Isnin, 9 Disember 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Melanggai udang baring di Pantai Puteri Melaka

Posted: 09 Dec 2013 12:08 AM PST

Oleh: ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Pada umumnya langgai dan sungkur lebih dikenali sebagai langgai sahaja, namun di sesetengah negeri seperti di Kedah kaedah menangkap udang geragau (baring) dikenali sebagai sirin.

Berbentuk seperti pukat sorong bersaiz kecil dan dikendali menggunakan tenaga manusia, langgai merupakan peralatan menangkap udang yang dikategorikan sebagai tradisional.

Bagaimanapun, langgai atau sungkur boleh dikategorikan sebagai peralatan menangkap ikan atau udang berasaskan jala.

Oleh yang demikian, peralatan tersebut tidak dilesenkan dan boleh diusahakan oleh sesiapa sahaja.

Di Melaka, aktiviti melanggai dilakukan apabila tiba musim udang geragau rapat ke pantai dengan menggunakan peralatan yang memiliki bentuk dan saiz yang sama begitu juga kawasan serta cara operasinya.

Perbezaan hanyalah pada saiz mata pukat dan sasaran tangkapan yang dibuat.

Langgai diperbuat daripada batang buluh yang panjangnya antara lima hingga enam meter dengan saiz mata pukat 1.5 meter. Manakala pada bahagian keroncong, saiz mata pukat adalah satu sentimeter (sm).

Bagi sungkur pula, bahan binaan serta bentuknya seakan-akan sama seperti langgai, namun yang membezakan adalah saiz mata pukat.

Pada bahagian atas, mata pukat adalah bersaiz tiga sm, manakala bahagian pertengahan hingga ke keroncong saiz mata halus digunakan.

Tangkapan utama sungkur adalah udang baring atau dipanggil udang geragau di Melaka.

Antara kawasan yang sering dikunjungi nelayan udang baring di Melaka adalah sekitar Pantai Puteri dan tangkapan kebiasaannya dilakukan ketika air kecil (air bani) dikawasan yang memiliki kedalaman kurang daripada dua meter (m).

Cara langgai digunakan adalah dengan memasukkannya ke dalam air dan menolaknya ke hadapan oleh pelanggai selama 10 hingga 15 minit kemudian diangkat agar tangkapan masuk ke dalam keroncong dan diulang sehingga selesai.

Manakala, bagi kaedah penggunaan sungkur untuk menangkap udang baring, peralatan tersebut tidak akan diangkat dari mula sehinggalah kerja-kerja melanggai selesai yang memerlukan masa antara dua hinggga empat jam.

Secara lazimnya, seorang pelanggai udang berupaya mendaratkan tangkapan udang kecil antara dua hingga 10 kilogram (kg) mengikut musim-musim tertentu.

Bagi sungkur udang baring, pelanggai berupaya mendaratkan tangkapan udang di antara lima hingga 30 kg dan ketika musim kemuncak mereka mampu memperolehi sehingga 70 kg pada satu-satu masa.

Bubu baharu tingkat tangkapan udang kara

Posted: 09 Dec 2013 12:08 AM PST

Seorang nelayan menunjukan udang kara yang berjaya ditangkap olehnya.

DAHULU nelayan di sekitar Kampung Sungai Musoh, Pengerang, Johor menangkap udang kara hanya menggunakan peralatan yang dikenali sebagai bintoh yang merupakan kaedah tradisional diamalkan oleh nelayan setempat.

Bagaimanapun, kaedah tradisional itu didapati kurang berkesan untuk menangkap udang kara.

Justeru, usaha membina serta menghasilkan sejenis bubu baharu yang lebih berkesan dan mesra sumber telah dihasilkan oleh Jabatan Perikanan.

Bubu baharu yang dibina dengan kos RM80 hingga RM90 seunit dan berupaya memberikan pulangan yang tinggi di samping faedah-faedah lain seperti menjimatkan masa operasi, kawasan operasi yang lebih luas.

Pada masa yang sama nelayan boleh mengusahakan perkakas perikanan yang lain.

Projek membina bubu tersebut telah dimulakan pada tahun 2003 yang merupakan peralatan bubu yang diperbaharui.

Menerusi percubaan yang dijalankan di sekitar Kampung Sungai Musoh mendapati bubu tersebut berupaya menangkap udang karang dengan kuantiti yang lebih tinggi.

Pengenalan inovasi tersebut telah menarik minat seramai 50 vesel yang membabitkan seramai 100 orang nelayan yang berpengkalan di jeti nelayan Sungai Musoh bagi menggunakan teknik tersebut.

Setiap vesel menggunakan sehingga 30 unit bubu di mana kawasan penangkapan ialah di sekitar lima batu nautika.

Terdapat dua tenik penggunaan bubu tersebut iaitu teknik menghanyut di mana bubu diletakkan di lokasi terdapatnya udang kara tanpa menggunakan sauh dan diangkat apabila air laut pasang penuh.

Teknik kedua pula menggunakan sauh di mana bubu diperam dan diangkat setiap kali air laut pasang penuh dan kedua-dua teknik tersebut menggunakan umpan.

Secara amnya, nelayan yang mengusahakan bubu udang tersebut mampu memperolehi pendapatan mencecah RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved