Isnin, 9 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bantuan kemanusiaan diteruskan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Pasukan misi bantuan kemanusiaan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan meredah banjir di Kampung Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, baru-baru ini.

SEREMBAN 8 Dis. - Jabatan Imigresen negeri akan meneruskan misi bantuan kemanusiaan di dua lagi lokasi terjejas iaitu Mersing, Johor dan Kuantan, Pahang selepas melaksanakan misi yang sama di Kemaman, Terengganu sejak beberapa hari lalu.

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, misi kemanusiaan itu akan diteruskan selepas melihat masih banyak keperluan mangsa banjir yang perlu dibantu termasuklah dalam soal mendapatkan bekalan makanan dan air minuman bersih.

"Pasukan saya telah balik dari Kemaman malam tadi dan ketika kami meninggalkan kawasan itu, Kuantan masih lagi hujan lebat, manakala Kampung Air Putih dekat Kemaman telah terputus hubungan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Faizal Fazri, daripada pengamatan beliau, keadaan banjir yang melanda negeri Pantai Timur itu amat buruk dengan banyak rumah ditenggelami selain kemusnahan harta benda.

"Kami akan memutuskan untuk membantu mangsa banjir di kawasan terjejas sama ada di Mersing mahupun Kuantan dalam sehari dua ini.

"Kami amat memerlukan bantuan dan sumbangan barangan keperluan khususnya susu bayi, lampin pakai buang, beras, pakaian dan selimut supaya dapat meringankan beban mangsa," katanya.

Mengulas bantuan di Kemaman, Faizal Fazri berkata, beliau bersama anggotanya sedih kerana terpaksa meninggalkan seketika mangsa banjir di Pusat Pemindahan Kampung Bukit Mentok kepada rakan sepasukan daripada Jabatan Imigresen Pahang yang turut serta dalam misi berkenaan.

"Kami telah mengumpulkan barangan makanan, sumbangan dan membeli keperluan selepas mendapati keadaan banjir bertambah buruk selain mendapat khabar bekalan makanan terutamanya susu untuk bayi telah keputusan,

"Malam tadi keadaan bertambah buruk apabila bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di Kemaman telah meningkat kepada lebih 18,000 orang manakala beberapa jalan yang menghubungkan antara kampung juga terputus.

"Difahamkan keadaan hujan masih berterusan pagi ini dan air minuman bersih sukar diperoleh. Pergerakan amat terhad dan ada kawasan perlu menggunakan bot untuk menyampaikan bantuan, selain menyelamatkan mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sewaktu pasukannya berada di Kampung Air Putih semalam, bekalan beras didapati berkurangan dan sewaktu keluar untuk membelinya, pihaknya tidak dapat masuk semula kawasan kampung berkenaan kerana paras air meningkat dengan mendadak.

"Rakyat negara ini amat bermurah hati dan saya menyeru supaya mereka tampil untuk membantu. Mereka boleh salurkan bantuan itu di Jabatan Imigresen di Wisma Persekutuan Seremban, untuk dikumpulkan dan dibawa ke kawasan terbabit dalam waktu terdekat," jelasnya.

JPJ NS kutip RM35,050 lelong kenderaan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

SEREMBAN 8 Dis. - Sebanyak RM35,050 berjaya dipungut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri hasil lelongan melibatkan 47 buah motosikal pelbagai jenis dan sebuah kereta yang tidak dituntut dan disita atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 di sini hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, harga bidaan ditetapkan adalah sebanyak RM50 bagi motosikal sementara bagi sebuah kereta pula bidaannya bermula dari RM100 untuk direbut sebanyak 120 pembida.

"Proses lelongan ini bermula sejak pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 11 pagi yang mana kita melelong kesemua kenderaan berkenaan kepada pembina yang kebanyakannya terdiri daripada pemilik kedai motosikal.

"Lelongan ini kita lakukan selepas pemilik tidak menuntut kembali kenderaan mereka biarpun pelbagai usaha telah kita lakukan termasuk memaklumkan kenderaan itu boleh dituntut dalam tempoh tiga bulan selepas disita," katanya.

Saiful Azzri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Lelong Kenderaan Kenderaan Sita peringkat JPJ negeri di Ibu Pejabat JPJ negeri, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, antara bidaan tertinggi dalam lelongan berkenaan adalah sebuah motosikal Yamaha jenis RXZ keluaran 2008 yang dibida berharga RM1,850.

Jelasnya, kesemua kenderaan berkenaan yang dilelong boleh dilesenkan walaupun sebelum ini terlibat dengan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen kenderaan motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

Pemuda lumpuh rayu tinggal di rumah kebajikan

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Ashaari Sharif bersama neneknya, Napsiah yang tinggal di Kampung Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

SEREMBAN 8 Dis. - Seorang penganggur yang lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu merayu agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri mempertimbangkan semula permohonannya untuk menetap di pusat kebajikan.

Ashaari Sharif @ Sirat, 25, yang lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke kaki dan hanya mampu bergerak dengan kerusi roda berkata, sejak kecil dia tinggal bersama neneknya, Napsiah Rasol, 80, di Kampung Juasseh, Kuala Pilah.

Namun katanya, neneknya kini semakin uzur dan kurang sihat akibat menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

''Oleh itu, saya telah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Pilah untuk tinggal di rumah kebajikan, namun permohonan ditolak.

''Saya dimaklumkan bahawa permohonan ditolak kerana keadaan saya yang tidak boleh menguruskan diri sendiri dan memerlukan bantuan orang lain untuk melakukan sebarang pergerakan," katanya kepada Utusan Malaysia, dekat sini.

Jelas Ashaari, ibunya, Rahmah Abd. Rahman telah meninggal dunia tiga tahun lalu akibat penyakit buah pinggang dan bapanya, Sharif @ Sirat Nor tidak pernah ditemui sejak berpisah dengan ibunya pada 1993.

''JKM Putrajaya ada mencadangkan agar mengambil orang gaji untuk menjaganya di rumah dan dibiayai oleh kerajaan, namun tiada persetujuan daripada keluarga.

''Kebanyakan orang gaji adalah wanita, jadi segala pergerakan akan terbatas, contohnya untuk memakaikan baju dan seluar, menguruskan saya di dalam bilik mandi dan sebagainya serta keluarga juga bimbang jika pelbagai masalah yang berlaku nanti," katanya.

Menceritakan detik menyayat hati yang berlaku terhadap dirinya, Ashaari berkata, pada awalnya dia telah menjalani tiga pembedahan ekoran masalah usus yang dihidapinya pada 2002 sebelum mengalami sakit tulang belakang pada 2010 dan lumpuh selepas itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved