Rabu, 15 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk diancam haiwan liar

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup.com.my

Osman Harun
Ramlee Abdullah
Ahmad Ibrahim (kanan) menunjukkan pokok pisang yang dimusnahkan haiwan liar di Kampung Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam.
KEGIATAN meneroka hutan di sekitar pesisiran Sungai Bernam didakwa menjadi punca gangguan binatang liar di Kampung Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam.

SABAK BERNAM 15 Jan. - Kehidupan kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Tengar Utara di sini diancam oleh gangguan haiwan liar berikutan hutan di pesisiran Sungai Bernam diteroka sejak sebulan lalu.

Seorang penduduk, Osman Harun, 56, berkata, kehadiran binatang liar seperti kera dan babi hutan ke dalam kampung menyebabkan tanaman di kebun milik mereka musnah.

"Memang tidak dinafikan sebelum ini ada haiwan terbabit masuk ke kebun tetapi sejak aktiviti pembersihan hutan di pesisiran pantai dilakukan, kehadiran kera, lotong dan babi hutan semakin menjadi-jadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan hasil jualan kelapa dan pisang tetapi sejak gangguan haiwan liar, pendapatannya kian merosot akibat kemusnahan tanaman.

Penternak lembu, Ramlee Abdullah, 63, pula memberitahu, dia terkejut apabila mendapati lembu peliharaannya berkeliaran akibat pagar dawai yang dibina telah roboh.

"Saya kesal apabila pihak yang diamanahkan untuk melakukan penerokaan tidak memaklumkan sebarang kerja pembersihan akan dijalankan menyebabkan haiwan peliharaan saya terlepas ke kawasan lain," ujarnya.

Jelasnya, selain hasil tanaman petani di kawasan sekitar terjejas, keselamatan penduduk terutama kanak-kanak terancam apabila ada binatang liar masuk sehingga ke dalam rumah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan Kampung Sungai Tengar Utara, Ahmad Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang mana-mana pihak melakukan pembersihan di kawasan terbabit namun berharap kerajaan negeri memantau penerokaan hutan itu.

"Kita tiada kuasa menghalang kerajaan negeri mengusahakan tanah tetapi penduduk kampung harapkan pihak berkenaan bertanggungjawab terhadap ancaman dan kerugian dialami penduduk kampung," jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya sudah membuat aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam; Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Selangor serta Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor berhubung masalah berkenaan.

JMB pangsapuri minta PKNS jangan lepas tangan

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

MOHAMAD Yunus Ismail (tengah) dan beberapa penduduk melihat tong cat yang masih belum digunakan bagi mengecat pangsapuri PKNS di Petaling Jaya baru-baru ini.

PETALING JAYA 15 Jan. - Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri 15 Tingkat SS8 Jalan SS3/39, Sungei Way di sini meminta pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya tidak berdolak-dalik berhubung kemelut yang melanda pangsapuri tersebut.

Pengerusi JMB pangsapuri itu, Mohamad Yunus Ismail berkata, beliau menafikan penjelasan PKNS sebelum ini bahawa segala pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri berkenaan adalah tanggungjawab pihak JMB.

"Kenyataan PKNS itu boleh dipersoalkan. Kalau sudah serah tanggungjawab pengurusan kepada kami, mana surat perjanjian penyerahan.

"Sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi JMB di sini sejak dua tahun lalu, saya tidak pernah menandatangani apa-apa surat mengenainya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini berhubung kenyataan PKNS bahawa pangsapuri itu adalah di bawah tanggungjawab JMB tersebut sepenuhnya selepas pengambilalihan pada 14 November 2010.

Menurut Mohamad Yunus, beliau turut mempertikaikan insentif sebanyak RM156,000 yang diberikan oleh pihak PKNS bagi penubuhan JMB di pangsapuri berkenaan sebagai modal permulaan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Insentif tersebut memang hak kami yang diberikan oleh pihak PKNS. Mereka cuma memberikan wang pendahuluan sebanyak RM50,000 untuk kami gunakan membina pejabat termasuk membeli peralatan serta menaik taraf pejabat pada 2010. Sehingga kini mereka masih belum menyerahkan baki sebanyak RM106,000 kepada kami," dakwanya.

Dalam perkembangan sama, ahli jawatankuasa JMB, Mohd. Kassim Abbas, 62, berkata, PKNS pernah mengecat bangunan berkenaan tetapi hanya di bahagian hadapan lif di Blok A serta B dan bukannya keseluruhan pangsapuri.

"Pihak kontraktor hanya mengecat bahagian luaran koridor dengan alasan cat telah habis. Yang pasti keseluruhan pangsapuri ini adalah cat asal sejak ia dibina pada 1985 dan bukannya dicat sekitar 90-an seperti yang didakwa oleh pihak PKNS," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di pangsapuri berkenaan mendapati, terdapat bekalan tong cat dibekalkan oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya selepas permohonan dibuat oleh pihak pengurusan JMB.

Bagaimanapun, sehingga kini kerja-kerja mengecat masih belum dilakukan ekoran ketiadaan pihak kontraktor PKNS untuk tujuan itu.

Alat pengesan petak kuning

Posted: 15 Jan 2014 10:22 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Salah sebuah alat pengesan kenderaan yang berhenti di dalam petak kuning dipasang di tiang lampu isyarat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan pemasangan alat bagi mengesan kenderaan yang berhenti di dalam petak kuning sebagai inisiatif melancarkan pergerakan lalu lintas.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, berkata, alat pengesan yang diletak di persimpangan lampu isyarat itu telah dipasang di empat lokasi sekitar ibu kota.

"Dua daripadanya dipasang di Jalan Sultan Ismail dan masing-masing satu di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.

"Alat itu akan memaklumkan kepada pemandu jika kenderaan mereka melanggar atau berhenti melebihi petak kuning melalui pembesar suara yang dipasang pada lampu isyarat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah DBKL yang baharu di sini hari ini.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memastikan aliran trafik semasa waktu puncak berada dalam keadaan yang terkawal.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Phesal berkata, melalui bajet 2014 yang diumumkan baru-baru ini, pihaknya akan memperkukuhkan penguatkuasaan dan pembaikan sistem trafik bagi keselesaan warga kota.

"Kita akan memberi perhatian dan mencari langkah-langkah sesuai bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku ketika hujan dan pada hari Jumaat," katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian kepada isu-isu penyelenggaraan.

"DBKL sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu hotline yang akan diumumkan nanti bagi mendapatkan maklum balas daripada orang ramai tentang masalah penyelenggaraan dan sebagainya.

"Ini memudahkan kita untuk mengetahui masalah yang dialami mereka dengan cepat," katanya.

Mengulas mengenai semakan semula senarai nilaian cukai taksiran, Ahmad Phesal berkata, proses mendengar bantahan masih berjalan sehingga Mac ini atau mungkin dilanjutkan oleh lapan panel yang dilantik bagi mendengar 166,000 bantahan yang telah diterima setakat ini.

"Bagi memberi penjelasan lanjut, kita juga telah menyediakan risalah kepada orang awam dengan penjelasan dan contoh kiraan atau mereka boleh melayari laman web www.mykl.com.my untuk maklumat yang lebih jelas," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved