Sabtu, 25 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


30 kawasan 'panas' dikenal pasti

Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusanpahang@utusan.com.my

Sharifuddin

TEMERLOH 25 Jan. - Polis mengenal pasti sebanyak 30 kawasan 'panas' di negeri ini yang sering berlaku kemalangan untuk diberi tumpuan dalam pelaksanaan Op Selamat 4/2014 sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, daripada jumlah berkenaan Lebuh Raya Pantai Timur merekodkan jumlah kawasan 'panas' tertinggi iaitu sebanyak tujuh lokasi.

"Selain itu Kuantan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut masing-masing mempunyai tiga lokasi panas manakala masing-masing dua di Pekan, Bentong serta Bera dan satu masing-masing di Lipis dan Raub.

"Kita akan meningkatkan lagi kehadiran dan pemantauan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kadar kemalangan," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 4, 2014 sempena Tahun Baharu Cina di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Temerloh di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan negeri, Zakaria Man; Ketua Cawangan Khas Pahang, Datuk Riduan Hashim; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad dan ketua-ketua polis daerah.

Menurutnya, bagi memastikan keberkesanan Op Selamat bermula hari ini hingga 7 Februari depan, pihak polis akan turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan pasukan tentera.

"Dalam Op kali ini kita akan memberi fokus kepada enam kesalahan utama yang dikenal pasti iaitu kemalangan jalan raya, had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Op Selamat pada kali ini diperluaskan kepada usaha pencegahan dan mengurangkan kadar jenayah.

Katanya, untuk tujuan itu pihak polis berharap orang ramai termasuk penduduk setempat turut memberi kerjasama kepada polis bagi mencegah dan menangani kes-kes jenayah.

PPKB bantu basmi kemiskinan penduduk di bandar

Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST

KUALA LIPIS 25 Jan. - Kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program kebajikan dan sosial di bandar bagi membantu segelintir penduduk miskin di kawasan tersebut mendapat pembelaan sewajarnya.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) merupakan salah satu kaedah pelaksanaan kerajaan sejak beberapa tahun lalu dengan peruntukan membina kediaman dan bantuan bulanan menyewa rumah kepada golongan terbabit.

Menurutnya, PPKB merupakan satu program bantuan sosial di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara termasuk Majlis Daerah Lipis (MDL).

"Bantuan PPKB disalurkan kepada pemohon yang layak di daerah ini dengan objektif pelaksanaannya adalah menghapuskan golongan miskin tegar menjelang 2020 menerusi kemudahan pembinaan rumah, sewa kediaman dan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika kunci rumah baharu kepada empat ketua keluarga miskin di bandar ini semalam.

Penduduk berkenaan menerima kediaman baharu bernilai RM40,000 di Jalan Kelab Pahang di sini yang dibina oleh MDL dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur, tandas dan bilik air.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDL, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani; wakil Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Badariah Idris; Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini dan Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan.

Menurut Abdul Rahman, bantuan tersebut antara usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan penduduk bandar menerusi peruntukan projek kediaman sederhana, sewa rumah dan perniagaan.

"Kita yakin menerusi program berkenaan golongan kurang berkemampuan bebas daripada kemelut kesusahan demi memastikan kejayaan negara menerusi transformasi yang seimbang dan inklusif sejajar dengan pelan sebuah negara moden pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan negeri melaksanakan kaedah itu merupakan satu pendekatan relevan untuk membantu golongan terbabit merealisasikan impian memiliki kediaman selesa seiring dengan transformasi sosial serta pelengkap bagi proses perbandaran.

"Dana PPKB disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan pada setiap tahun oleh kerajaan Pusat untuk kebajikan penduduk yang diklasifikasikan miskin di bandar dan boleh menikmati faedah menerusi bantuan berkenaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved