Isnin, 9 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bekalan ubat mencukupi

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

KUANTAN 9 Dis. - Bekalan ubat dan peralatan kesihatan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan negeri ini mencukupi bagi memastikan mereka mendapat rawatan dalam situasi yang berlaku ketika ini.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang dan semua pesakit yang memerlukan rawatan khas di hospital akan dibekalkan ubat terbabit sepanjang berada di pusat pemindahan.

Menurutnya, jabatan kesihatan negeri menyediakan petugas termasuk pegawai perubatan di pusat pemindahan banjir melebihi 500 mangsa dan ke atas serta pemantauan 24 jam bagi mengelakkan sebarang kes penyakit tertentu.

"Pegawai kesihatan, jururawat dan pembantu perubatan akan sentiasa memastikan keadaan pesakit di pusat pemindahan dengan merawat dan penyediaan perubatan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan Wisma Belia Indera Mahkota di sini hari ini.

Katanya, bekalan itu juga turut dihantar ke kawasan yang terputus hubungan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan mangsa banjir mengelakkan diri daripada terdedah kepada air tercemar ketika membersih rumah dan persekitarannya.

"Ingatan ini penting supaya mereka bebas dari penyakit kencing tikus yang boleh merebak melalui air kotor dan berjangkit jika mempunyai luka-luka kecil yang mengakibatkan tangan atau kaki mengalami kegatalan," katanya.

Pintu air di Kobat bukan punca banjir

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

PINTU air Kobat berfungsi menghalang air masin dari laut memasuki ke kawasan muka sauk Rumah Pam Air Mentah dan tidak menakung air.

KUANTAN 9 Dis. - Tohmahan bahawa Kobat merupakan empangan adalah tidak benar sama sekali kerana binaan yang ada di kawasan tersebut ialah Rumah Pam Air Mentah dan pintu air atau baraj.

Pengurus Besar Operasi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Ir. Amir Khan Ayob Mohamed berkata, sehubungan itu, Kobat bukan menjadi punca berlakunya banjir di daerah ini.

Beliau berkata, kemudahan itu berfungsi menghalang air masin dari laut memasuki kawasan muka sauk Rumah Pam Air Mentah dan tidak menakung air.

"Apabila berlakunya banjir, pintu ini telah ditenggelami oleh paras air yang tinggi sehingga melepasinya, oleh itu pintu ini tidak dapat berfungsi ketika banjir.

"Jadi, dakwaan kita (Paip) melepaskan air sehingga menyebabkan banjir adalah tidak benar, jika kita tutup pun, air tetap akan keluar kerana sudah melepasi pintu air ini selain keluar mengikut laluan tepi sebelah kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke pintu air itu bagi memberikan gambaran jelas mengenai keadaan sebenar yang berlaku semasa banjir di sini, hari ini.

Amir Khan berharap, orang ramai jelas dan tidak menyalahkan Paip berhubung kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini terutama di Sungai Isap, Bukit Rangin dan Permatang Badak.

"Kita berharap orang ramai akan mendapatkan penjelasan daripada Paip sekiranya terdapat kemusykilan, hubungi kita dan kita akan beri penjelasan.

"Jangan kita mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan daripada sumber yang tidak boleh dipercayai," katanya.

Mengenai gangguan bekalan air, beliau berkata, semua loji di Kuantan sudah pun beroperasi seperti biasa dan masalah itu telah pun diatasi sejak tiga hari lalu.

"Cuma ketika banjir mula-mula berlaku, Kobat tidak dapat berfungsi menyalurkan air mentah ke loji-loji kerana tiada bekalan elektrik sehingga menjejaskan bekalan air di daerah ini," katanya.

JLKN tempatkan pasukan sukarelawan di Pahang, Johor

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Rosli Tahir (duduk, tengah) bertanya sesuatu kepada mangsa banjir semasa melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 9 Dis. - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menempatkan pasukan sukarelawan jabatan itu, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) di dua negeri terjejas teruk akibat banjir iaitu di Pahang dan Johor.

Pengarah Bahagian Sukarelawan dan Alumni JLKN, Leftenan Kolonel Rosli Tahir berkata, sebanyak 50 anggota briged itu masing-masing ditempatkan di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menambah jumlah sukarelawan itu sekiranya diperlukan dari semasa ke semasa.

Katanya, pasukan berkenaan akan melakukan kerja-kerja pembersihan di pusat pemindahan banjir selain turut membantu mengangkat barangan bantuan dan menolong penduduk memasak.

"Ini merupakan kali pertama JLKN berada di kawasan perpindahan banjir, apa yang kita lakukan ini adalah untuk mencari pengalaman," katanya ditemui pemberita selepas mengetuai pasukan BSKN membersihkan pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pahang, Leftenan Kolonel Zainal Abdul Rahim.

Rosli berkata, buat masa ini, BSKN akan ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

"Kita belum mempunyai kepakaran untuk menempatkan pasukan sukarelawan kita di kawasan-kawasan banjir untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Pada masa akan datang, insya-Allah, kita akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan khususnya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan akan menubuhkan skuad kerja kita sendiri," katanya.

Menurutnya, beliau akan memaklumkan cadangan tersebut kepada Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dalam mesyuarat jabatan itu yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan sukarelawan berkenaan sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu orang ramai membersihkan rumah dan kawasan sekitar selepas banjir pulih.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved