Isnin, 9 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pesakit kronik rayu bantuan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

MOHD. Noor Mohd. Amin (tiga dari kiri) ketika melawat dan menghulurkan sumbangan kepada Irwan Mustakhim (dua dari kiri) di Kampung Bawah Gunung, Baling, Kedah, baru-baru ini.

BALING 8 Dis. - Seorang pemuda, Irwan Mustakhim yang kudung kedua belah kakinya akibat penyakit kencing manis kronik, merayu bantuan kewangan daripada orang ramai bagi menampung perbelanjaan perubatannya.

Atas nasihat doktor, kaki kanan Irwan, 39, terpaksa dipotong pada 2010 manakala kaki kirinya pula dipotong tiga minggu lalu bagi mengelakkan jangkitan kuman ke anggota badan lain akibat penyakit tersebut.

"Kehidupan saya semakin susah kerana tidak dapat bekerja seperti biasa dan terpaksa mengambil cuti panjang untuk berehat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bawah Gunung, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin.

Irwan yang masih bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Tunku Putera di sini berkata, dia menghidap penyakit itu sejak 2004 dan kini memerlukan bantuan kaki palsu kerana kaki palsu yang lama tidak lagi sesuai untuk dipakai.

Katanya, dia menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jumlah itu masih tidak dapat menampung perbelanjaan perubatannya yang berjumlah lebih RM500 sebulan.

Anak sulung daripada tiga beradik dan masih bujang itu dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Wan Samsiah Wan Abdullah, 57, yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

"Saya terpaksa ambil cuti selepas kaki kiri Irwan dipotong kerana dia tidak mampu bergerak seperti dulu," kata Wan Samsiah yang bekerja sebagai konduktor bas Kulim-Baling Road Transport (KBRT).

Sementara itu, Mohd. Noor pula berkata, beliau akan berusaha mencari sumbangan kaki palsu dan keperluan lain memandangkan Irwan tidak lagi mampu bergerak.

"Insya-Allah, Pemuda UMNO Baling akan berusaha membantu Irwan supaya segala kebajikan dan nasibnya terbela termasuk berusaha mendapatkan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memandangkan Irwan kini masih bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Mudah-mudahan dengan pertolongan ini, dapat meringankan beban Irwan dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan segera sembuh," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan sumbangan kepada Irwan boleh menyalurkan derma melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bernombor 02048020574743 atau menghubunginya di 013-4040026.

Banjir: Peniaga makanan rugi

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KUALA KANGSAR 8 Dis. - Seorang peniaga makanan di sini mendakwa perniagaannya terjejas kerana sering kali dilanda banjir lumpur dipercayai berpunca daripada aktiviti pembinaan yang terletak bersebelah dengan kedainya.

Ramli Lat, 47, berkata, masalah itu menyebabkan kerosakan harta benda apabila kerusi dan meja di kedainya dihanyutkan banjir lumpur.

Beliau yang sudah sembilan tahun berniaga di situ mendakwa tidak pernah mengalami masalah tersebut sehinggalah projek pembinaan berkenaan memulakan operasi.

"Masalah banjir lumpur mula berlaku beberapa bulan lalu dengan yang terbaharu pada minggu lepas dan ia adalah yang terburuk.

"Akibat banjir berkenaan, dua buah meja rosak dan lapan buah kerusi di kedai saya dihanyutkan air yang bercampur dengan lumpur sehingga tidak dapat ditemui," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Ramli berkata, setiap kali kejadian itu berlaku, beliau terpaksa menutup perniagaan untuk membersihkan kedainya yang dipenuhi lumpur.

Malah katanya, beliau diselubungi kebimbangan setiap kali hujan lebat kerana khuatir menjadi mangsa banjir lumpur.

"Apabila hujan, rakan-rakan hubungi saya mengatakan air sudah naik dan saya tidak berlengah menyelamatkan barangan dan peralatan perniagaan," katanya.

Justeru, beliau berharap agar pihak terbabit mengambil tindakan dengan segera bagi mengelakkan perniagaannya berterusan menanggung kerugian.

"Potensi tapak perniagaan di sini memang baik, pelanggan pun agak ramai. Jika terpaksa tutup disebabkan banjir, rugilah saya," katanya.

Raja Muda Perlis gesa golongan muda ceburi keusahawanan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KANGAR 8 Dis. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) menggesa golongan muda menceburi bidang keusahawanan kerana mereka antara kumpulan penggerak ekonomi yang penting untuk negara.

Baginda bertitah, mereka juga mempunyai ruang yang luas untuk berjaya dalam bidang itu, meskipun bermula sebagai usahawan kecil kerana kesungguhan dan pengalaman akan membantu menjana kejayaan.

Bertitah merasmikan Karnival 3M Usahawan Negeri Perlis 2013 di sini malam tadi, baginda bertitah, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bersedia membantu golongan muda menjadi usahawan, termasuk melalui bantuan kewangan dan khidmat nasihat.

Karnival tiga hari itu dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perlis.

Baginda turut mengingatkan para usahawan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan perniagaan yang menyalahi undang-undang kerajaan dan tuntutan agama.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, umat Islam kini menilai semula pendekatan yang perlu diambil dalam usaha merombak semula kedudukan ekonomi ummah dan keadaan persekitaran dunia global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu titah baginda, masa depan ekonomi umat Islam terletak di tangan umat Islam sendiri sama ada untuk terus maju ke hadapan atau ketinggalan dalam persaingan global.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Husin; Pengarah Mara Perlis, Abdul Halim Mamat dan bekas Mufti Perlis, Datuk Ariff Perkasa, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Sempena majlis itu, Raja Muda Perlis turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM20,000 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Romli Dai bagi memulakan kempen mengumpul sumbangan bagi membantu mangsa di negeri yang kini dilanda banjir.

Kutipan akan turut diadakan di semua 105 masjid seluruh Perlis. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved