Sabtu, 25 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


UMNO Perak 'gempur' anak muda

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utuasn.com.my

IPOH 24 Jan. - Pemuda UMNO Perak menegaskan bahawa pergerakan itu bersedia 'menggempur' anak- anak muda di negeri ini bagi memastikan kumpulan tersebut memberi sokongan padu kepada UMNO dan juga Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pergerakan itu akan bekerjasama rapat dengan BN Youth Volunteer (BNYV) yang disifatkan sebagai pasukan berpengaruh dalam merapati golongan itu.

Katanya, berbekalkan pengalaman BNYV Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, beliau yakin mampu meraih sokongan anak-anak muda negeri tersebut menjelang pilihan raya umum akan datang.

"BNYV ini telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di Malaysia. Pasukan ini berjaya membantu kemenangan BN di Perak pada pilihan raya umum lalu dengan pendekatan merapati golongan muda di kawasan kampung, institusi pengajian tinggi dan kawasan pedalaman.

"Pasukan ini juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta banyak membantu termasuklah golongan susah seperti kumpulan gelandangan. Jadi, saya percaya dengan kerjasama dari BNYV serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di negeri ini mampu membentuk satu pasukan seragam dalam usaha kami mendapat sokongan golongan muda," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Koordinator BNYV Perak, Al-Yashir Yahaya.

Mengulas lanjut, Hairul Anwar memberitahu, Pemuda UMNO dan BNYV akan memberi lebih tumpuan kepada golongan lepasan sekolah dan mahasiswa di institusi pengajian tempatan yang bakal menjadi pengundi kali pertama pada pilihan raya umum kelak.

Katanya, berdasarkan kajian awal, pihaknya telah mengenal pasti kumpulan sasar berusia lingkungan 18 ke 28 tahun yang akan mengundi kali pertama nanti.

"Tahun lalu BNYV telah berjaya mendekati 140,500 pengundi muda dan daripada situ kami telah berjaya kenal pasti kumpulan yang bakal menjadi pengundi pertama. Kami akan terus membuat kajian dan melakukan proses pemutihan," jelasnya.

Menurut Hairul Anwar, program yang bakal dianjurkan menerusi BNYV selepas ini banyak memberi fokus kepada golongan muda dan proses mendekati mereka menerusi program kemasyarakatan.

"Setakat ini seramai 8,000 ahli BNYV telah didaftarkan dan kami menyasarkan untuk menerima 50,000 ahli tahun ini dengan pelbagai program yang telah dirangka. Tiada lagi program syok sendiri, kita kena berusaha bermula sekarang," ujar beliau.

Mangsa kebakaran terima rumah PPR

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Mohd. Zolkafly Harun (kanan) menyerahkan cek bantuan kepada Umi Mohd. Taib sambil disaksikan oleh Kamariah Abdul Ghani di Kampung Keledang, Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, semalam. - UTUSAN/HASHIM P.MAMAT

SUNGAI SIPUT 24 Jan. - Pengusaha katering, Kamariah Abdul Ghani yang rumahnya musnah dalam kebakaran kelmarin menerima berita gembira apabila sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM40,000 akan dibina untuknya segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, peruntukan tersebut diterima daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta telah mendapat persetujuan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Dr. Zulkifli Mohamad.

Katanya, keputusan membina sebuah rumah PPR untuk Kamariah dibuat semalam selepas satu perbincangan diadakan dengan Zulkifli bertujuan meringankan beban Kamariah.

"Pegawai Daerah telah mengarahkan supaya pembinaan rumah tersebut disegerakan, memandangkan keluarga terbabit tidak mempunyai tempat berteduh, selain mempunyai keluarga yang ramai.

"Untuk itu saya berharap penduduk kampung dapat menghulurkan bantuan memindahkan sisa kebakaran serta membersihkan tapak rumah itu bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan PPR berkenaan," katanya ketika melawat tapak lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, Kamariah yang berusia 58 tahun bersama ibunya, Umi Mohd. Taib, 78, dan adiknya, Mohd. Tarmizi, 52, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Selain rumah, tiga buah kereta di sebuah bengkel membaiki kenderaan berdekatan rumah tersebut juga musnah terbakar.

Dalam lawatan itu yang turut dihadiri Ketua Penolong Pegawai Daerah, Mohd. Faizal Shah Sofian Suri, Zolkafly menyampaikan bantuan daripada Tabung Bencana Alam Daerah Kuala Kangsar sebanyak RM2,000 dan sumbangan peribadinya berjumlah RM500.

Sementara itu, Umi ketika ditemui memberitahu terharu dengan sumbangan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi pertolongan kepada keluarganya.

1,000 pelajar di 32 sekolah di Tasek Gelugor terima RM100

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Shabudin Yahaya (kiri) menyampaikan bantuan wang tunai RM100 kepada murid-murid yang diiringi oleh ibu bapa mereka sewaktu majlis penyerahan bantuan di SMK Desa Murni, Sungai Dua di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin.

TASEK GELUGOR 24 Jan. - Lebih 1,000 orang pelajar dari 32 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Parlimen Tasek Gelugor menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 setiap seorang bagi sesi persekolahan mulai bulan ini.

Majlis penyerahan wang berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Murni, Sungai Dua di sini.

Shabudin dalam ucapannya berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi pemberian wang itu membabitkan lebih 20,000 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah di Parlimen Tasek Gelugor.

Beliau berkata, pemberian itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan awal sesi persekolahan anak-anak mereka.

"Bantuan yang diberi ini diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar dan tidak digunakan untuk perkara lain.

"Saya menasihatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan wang ini ke arah meningkatkan mutu pelajaran anak masing-masing agar mereka dapat meneruskan pelajaran dalam keadaan selesa," katanya di majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Murni di sini kelmarin.

Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berkata, anak-anak merupakan permata ibu bapa serta merupakan aset penting negara yang akan menjadi pemimpin dan menyumbang kembali kepada kemajuan negara dan keluarga pada masa hadapan.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Yusuff Mohd Noor, ADUN Permatang Berangan, Omar Abd. Hamid, wakil Pegawai Pelajaran Daerah SPU, Adenan Idris dan Pengetua SMK Desa Murni, Suhaimi Saidin.

Sementara itu, seorang murid, Aliya Alysa Md Zaidi, 12, berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan wang berkenaan.

"Bantuan ini dapat meringankan beban bapa saya yang bekerja di sektor swasta dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

"Tambahan lagi untuk keluarga kami yang ramai adik beradik telah membolehkan kami mempunyai kelengkapan pembelajaran yang secukupnya," katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Jaya di sini.

Bagi pelajar tahun enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Lee Chee, Sungai Dua, Ooi Che Hung, 12, berkata, bantuan ini meringankan beban bapanya yang bekerja sebagai buruh kasar dalam menyediakan persekolahan tahun ini.

Murid tahun enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Mayfield, S. Selvaletchumi, 12, berkata, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan wang bantuan ini cukup bermakna bagi pelajar sepertinya yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Saya akan menggunakan wang ini sebaiknya untuk membeli keperluan persekolahan saya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved