Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Berganding kaji bandar lestari Malaysia

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

Oleh BANIAMIAN ABU BAKAR dan MOHD. KHAIRUL MOHD.
utusanjohor@utusan.com.my

Wahid Omar (dua dari kiri) menunjukkan laman sesawang kerjasama antara UTM dan MIT dalam sidang akhbar di UTM, Skudai, Johor, kelmarin.

JOHOR BAHRU 14 Jan. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat telah bersetuju untuk bekerjasama dalam melakukan kajian dan penyelidikan pembangunan bandar lestari di negara ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar berkata, kerjasama selama lima tahun itu bertujuan untuk merangka sebuah pelan dan kertas kerja bagi digunakan sebagai modul pembelajaran di universiti di seluruh dunia berdasarkan dapatan kajian dari empat bandar negara ini.

"Malaysia sangat komited terhadap usaha pembangunan lestari jadi kerjasama antara dua institusi ini bakal memberi impak besar terhadap usaha tersebut. Empat bandar yang akan dijadikan model ialah Johor Bahru, Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Georgetown.

"Antara aspek yang akan dinilai termasuk pembinaan bangunan hijau, alam sekitar, manfaat sosial dan ekonomi, pengurusan bandar serta keterlibatan masyarakat umum," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Canselori UTM di sini semalam.

Sebagai permulaan kajian, sebuah kumpulan terdiri daripada penyelidik pascasiswazah dan kakitangan MIT bersama-sama dengan bimbingan fakulti di UTM akan menjalankan praktikum berdasarkan bidang masing-masing.

Praktikum tersebut membolehkan usaha dokumentasi dilakukan ke atas data dan maklumat yang dikumpul serta aspek kelestarian sedia ada dan strategi berkaitan pembangunan sebuah bandar lestari.

Sementara itu, Profesor MIT, Profesor Lawrence E. Susskind menjelaskan adalah tidak mustahil bagi sebuah bandar untuk membangun dengan mengambil kira aspek-aspek seperti sejarah, alam sekitar dan sosiobudaya masyarakat.

Menurutnya, bandar lestari adalah sebuah bandar yang direka dengan baik bukan sahaja dari sudut infrastruktur tetapi merangkumi semua aspek kehidupan.

"Melalui kajian ini, kami berharap cita-cita untuk mengubah bandar sedia ada, mengambil contoh Johor Bahru menjadi bandar masa akan datang tercapai," ujarnya.

UniKL MITEC yakin dengan ijazah FaME

Posted: 14 Jan 2014 11:16 AM PST

empat orang penuntut menggunakan peralatan canggih yang disediakan bagi program FaME di UniKL MITEC, Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 14 Jan. - Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) yakin program Ijazah Kejuruteraan Penyelenggaraan Fasiliti (FaME) yang baru diperkenalkan September lalu mampu melahirkan lebih ramai jurutera dalam bidang penyelenggaraan fasiliti di negara ini.

Ketua Seksyen FaME, Mohd. Zul Waqar Mohd. Tohid berkata, buat permulaan seramai 22 mahasiswa termasuk tujuh penuntut wanita, kesemuanya merupakan lulusan diploma pelbagai jurusan kejuruteraan menjadi kumpulan pertama mengikuti program ijazah selama empat tahun itu.

"Penawaran kursus ini adalah selari dengan kehendak pasaran semasa yang memerlukan tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam bidang-bidang kritikal terutamanya yang melibatkan penyelenggaraan fasiliti.

"Justeru, program ini lebih memberi penekanan utama kepada dua elemen penting iaitu kejuruteraan penyelenggaraan dan pengurusan fasiliti," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zul Waqar, 60 peratus pengajian melibatkan latihan amali dan praktikal di makmal dan bengkel manakala 40 peratus berasaskan teori di dalam dewan kuliah.

Katanya, peralatan dan fasiliti yang disediakan di makmal dan bengkel pula adalah berkualiti tinggi seiring dengan teknologi yang biasa digunakan oleh pihak industri.

"Antara fasiliti-fasiliti yang digunakan adalah Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS), sistem pemanasan, ventilasi dan pendinginan (HVAC), sistem dandang (boiler), sistem hidraulik dan pneumatik, sistem pemampat, proses kimpalan serta sistem elektrikal bangunan.

"Para penuntut didedahkan dengan konsep penyelenggaraan dan bagaimana hendak memastikan peralatan penting yang digunakan oleh industri sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat beroperasi pada kecekapan yang optimum serta mempunyai jangka hayat yang panjang," katanya.

Mohd. Zul Waqar berkata, graduan lulusan tersebut boleh mengisi banyak peluang pekerjaan termasuklah dalam industri minyak dan gas; elektrik dan elektronik; petrokimia, loji kuasa serta penyelenggaraan bangunan kerajaan dan swasta.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved