Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Ella sertai pertandingan ratu

Posted: 14 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SYEFRI MONIZ

Massuhaella atau Ella gemar menyertai pertandingan ratu cantik.

MENDENGAR Massuhaella Mohd. Idris bertutur dalam bahasa Mandarin dengan rakan di sebelah, mendorong saya berpaling ke arahnya.

Dalam hati berdetik, gadis ini Melayu atau Cina kerana sekali imbas wajahnya nampak macam Melayu tetapi jika diamat-amati ada iras-iras Cina.

Sememangnya, kadang-kala sukar hendak menelah keturunan seseorang dalam kepelbagaian penduduk di negara ini. Terdapat orang Melayu yang fasih berbahasa Mandarin dan ramai juga orang Cina yang apabila bercakap Melayu tidak kedengaran pelat langsung.

Bagi mendapatkan kepastian saya langsung bertanya: "Awak Melayu ke Cina?"

Dia menjawab: "Saya Melayu kak. Saya bersekolah Cina sebab itu fasih berbahasa Mandarin."

Dari situ perbualan berlanjutan sambil sesekali terhenti kerana Massuhaela atau Ella perlu bergaya di depan kamera untuk sesi fotografi bersama seorang rakan sekerja.

Temu janji kemudian dibuat untuk bertemu Ella lagi dan waktu itu digunakan untuk berbual lebih lanjut dengan anak bongsu daripada 10 beradik ini.

Berumur 25 tahun, Ella berkata, dia memang suka memasuki pertandingan ratu cantik kerana ingin membina keyakinan diri, menghilangkan gugup ketika berada di pentas dan memperbaiki cara berkomunikasi dengan orang lain.

"Bercakap berhadapan dengan orang dan bercakap di depan hadirin ketika berada di atas pentas amat berbeza.

"Apabila berada di atas pentas, ramai yang memandang ke arah kita. Waktu itu kalau kita gugup, kita tidak akan dapat bercakap apatah lagi apabila ada yang bertanya soalan.

"Justeru, bagi saya semua orang harus mempunyai keyakinan diri yang kuat, pasti tiada masalah yang akan timbul," ujar Ella yang berkulit kuning langsat.

Menurut Ella, semua penglibatannya dalam pertandingan ratu cantik ada alasan tersendiri iaitu untuk memperbaiki kekurangan diri.

Sementelah dia juga mendapat galakan dan dorongan daripada kawan-kawan yang melihat dia mempunyai pakej yang lengkap, iaitu bentuk badan yang tinggi lampai, raut wajah yang sedap mata memandang dan bijak.

Setakat ini Ella telah pun menyertai Pertandingan Miss Malaysia Kebaya 2013 dan terpilih sebagai pemenang kedua. Dia juga terpilih sebagai finalis Miss Borneo Kebaya 2013, pemenang Miss Sari Malaysia 2013, Ratu Dataran Underground 2013 – 2014 dan lima orang bakat terbaik Piala Seri Mefa 2013.

Jelasnya, kesemua pertandingan tersebut diadakan dalam tempoh dua bulan, iaitu pada November dan Disember lalu.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari Management & Science University (MSU), Shah Alam dan Ijazah Sarjana Komunikasi, Universiti Tunku Abdul Rahman, Petaling Jaya ini menambah, penglibatannya dalam kesemua pertandingan tersebut mendapat galakan penganjur, Jason Hee, dari Smart Network Marketing.

Ella yang juga terpilih sebagai duta Miss Chipao (Cheongsam) 2014, turut mempelawa gadis-gadis lain berminat menyertai pertandingan yang akan diadakan pada 13 Februari nanti.

"Pertandingan Miss Chipao bukan sahaja terbuka kepada kaum Cina tetapi juga kepada gadis Melayu, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain," katanya.

Mengenang kali pertama menyertai pertandingan ratu cantik, Ella berkata, pada mulanya memang dia terasa amat gugup namun perasaan tersebut cuba dilawan dan dia berjaya mengatasinya.

"Pun demikian, kegugupan tetap tidak dapat dihindari walaupun telah beberapa kali penyertaan.

"Cuma pada setiap kali penyertaan, terdapat perubahan. Apa yang menggembirakan ialah tahap keyakinan saya kini bertambah baik," katanya.

Ella menambah, satu kebaikan yang dapat dilihat ialah orang mula mengenalinya dan peluang semakin terbuka luas sebagai seorang model iklan, model fesyen, model korporat dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, ujar Ella, dia tidak mahu terlalu terbuai dengan keseronokan dan dunia glamor yang diimpikan oleh ramai gadis pada masa kini.

"Cita-cita sebenar saya ialah untuk menghabiskan pengajian peringkat sarjana dan kemudian bekerja dalam sektor awam.

"Dalam masa yang sama saya ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang sains sosial dan politik di Jerman. Saya memilih Jerman kerana pengajian sains sosial dan politik di negara tersebut adalah antara yang terbaik," kata Ella.

Ella menambah, bidang sains sosial dan politik adalah berkaitan dengan isu semasa dan berkait rapat dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Untuk itu, dia berharap dapat memberikan sumbangan kepada negara setelah tamat pengajian nanti.

Kata Ella, walaupun jika ditawarkan peluang yang lumayan dalam bidang peragaan, fokus utamanya adalah dalam bidang pelajaran.

Karya fesyen pelajar

Posted: 14 Jan 2014 08:56 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAKARIA IDRIS

Hidayah Nordn (kanan) memilih konsep korporat dengan gaya kasual.

LIMA orang bekas pelajar Diploma Reka Bentuk Fesyen dan Pakaian dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini telah hadir ke Studio Utusan bagi memperlihatkan rekaan masing-masing dengan tema tersendiri.

Mereka ialah Hidayah Nordin, Mohd Hatim Abdul Halim, Nurul Aqilah Mohd. Sairan, Muhaini Muhammad Zaki dan Nor Shuhairina Mohd. Shafie dengan ditemani oleh dua orang pensyarah mereka, iaitu Dzaizatul Syima Abdul Razak dan Siti Nurain Abd. Rahim.

Hidayah, 21, telah menghasilkan rekaan korporat dan dalam masa yang sama mempunyai elemen kasual. Berkolaborasi dengan Butik Minaz, sebuah butik atas talian, Hidayah menghasilkan satu kelainan dalam rekaannya, iaitu seluar, baju, jaket dan vest.

Menggunakan fabrik jenis lycra dan kain kapas bercorak dan berwarna pastel, perincian dapat dilihat pada poket tampal (patch design).

Mohd. Hatim dengan rekaan diinspirasikan daripada gadis litar atau gadis payung yang dapat dilihat di litar-litar lumba kereta dan motosikal berkuasa besar.

Kata Hatim, koleksi berupa skirt dan jaket merah biru ini turut diilhamkan daripada kereta Bentley.

Logo Bentley banyak digunakan bagi rekaan yang menggunakan sutera mercury untuk pakaian yang nampak mewah dan mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.

Rekaan sebegini menurut Hatim, boleh dipakai untuk majlis pelancaran kereta.

Sementara itu, Nurul Aqilah pula memilih rekaan berunsurkan kasual kemas. Baju yang dibuat untuk dipakai ke pelbagai majlis ini berbeza kerana bahagian dalam dan luar baju boleh digayakan.

Berkolaborasi dengan Timberland, Nurul Aqilah mendapat inspirasi daripada gitar. Justeru bajunya dibuat mengikut bentuk sebuah gitar. Boleh dipakai dalam cuaca dingin, beliau menggunakan bahan kulit dan suede.

Muhaini memilih dres koktel hingga paras lutut. Bertema Kesuburan, inspirasi diperoleh daripada cendawan. Gaun berbentuk cendawan ini diberikan perincian garisan seperti yang terdapat pada cendawan.

Menggunakan fabrik duchess dan net, warna kelabu dan krim menepati warna cendawan. Bahagian bawah skirt menggunakan fabrik net yang keras supaya skirt boleh kembang sementara bahagian atas adalah duchess dan satu lagi lapisan net di atas duchess.

Nor Shuhairina pula memperoleh inspirasi daripada pakaian peramugari AirAsia dengan skirt paras lutut yang dipakai bersama baju ala jaket.

Memilih warna merah dan putih, konsep tentera turut diberikan pada rekaan ini seperti menjahit epoulette atas bahu.

Mengambil masa seminggu untuk disiapkan, rekaan ini menggunakan fabrik kulit dan suede.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved