Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Troussier sah latih Harimau Malaya?

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Philippe Troussier

KUALA LUMPUR - Philippe Troussier dikatakan sudah sah akan mengisi kekosongan untuk jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya meskipun pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selewat-lewatnya pada bulan depan.

Semalam, sumber mendedahkan bekas pengendali pasukan Jepun itu telah sah menjadi jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tamat kontrak pada Disember lalu.

Malah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin walaupun tidak mengesahkan berita itu tetapi beliau juga tidak menafikannya.

"Sabar, tunggu keputusan rasmi," katanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas, apabila diajukan perkara itu semalam.

Desas-desus menyebut jurulatih dari Perancis itu bukan sahaja akan membimbing Harimau Malaya tetapi turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal.

Nama Troussier mula dikaitkan dengan jawatan itu sejak November lalu, dan semakin hangat apabila beberapa pegawai atasan FAM bertemu dengan agennya di London baru-baru ini.

Sebelum ini FAM mengakui hanya keadaan kewangan semasa persatuan itu yang menghalang hasratnya untuk menggunakan khidmat jurulatih berusia 58 tahun itu.

Troussier sebelum ini dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 iaitu angka yang dianggap cukup besar selain setimpal dengan pencapaian yang telah diraih.

Troussier sebelum ini banyak menghabiskan masanya di Afrika, memajukan pasukan kebangsaan Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso sehingga digelar White Witch Doctor. Beliau turut membimbing Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 setelah dua tahun sebelumnya me latih mereka untuk menjuarai Piala Asia 2000.

Troussier dicalonkan untuk jawatan jurulatih oleh FAM bersama-sama rakan senegara, Marcel Desailly, Alex Miller dari Scotland, Bobby Houghton dari England dan bekas jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang kini sudah diikat oleh PDRM FC.

Chong Wei mara Daren, Wei Feng terkandas

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Lee Chong Wei membalas pukulan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dalam perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia di Bukit Jalil malam tadi. Chong Wei menang 21-7, 21-13 dalam tempoh 34 minit . - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR - Hanya Datuk Lee Chong Wei sahaja yang akan meneruskan cabaran negara dalam persaingan perseorangan kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Bukit Jalil selepas dua lagi wakil, Liew Daren dan Chong Wei Feng terkandas di pusingan pertama semalam.

Chong Wei, yang merupakan pemain pilihan pertama, tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-7, 21-13 dalam tempoh 34 minit. Menunggunya di pusingan kedua hari ini ialah pemain China, Wang Zhengming.

Bagaimanapun, Chong Wei mengakui bahawa dia tidak memberikan persembahan terbaiknya semalam, namun masih mampu untuk menang kerana lawannya juga kurang memberikan saingan sengit dan kurang pengalaman.

"Bertemu Zhengming esok (hari ini) mungkin sedikit sukar, tetapi saya harap mampu memberikan permainan terbaik bagi perlawanan kedua saya untuk kejohanan ini," katanya selepas perlawanan.

Ditanya mengenai rakan-rakan lain yang sudah terkandas, Chong Wei berkata, dia akan cuba untuk menutup keputusan buruk itu dengan memberikan permainan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

"Saya tahu penonton akan datang menyaksikan kami bermain dan saya akan lebih bersemangat, bagi saya selepas ini kami perlu memikirkan tentang kejohanan akan datang terutama sekali All England tetapi untuk Terbuka Malaysia saya cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Daren tewas straight set kepada Du Pengyu dari China, 14-21, 13-21 dan mengakui bahawa dia masih lagi berasa sedikit gementar di dalam gelanggang kerana baru pulih daripada kecederaan buku lali dan hamstring.

"Saya juga melakukan banyak kesilapan dan masih lagi berasa takut kerana baru pulih daripada kecederaan, jadi saya bermain dengan lebih berhati-hati. Saya tidak tahu bila perasaan ini boleh hilang tetapi saya harap secepat mungkin," katanya.

Ditanya adakah dia tertekan dengan harapan dan teguran yang diberikan peminat badminton serta jurulatih perseorangan, Daren berkata, tekanan itu sangat berguna dan dia akan cuba sebaik mungkin untuk berada sebaris dengan Chong Wei.

Daren yang kini menduduki ranking ke-29 dunia meletakkan sasaran untuk berada dalam kalangan 20 pemain terbaik dan meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan tahun ini.

Seorang lagi perseorangan negara, Wei Feng pula kalah kepada Sho Sasaki dari Jepun 13-21, 19-21, dalam tempoh 43 minit.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved