Isnin, 9 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Nasib pembeli Taman Kenanga

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusangroup.com.my

SEBAHAGIAN daripada sembilan fasa projek Taman Kenanga kini hampir 80 peratus siap setelah kerja pembinaannya terbengkalai 15 tahun lalu.

SEPANG 9 Dis. - Sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah gambaran yang sesuai terhadap situasi yang terpaksa dihadapi oleh lebih 1,500 pembeli rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini yang mendakwa teraniaya dengan sikap pemaju.

Episod malang pembeli rumah tersebut bermula kira-kira 15 tahun lalu apabila pemaju ketika itu Kumpulan Sepang Utama membuka tawaran untuk memiliki rumah di tapak projek Taman Kenanga yang disahut oleh pembeli berkenaan.

Bagaimanapun, keterujaan mereka terhadap tawaran tersebut tidak berpanjangan apabila rumah yang dikatakan akan siap dalam tempoh dua tahun sehingga kini masih belum dapat diduduki.

Kumpulan pembeli itu mendakwa, hanya fasa satu projek tersebut berjaya disiapkan, manakala baki sembilan lagi fasa tergendala atas faktor yang tidak diketahui.

Tambah mereka, selepas beberapa tahun tertangguh, projek tersebut akhirnya diambil alih oleh NCT United Development Sdn. Bhd. pada akhir 2010.

Tinjauan Utusan Malaysia ke perumahan tersebut baru-baru ini mendapati, kerja-kerja pembinaan sedang dilaksanakan dan kelihatan hampir 80 peratus siap.

Nasib malang pembeli tidak berakhir di situ kerana rumah yang bakal diduduki itu bukan lagi milik mereka seperti dalam perjanjian yang dibuat ketika permulaan membeli rumah tersebut pada 1998.

Malah, sepanjang projek tersebut tergendala, pembeli juga terikat dengan pinjaman bank yang perlu dijelaskan namun bayaran tersebut tidak diteruskan disebabkan projek tidak disiapkan menyebabkan ada sebahagian daripada mereka telah disenaraihitamkan.

Lantaran itu, pemaju baharu, NCT Development menggunakan alasan bahawa pembeli yang tidak mendapat rumah mereka itu disebabkan mempunyai masalah dengan pinjaman bank.

Difahamkan, pelbagai aduan dibuat pembeli termasuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pihak-pihak berkaitan namun tiada maklum balas yang diterima hingga kini.

Lebih mengejutkan, cukai taksiran daripada Majlis Perbandaran Sepang (MPS) telah dikeluarkan sejak 2002 atas nama pembeli mengikut alamat rumah baharu yang masih tidak didiami mereka itu.

Pembeli kini buntu memikirkan nasib mereka dan dalam persiapan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah memandangkan rumah yang sepatutnya milik mereka kini diiklankan dalam internet untuk dijual kepada pembeli baharu.

'Duit bayar, tapi rumah tak dapat' - Pembeli

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

SEPANG 9 Dis. - "Kami hanya mahu rumah idaman kami itu dapat diduduki selepas teraniaya hampir 15 tahun disebabkan pelbagai masalah."

Demikian tegas salah seorang pembeli, Khairul Parman Zakaria, 47, yang menjadi mangsa biarpun telah membuat bayaran hampir 30 peratus daripada harga rumah di Taman Kenanga, Bandar Baru Salak Tinggi yang dibelinya.

"Saya membeli rumah di Fasa 3 dengan harga RM134,000 dan membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 tetapi selepas rumah terbengkalai saya tidak boleh menjelaskan pinjaman kerana sewa rumah juga perlu dilunaskan.

"Saya telah meminta penangguhan bayaran dengan bank kerana projek itu tidak dilaksanakan. Selepas diambil alih pemaju baharu saya teruskan bayaran balik tetapi tidak menyangka akan jadi begini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pembeli, K. Batumalai, 54, berkata, dia sudah membelanjakan berpuluh ribu untuk memiliki rumah tersebut namun kecewa selepas mengetahui impiannya itu hanya tinggal mimpi.

"Kami merayu kepada pihak-pihak berkaitan, bantulah kami kerana sudah 15 tahun kami teraniaya dan tidak memiliki rumah, malah berkemungkinan ada pembeli lain yang sudah meninggal dunia," dia merayu.

Tambah Batumalai, mereka kini dalam perancangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju agar dapat memiliki semula rumah yang sepatutnya sudah boleh diduduki itu.

"Bayangkan kami bersabar selama ini untuk menunggu rumah disiapkan selepas beberapa tahun terbengkalai tetapi akhirnya rumah itu bukan milik kami pula," katanya.

Sementara itu, Bahtiar Afandi Mohamad, 53, berkata, dia kini tidak dapat tidur apabila memikirkan nasib malang yang dihadapinya.

"Sebelum ini saya tidak tahu nak buat apa, selepas berjumpa dengan pembeli lain baharulah berjaya menggerakkan beberapa perkara yang mungkin boleh membantu.

"Kami juga dalam proses untuk mengumpulkan semua pembeli yang teraniaya untuk bersatu agar rumah itu tetap menjadi milik kami," tegasnya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan pemaju, NCT Development tidak berhasil selepas gagal dihubungi.

PKB diberi mandat penuh bangunkan Kg. Baru

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Astaman Aziz Abdul Aziz (kanan) menerangkan mengenai pelan pembangunan Kampung Baru kepada Ahmad Phesal Talib (kiri) selepas majlis perasmian Lab Khas Pemerkasaan Senibina Melayu dan Islam dalam Pembangunan Kampung Bharu di Bangi, Selangor semalam.

BANGI 9 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi mandat sepenuhnya kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) bagi memajukan Kampung Baru mengikut acuan dan cadangan yang telah dirancang oleh PKB.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, segala bentuk corak pembangunan yang hendak dibuat terhadap Kampung Baru itu akan mendapat kerjasama sepenuhnya dari DBKL.

"Kami sangat berpuas hati dengan segala persiapan yang dilakukan oleh PKB bagi membangun dan memajukan Kampung Baru yang menyebabkan DBKL tidak mempunyai hak untuk menghalang.

"Malah (DBKL) sedia memberikan laluan kepada segala perancangan supaya menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Lab Khas Pemerkasaan Senibina Melayu Islam Dalam Pembangunan Kampung Baru di Hotel Equatorial, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PKB, Datuk Astaman Aziz Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi PKB, Datuk Seri Matshah Safuan dan Ketua Pengarah Eksekutif yang juga Setiausaha PKB, Naharuddin Abdullah.

Sebanyak 140 anggota terdiri dari arkitek profesional, ahli akademik, perancang bandar dan pengurusan bandar menghadiri bengkel selama dua hari itu bermula hari ini bagi memberikan sumbangan dan kepakaran masing-masing dalam mewujudkan satu Garis Panduan Komprehensif Senibina Melayu-Islam yang khas untuk Kampung Baru.

Ahmad Phesal berkata, sebagai antara agensi perancang bagi semua aspek pembangunan di Kuala Lumpur, DBKL bertanggungjawab untuk membantu membangunkan tanah milik orang Melayu itu dengan memberikan kelulusan segera agar PKB mendapat kepercayaan sepenuhnya dari pemilik tanah bagi membangunkan kawasan seluas kira-kira 121.4 hektar itu.

"Selain itu DBKL akan membantu dalam apa juga bentuk kepakaran dalam perancangan pembangunan bandar, reka bentuk, landskap dan sebagainya supaya pembangunan Kampung Baru turut mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak," katanya.

Mengikut perancangan konsep perancangan masa hadapan, pembangunan Kampung Baru akan direka bentuk dengan menetapkan zon-zon pembangunan tertentu selaras dengan fungsi yang akan dimainkan pada masa hadapan.

Pembangunan itu bakal berkonsepkan ruang bandar moden bercirikan Melayu-Islam dengan penekanan kepada aspek kebudayaan dan warisan, pada masa yang sama mampu mengoptimumkan keperluan dan reka bentuk fizikal masa hadapan tanpa berkompromi dengan tanggungjawab pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap alam sekitar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved