Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Seni patung warisan Jahut

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Beberapa orang pengunjung bersama penduduk etnik Jahut ketika singgah melihat hasil jualan penduduk Kampung Sungai Koi di Damak, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 15 Jan. - Bermula daripada perspektif perubatan tradisional dan ritual dalam kalangan komuniti Orang Asli suku Jahut di Jerantut, kini ukiran patung beralih sebagai bahan komersial, sesuai dengan tuntutan masa.

Jika suatu ketika dulu, patung digunakan untuk tujuan perubatan dan pemujaan bomoh hinggakan ukiran patung Jahut itu amat ditakuti apabila diasimilasikan dengan kepercayaan jin, hantu dan makhluk ghaib.

Kini, hasil kraf tangan suku Jahut itu sudah menghiasi galeri di Muzium Negara, hotel dan kedai menjual cenderamata di pusat pelancongan. Patung tradisi kaum itu dikagumi, malah menyedap lagi mata memandang kerana kehalusan seni ukiran pelbagai bentuk dan rupa.

Di Kampung Orang Asli Sungai Koi di sini, penduduk masih lagi menghidupkan warisan turun-temurun berkenaan dengan hasil jualan ukiran patung kepada pelancong yang singgah di Taman Negara Kuala Tahan.

Orang Asli Jahut atau disebut 'Jah Hut' merupakan salah satu suku kaum Orang Asli dari kumpulan Senoi.

Menurut tulisan penyelidik Carey (1976), Jah bermaksud 'orang', manakala Hut bermaksud 'hutan', lantaran itu, gabungan keduanya membawa maksud 'orang hutan'.

Namun, banyak konotasi lain berasaskan kajian etnologi kaum berkenaan, antaranya menurut mereka, Jah bermaksud 'orang', manakala Hut bermaksud 'tidak'.

Begitu juga versi lain, bagi perkataan 'hut' sinonim ketika menyahut panggilan atau meminta bantuan.

Penduduk Sungai Koi, Fauzi Majid, 54, berkata, ukiran patung itu merupakan kegiatan sampingan untuk menampung pendapatan penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh dan mencari sumber hutan berdekatan.

"Pada waktu pagi, kami menoreh getah, masuk hutan dan bekerja di ladang, tetapi sebelah petang kami mengukir patung secara serius untuk dijual kepada pelancong," katanya di Kampung Sungai Koi, Damak baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 31 penduduk Jahut Sungai Koi, namun cuma beberapa orang sahaja yang masih bertahan dengan kesenian itu dan mahir mengukir patung untuk tujuan komersial.

Katanya, patung diukir dengan menggunakan kayu lembut dan berkualiti yang diperoleh dari hutan tebal.

Seterusnya, Fauzi berkata, kerja mengukir sebuah patung memakan masa hampir seminggu dengan mengunakan pelbagai jenis pisau dan pahat kecil.

"Kehalusan dan keunikan patung terletak pada ukiran yang dilakukan dengan cukup teliti dan cermat, malah kemahiran pengukir boleh melahirkan pelbagai rupa dan wajah," katanya.

Katanya, jika zaman dahulu, patung dikaitkan dengan proses perubatan tradisional, maka ukiran kayu itu dicorak berbentuk jin, hantu dan makhluk ghaib berasaskan imaginasi pengukir berkenaan.

Dia berkata, imaginasi hantu dan jin diaplikasikan menerusi ukiran wajah, tangan panjang, telinga lebar, kepala bersegi dan pelbagai rupa yang menakutkan orang melihatnya.

"Sesuai dengan adaptasi watak dan rupa jin, hantu dan makhluk ghaib, ukiran patung itu dizahirkan dengan pelbagai nama, antaranya dikenali 'Hantu Hing', 'Kemokjah', 'Kemusu' dan beberapa panggilan lain," katanya.

Katanya, usaha mengukir patung juga mendapat sokongan kerajaan dan pengusaha hotel di bandar ini, bertujuan membantu meningkatkan imej kampung itu dalam sektor pelancongan di daerah Jerantut.

"Kini, menerusi industri desa, projek kraf tangan ukiran patung dan anyaman tikar membolehkan penduduk memperoleh pendapatan sampingan untuk menampung sara hidup dan belanja persekolahan anak," ujarnya.

Komitmen berkenaan katanya, membantu meningkatkan imej Kampung Sungai Koi, sekali gus membuka rangkaian perniagaan dengan pengusaha di Lembah Klang.

"Harga sebuah patung yang dijual, antara RM200 hingga RM1,000 bergantung kepada kualiti ukiran, kehalusan seni, saiz dan bentuk kraf tangan berkenaan," ujarnya.

Seorang penduduk Lembah Kiol, Taib Pandak, 60, berkata, kegiatan mengukir sering mendapat perhatian pelawat luar dan mahasiswa universiti tempatan untuk melihat sendiri pelbagai ciri kesenian bagi tujuan dokumentasi.

"Kita akan mengukir selagi benda (patung) ini laku dijual dan orang suka tengok dan buat hiasan," katanya.

Namun, Taib melahirkan rasa bimbang kerana kemahiran mengukir tidak lagi diminati oleh generasi hari ini yang lebih gemar menunggang motosikal, berbual dan berhibur dengan telefon dan bersiar-siar di bandar Jerantut.

"Jika anak-anak muda tidak belajar mengukir, warisan nenek moyang kami (Jahut) akan pupus ditelan masa," katanya.

Beliau menambah, patung tidak lagi menjadi bahan pemujaan, menghalau jin atau hantu dan mengubati penyakit kerana nilai pengetahuan moden sudah mendominasi masyarakat Orang Asli di pedalaman, hasil kejayaan bidang pendidikan yang dilakarkan oleh pemimpin negara ini.

Kehalusan seni ukir Jahut jadi produk pelancongan

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

KUALA LIPIS 15 Jan. - Masyarakat Orang Asli merupakan kumpulan minoriti yang terdiri daripada pelbagai suku yang hidup di kawasan terpencil dan pedalaman di negara ini.

Sesuai dengan kehidupan terpencil di pedalaman, Orang Asli menjadikan hutan rimba sebagai tempat untuk mencari rezeki bagi menyara hidup mereka sejak zaman-berzaman.

Malah, sesetengah kalangan etnik Orang Asli mempunyai penempatan tetap yang disediakan kerajaan dan kaya dengan khazanah kesenian warisan moyang mereka yang boleh dikomersialkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, justeru itu, etnik suku Jahut di daerah ini perlu merebut peluang mengkomersialkan ukiran patung kepada pengunjung yang singgah di bandar Jerantut.

"Kerajaan negeri memberi peluang dengan menyediakan kemudahan ini kepada pengukir Jahut di Sungai Kiol, Sungai Koi dan Sungai Mai untuk melestarikan produk ukiran, sekali gus merancakkan sektor pelancong di daerah ini," katanya.

Menurut Lau Lee, pengusaha pelancongan di bandar ini dan Lembah Klang sewajarnya memasukkan pakej lawatan ke perkampungan Orang Asli Jahut untuk melihat kesenian itu berkembang dan penduduk di situ boleh menambah pendapatan masing-masing.

Tok Batin Orang Asli Betau, Ahmad Selalu, 48, berkata, kesenian Orang Asli sudah mendapat tempat di hati pengunjung domestik dan pelancong Barat, malah banyak kajian etnologi bahasa dan antropologi tentang sosiobudaya kaum berkenaan didokumentasikan pihak tertentu.

"Sudah tentu peranan semua pihak dapat membantu Orang Asli memasarkan kesenian dan cara hidup mereka sebagai produk pelancongan," kata Ahmad ketika ditemui di Pos Betau baru-baru ini.

Tambahnya, komitmen Orang Asli dalam bidang kesenian, bahasa dan sosiobudaya juga memacu sektor pelancongan menerusi pengisian program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Op Vulture banteras ah long

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusanpahang@utusan.com.my

Abdul Aziz Salleh (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada poster ah long yang ditanggalkan dalam operasi di sekitar Taman Temerloh Jaya, Temerloh, semalam.

TEMERLOH 15 Jan. - Polis akan terus menggiatkan operasi Op Vulture bagi membanteras aktiviti ah long di daerah ini sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun melibatkan kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).

"Melalui operasi ini kita akan melakukan operasi, rondaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan ah long di daerah ini termasuklah membanteras kegiatan menampal poster iklan pinjaman wang ah long.

"Jadi kita menasihatkan semua pihak supaya tidak terlibat dalam kegiatan ah long termasuklah menampal iklan ah long yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya selepas operasi membanteras dan menurunkan poster ah long di sekitar bandar Temerloh hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Asisten Supritendan Willims Fernandez dan Pegawai Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Jofri Tajuddin.

Sebanyak 10 pegawai dan 15 anggota polis serta 11 penguat kuasa MPT terlibat dalam operasi selama dua hari bagi menanggalkan poster di sekitar bandar Temerloh dan Mentakab bermula hari ini.

Menurut Abdul Aziz, mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ah long boleh diambil tindakan mengikut Seksyen (5) (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Selain itu, katanya, tindakan juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 29A (A) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai tindakan susulan setiap nombor yang dipaparkan pada iklan yang ditanggal akan dihantar ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk sekatan.

Ujarnya, dari semasa ke semasa pihaknya akan turut memantau kawasan terbabit serta mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana individu yang cuba menampal iklan ah long.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved