Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Tutor Utusan Malaysia jadi pilihan

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada murid-murid gembira menunjukkan Tutor terbitan Utusan Malaysia sebagai bahan latih tubi di SK Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, Melaka, semalam.

MELAKA 15 Jan. - Akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor terus mendapat sambutan daripada pihak sekolah di negeri ini untuk dijadikan sebagai bahan sokongan pembelajaran, sekali gus meningkatkan prestasi pelajaran.

Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru di sini memperoleh keputusan memberangsangkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu membuatkan akhbar itu terus digunakan sebagai bahan sokongan dalam bilik darjah.

Guru Besar sekolah itu, Datin Norishah Harun berkata, pihaknya telah menggunakan akhbar yang mengandungi soalan-soalan pelbagai subjek itu sejak tahun lalu.

"Kami telah mula menggunakan Tutor sebagai bahan sokongan pelajaran sebelum UPSR tahun lalu lagi, dan alhamdulillah, daripada situ kami dapat melihat terdapat peningkatan yang memberangsangkan terhadap keputusan peperiksaan.

"Kami menjadikan Tutor sebagai bahan tambahan kepada murid darjah enam terutamanya untuk membuat latih tubi.

"Saya suka menggunakan akhbar sebagai bahan sokongan pelajaran kerana ia mempunyai pelbagai input, mudah difahami malah, murid juga menjadi lebih seronok belajar kerana ia berwarna-warni," katanya.

Norishah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Tutor Utusan Malaysia di sekolah itu hari ini.

Menurut Norishah, sebanyak 300 naskhah akhbar Utusan Malaysia yang memuatkan sisipan Tutor diedarkan kepada murid tahun enam dan pusat sumber sekolah itu.

Utusan Malaysia menerbitkan Tutor SPM pada setiap hari Isnin, Tutor English (Selasa), Tutor Junior (Rabu) dan Tutor Genius untuk sekolah menengah pada setiap Khamis.

Untuk melanggan dan sebarang pertanyaan, hubungi Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd., negeri, di talian 06-2824660.

9,487 pelajar dapat tempat di MRSM mulai Februari

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Annuar Musa (kanan) menyerahkan borang kemasukan ke MRSM kepada Muhammad Syakir Sanusi sambil diperhatikan oleh bapanya, Sanusi Junoh, 50, di Kampung Lubuk Besar, Kok Lanas, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 15 Jan. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan seramai 600 pelajar baharu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang akan mendaftar masuk mulai Februari ini akan mendapat tajaan penuh sehingga tingkatan lima.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga kini pihaknya menerima hampir 1,000 permohonan dan masih dalam penelitian bagi memilih pelajar yang layak untuk ditaja sepenuhnya oleh Mara.

"Melalui program bantuan khas Mara itu, para pelajar terpilih akan menerima pelbagai manfaat termasuk kelengkapan sekolah serta wang saku untuk perbelanjaan harian," katanya selepas menyerahkan borang kemasukan MRSM kepada pelajar, Muhammad Syakir Sanusi, 13, di Kampung Lubuk Besar, Kok Lanas di sini semalam.

Muhammad Syakir yang menerima tajaan penuh Mara akan ditempatkan di MRSM Pasir Tumboh di sini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, bantuan khas itu adalah tajaan penuh Mara untuk pelajar miskin yang cemerlang bagi membantu mereka meneruskan pengajian.

Dalam pada itu katanya, seramai 9,487 pelajar baharu akan mula mendaftar memasuki MRSM di seluruh negara Februari ini iaitu sebanyak 7,132 orang merupakan pelajar tingkatan satu dan pelajar tingkatan empat pula sebanyak 2,355 orang.

"Bagi pelajar tingkatan satu, sebanyak 45 MRSM disediakan di seluruh negara iaitu 28 buah untuk program biasa, 14 bagi dwisijil dan tiga buah untuk program Ulul Albab.

"Bagi pelajar tingkatan empat, mereka akan ditempatkan di 46 MRSM di seluruh negara termasuk enam buah MRSM Program Khas Pendidikan (PKP)," katanya.

Annuar berkata, bagi pelajar tingkatan satu, mereka boleh menyemak status permohonan bermula semalam manakala bagi pelajar tingkatan empat, keputusan boleh disemak pada 29 Januari ini.

"Pelajar tingkatan satu akan mula mendaftar di MRSM masing-masing pada 3 Februari ini kecuali di tiga tempat iaitu MRSM Pasir Tumboh, Kelantan; MRSM Gerik, Perak dan MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan yang akan bermula pada 10 Februari.

"Ketiga-tiga MRSM itu juga tidak membuat pengambilan untuk pelajar tingkatan empat," katanya

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved