Sabtu, 25 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Jangan guna khidmat ulat tiket

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Saiful Azzri Hamzah (kanan) memeriksa lesen memandu pemandu bas ekspres selepas mengadakan dialog bersama pengusaha bas di Terminal One, Seremban, semalam.

SEREMBAN 24 Jan. - Semua pengusaha bas di negeri ini diingatkan supaya tidak memperdayakan penumpang dengan menggunakan khidmat 'ulat' tiket menjelang cuti Tahun Baharu Cina minggu depan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, pengusaha bas yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Saya meminta semua pengusaha bas di negeri ini tidak menggaji ulat tiket kerana mereka yang didapati berbuat demikian akan diambil tindakan. Biar penumpang membuat pilihan sendiri.

"JPJ dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melakukan pemantauan secara berterusan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog bersama 32 pengusaha bas di stesen bas Terminal One di sini semalam.

Saiful berkata, seramai 175 anggota JPJ negeri ini akan terlibat dalam Operasi Tahun Baharu Cina 2014 di semua jalan raya, lebuh raya serta kawasan yang biasa berlaku kemalangan di negeri ini.

Tambahnya, tempoh penguatkuasaan operasi berkenaan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini sehingga 9 Februari depan.

"Tarikh larangan penggunaan kenderaan barangan masing-masing berkuat kuasa 29 dan 30 Januari ini serta 8 dan 9 Februari depan.

"Bagaimanapun, terdapat pengecualian terhadap kenderaan yang membawa bekalan keperluan harian serta kenderaan bagi tujuan kecemasan," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa kenderaan barangan yang enggan mematuhi peraturan berhadapan tindakan disita sehingga perintah larangan tamat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Keengganan pemandu memberi kerjasama akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," tegasnya.

Adat: Kerajaan negeri tidak campur tangan

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

MELAKA 24 Jan. - Kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan institusi dan kepimpinan Adat Perpatih Naning namun, tetap menghormati dan menerimanya sebagai warisan adat Melayu di negeri ini.

Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (gambar) berkata, segala urusan kepimpinan adat itu perlu diuruskan sendiri oleh pengamalnya mengikut tatacara yang telah ditetapkan tanpa melibatkan kerajaan negeri.

Menurutnya, ISMMA telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri untuk memberi penjelasan dan membantu memberi nasihat berkaitan isu adat di negeri ini termasuk kemelut yang dihadapi oleh Institusi Lembaga Adat Naning.

"Kerajaan negeri mengharapkan segala persengketaan dan perbalahan hendaklah diselesaikan sendiri oleh institusi itu secara bermuafakat.

"Institusi dan kepimpinan adat ini hendaklah menghormati pendirian kerajaan negeri dan segala tindakan institusi adat ini mestilah tidak bercanggah dengan perlembagaan dan peraturan pentadbiran negeri Melaka.

"Bagi menjaga dan menghormati warisan adat ini, kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Rumah Penghulu Naning sebagai Muzium Adat Perpatih Naning tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di ISMMA, Bukit Peringgit di sini semalam.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 Januari lalu telah bersetuju agar kerajaan negeri tidak mencampuri urusan, kepimpinan dan melayan sebarang surat daripada institusi itu dan mewartakan Rumah Penghulu Naning sebagai Muzium Adat Perpatih Naning.

Keputusan itu turut disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama), Lembaga Bahasa Melayu Melaka, Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Ketua-ketua Kampung (Sidang) negeri dan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri pada 17 Januari lalu.

Abdul Latiff berkata, kemelut berkaitan empat kepimpinan sebagai Datuk Penghulu Naning antara Abdul Latiff Hashim, Abdul Azis Mulud, Mohd. Salleh Md. Som dan Nordin Jalil perlu diselesaikan segera tanpa campur tangan daripada kerajaan negeri.

Katanya lagi, kerajaan negeri hanya mengiktiraf anugerah dan gelaran yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob selaras Perkara 34 Perlembagaan Negeri Melaka manakala anugerah yang diberikan oleh Datuk Penghulu Naning atau mana-mana pihak lain tidak sah dan diiktiraf kecuali dalam kalangan pengamal adat itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latiff berkata, kerajaan negeri juga tidak akan melayan dan mengiktiraf segala tuntutan yang berkaitan dengan Kesultanan Melaka serta pihak lain seperti Bonda Ratu yang tidak selari dengan Perlembagaan negara serta Enakmen Negeri Melaka.

Tambahnya, kerajaan negeri telah menyerahkan hal tuntutan itu kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

UMNO Bahagian Masjid Tanah lancar KPI hari ini

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

MELAKA 24 Jan. - UMNO Bahagian Masjid Tanah akan mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) membabitkan semua peringkat kepemimpinannya sebagai mekanisme pemantauan serta penilaian dalam usaha memastikan setiap tanggungjawab, amanat dan mandat dapat memenuhi keperluan rakyat di daerah itu.

Ketuanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh (gambar) berkata, pelaksanaan KPI itu sejajar dengan saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin melihat parti itu diterima oleh semua lapisan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

''KPI ini adalah untuk semua ahli jawatankuasa, biro-biro hingga kepada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri melaksanakan pelbagai program untuk merakyatkan UMNO.

''Kita merancang untuk turun padang mendekati rakyat bagi mengetahui masalah mereka dan menyelesaikannya yang sekali gus dapat membantu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Masjid Tanah.

''Kita ingin mendengar suara hati akar umbi yang sebelum ini mereka merasakan disisih dan kali ini KPI yang akan dilancarkan ini menjadi penentu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, program KPI UMNO bahagian itu akan dilancarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sempena Karnival UMNO Masjid Tanah di Pusat Transformasi Luar Bandar, Kuala Linggi esok.

Menurutnya, usaha tersebut bertujuan memastikan setiap program dilaksanakan oleh biro dapat berperanan mendekatkan masyarakat dengan parti itu hingga ke akar umbi.

Jelas beliau, KPI yang akan dilancarkan itu juga bakal menjadi pendorong agar semua kepemimpinan peringkat bahagian hingga cawangan dapat menjalankan amanah khususnya menyelesaikan sebarang masalah rakyat.

''Ini adalah sebagai langkah awal persiapan UMNO Masjid Tanah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di samping menambah keahlian parti dan mendaftar 12,288 pengundi baharu dalam tempoh empat tahun," katanya.

Menurut beliau, Karnival UMNO Bahagian Masjid Tanah yang bermula esok di RTC Kuala Linggi adalah langkah awal merakyatkan UMNO dalam kalangan masyarakat di Parlimen Masjid Tanah.

Pelbagai acara menarik diatur sempena karnival tersebut antaranya ialah pameran oleh Biro Latihan dengan kerjasama Biro Tata Negara, pameran kerjaya Akademi Laut Malaysia (ALAM), permohonan Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN) dan pemeriksaan kesihatan.

Di samping itu, turut diadakan adalah gerai-gerai menjualkan produk usahawan bumiputra, pertandingan karaoke, street soccer, pameran antidadah, pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM), seminar teknologi maklumat dan komunikasi dan sebagainya.

Ab. Rauf berharap seluruh masyarakat di Masjid Tanah dapat datang beramai-ramai ke RTC Kuala Linggi bagi memeriahkan karnival tersebut yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 8.30 malam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved