahaja.

"Hasil gabungan dua program ini, para pelajar akan mendapat dua sijil dan kita mahu jadikan MRSM ini sebagai satu daya tarikan kepada masyarakat dan pelancong agar lebih mengenali daerah Segamat.

"Pembinaan MRSM ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan bersama MRSM Pasir Gudang namun tidak dapat dilaksanakan ketika itu," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata, memandangkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah membeli tanah tapak untuk membangunkan MRSM dengan keluasan 11.4 hektar dengan kos RM2.4 juta, maka penduduk mahu projek pembinaannya diteruskan dengan segera.

Menurut beliau, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah berjanji memulakan projek ini pada tahun ini dan projek pembangunan ini sudah dimajukan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan kos sebanyak RM100 juta.

"Sekiranya pembinaan dimulakan pada awal tahun ini dan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun setengah untuk disiapkan dengan pengambilan pertama pada 2017 pada kapasiti 500 pelajar di mana keutamaan diberikan kepada mereka yang cemerlang di daerah ini," katanya lagi.

Perancangan sedemikian katanya, adalah supaya pembangunan modal insan dapat dinikmati oleh masyarakat di daerah ini sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan generasi muda tempatan.

Cuti umum Jumaat pupuk agama, kekeluargaan

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

AHLI jawatankuasa Masjid Jamek Taman Perling menunjukkan risalah Program Ihya Jumaat yang akan diedarkan bagi menjayakan beberapa program keagamaan di Masjid Jamek Tamam Perling, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 3 Jan. - Pertukaran cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu yang bermula tahun ini di Johor merupakan antara kaedah terbaik dalam menerapkan nilai-nilai agama dan memupuk sifat kekeluargaan dalam masyarakat.

Imam Masjid Jamek Taman Perling, Za'aba Ibrahim, berkata, selaku penghulu segala hari, Jumaat sesuai dijadikan sebagai hari ibadah manakala Sabtu sebagai hari untuk keluarga.

"Melalui inisiatif sendiri, kami telah mengaturkan program Ihya' Jumaat yang bertujuan untuk mengimarahkan lagi masjid dan hari Jumaat. Program bermula pada hari Khamis selepas solat Maghrib diikuti dengan bacaan yasin dan tahlil, sebelum diadakan qiamullail dan kuliah duha diteruskan dengan solat Jumaat.

"Selain daripada pengisian berbentuk keagamaan, pihak masjid turut mengadakan bazar pagi Jumaat bertujuan mengajak orang ramai hadir ke kawasan masjid," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 23 November lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya Johor bertukar cuti hujung minggu dari Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu mulai tahun ini.

Sementara itu, salah seorang jemaah, Mohd. Ayub Mohd. Raji, 70, berkata, dia amat menyokong pertukaran cuti yang telah mula dilaksanakan kerana jika sebelum ini, kawasan masjid lengang sahaja tanpa apa-apa aktiviti.

"Kebiasaannya, selain waktu solat Jumaat, kawasan masjid ini sunyi tanpa aktiviti, namun minggu ini berbeza. Selain daripada program qiamullail dan kuliah yang diadakan pada pagi hari, masyarakat sekitar juga dapat mengunjungi tapak bazar yang disediakan," katanya lagi.

Berkongsi pendapat sama, Aida Ali, 46, yang menjelaskan dia lebih mudah menguruskan hal-hal keluarga dan rumah tangga.

"Jika sebelum ini saya sering terkejar-kejar untuk menguruskan hal anak-anak sebelum mereka pergi menunaikan solat Jumaat tetapi tidak hari ini. Saya mempunyai banyak masa dan anak-anak juga berkesempatan untuk makan tengah hari dahulu sebelum pergi ke masjid," ujarnya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved