Sabtu, 25 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Keselamatan diutamakan

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Hasni Mohammad (tiga dari kiri) diberi penerangan oleh pihak JKR Segamat ketika melihat tapak Lebuh Raya Segamat-Tangkak sambil diperhatikan Mohd. Azahar Ibrahim (kanan sekali) dan Ayob Rahmat (kiri sekali ) di Segamat, Johor, kelmarin.

SEGAMAT 24 Jan. - Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah ini akan melakukan kajian terperinci bagi mengenal pasti langkah terbaik mengatasi masalah yang dihadapi beberapa keluarga ekoran rumah mereka terletak berhampiran dengan tapak projek pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan memandang serius aspek keselamatan mereka walaupun kediaman tersebut terletak di luar kawasan rizab jalan di sepanjang projek berkenaan.

"Seperti yang dimaklumkan kepada saya, terdapat beberapa rumah terletak di bahagian yang curam selepas kerja-kerja penambakan tanah semasa pembinaan projek tersebut dijalankan dan faktor keselamatan mereka mesti diambil kira," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja ke daerah ini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri; ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon; ADUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan jurutera daerah, Mohd. Isa Sulaiman.

Selepas meninjau perkembangan projek itu, Hasni mendapati terdapat kelewatan dalam kemajuan dari jadual asal yang melibatkan pakej 1B sejauh 8.5 kilometer dan pakej dua sepanjang 17.5 kilometer yang dijangka mampu disiapkan selewat-lewatnya April depan, sekiranya projek berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, pakej 1A projek berkenaan masih belum dimulakan dan di peringkat perancangan serta penelitian untuk mengenal pasti beberapa alternatif jajaran yang ada dan pengalaman sewaktu membina pakej 1B dan pakej dua yang perlu diambil kira supaya tidak timbul sebarang masalah nanti.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menambah baik permukaan jalan dari Yong Peng ke Gemas yang mengalami kerosakan di beberapa kawasan dan berbahaya kepada pengguna.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan dijadual dilaksanakan pada tahun ini.

Gerai makan, buah mungkin dipindahkan

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Rasman Ithnain (tiga dari kiri) mengatakan sesuatu kepada Abd. Mutalip Abd. Rahim (dua dari kiri) ketika meninjau tanah wakaf perkuburan Islam Mukim Ulu Sungai Sedili Besar ketika mengiringi Abd. Mutalip melawat kawasan Sedili, Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 24 Jan. - Deretan gerai makanan dan buah-buahan di Batu 6 Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini yang terlalu hampir dengan jalan utama mungkin dipindahkan jika cadangan pembinaan 15 unit premis baharu diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, kira-kira 0.4 hektar tanah wakaf di Mukim Ulu Sungai Sedili Besar dikenal pasti untuk tujuan pembinaan gerai berkenaan.

"Lokasi gerai sedia ada amat tidak sesuai kerana terletak terlalu hampir dari bahu jalan. Banyak laporan serta kerap berlaku kemalangan di situ sehingga menimbulkan pelbagai persepsi selain mengganggu kelancaran dan keselamatan pengguna di laluan tersebut.

"Dengan cadangan pembinaan gerai baharu yang akan dilengkapi dengan kemudahan asas air dan elektrik akan menjadikan kawasan tersebut lebih selamat dan selesa," katanya ketika ditemui selepas menyertai lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan agensi kerajaan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Sedili dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman.

Rasman berkata, selain keselesaan kepada orang ramai, kewujudan gerai baharu yang tersusun itu dijangka mampu menarik lebih ramai pengunjung datang ke daerah ini.

"Jika dibangunkan dengan baik, kawasan ini akan menjadi lebih cantik yang mampu menarik pengunjung seperti pusat seramik di Air Hitam,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved